|
|
BELIAU merenung jauh ke kawasan kandang memerhatikan ternakan kambing Boer yang sedang rancak mengunyah. Tidak jauh dari situ, lembu Bali yang montel dan bersih sedang berkeliaran. Sungai yang memisahkan kompleks ladang dan penginapan serta pusat rekreasi sekali mengalir lesu tetapi dengan airnya yang sangat jernih.
Renungan itu diselangselikan dengan kerutan dahi, mungkin memikirkan mengenai apa yang telah dan sedang dilakukannya di ladang itu yang baru beberapa tahun beroperasi.
''Mulanya di kawasan ini , saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus memberitahu mengenai niat murninya itu.
Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.
Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.
Dengan dibantu adik beradiknya Badrul Hisham Mohd. Idrus dan Mohd. Zulkifli Mohd. Idrus serta Ketua Pegawai Operasi, Hiruddin Hashim, mereka membangunkan kawasan tersebut sejak hujung 2004 dengan kerja-kerja pembelian tanah daripada penduduk kampung.
Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.
Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.
Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.
Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.
Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.
Semua projek tersebut menurut Mohd. Zainuri menelan belanja antara RM5 dan RM6 juta sejak 2004 meskipun beliau juga menggunakan bahan buangan seperti kayu dari landasan keret api, membina landskap dan penginapan bertaraf hotel.
''Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan," katanya.
Pada mulanya, 50 ekor kambing dibawa masuk dari Australia dan hampir setiap hari, seekor akan mati.
Kali kedua, kejadian sama berulang dan mereka terpaksa bertungkus lumus untuk mencari petua dan belajar daripada pelbagai pihak.
''Saya pernah dihalau oleh penternak apabila cuba menawarkan diri mendapatkan bimbingan daripadanya dan seorang penternak Cina akhirnya membantu saya memberikan tip berguna," ujar beliau.
Beliau kemudiannya membangunkan kawasan tersebut sedikit demi sedikit bersesuaian dengan konsep pelancongan tani dan pada masa sama projek pembangunan kemudahan termasuk pejabat, gelanggang sukan masih diteruskan.
Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.
Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.
Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.
Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.
Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.
''Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik.
''Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus,'' katanya.
Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.
Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.
Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.
Sementara itu menurut Mohd. Zainuri, pihaknya akan meluaskan aktiviti kepada penjualan ternakan apa bila projek tersebut dilaksanakan di Perlis tidak lama lagi.
Tumpuan akan diberi kepada pengeluaran di kawasan tersebut manakala ladang sedia ada akan tertumpu kepada pembiakbakaan dan R&D.
Syarikat tersebut terus menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai ladang pengganda kambing Boer dan lembu pedaging serta penggalak bagi industri ternakan kambing dan lembu.
Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.
Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.
Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.
Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.
Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.
Syarikat tersebut akan menjadi pembimbing dan lokasi bagi bengkel ternakan anjuran bersama Agro Bank, MayConsult dan Mega Utusan Malaysia pada 24 hingga 27 April ini.
2 ulasan:
tidak dinafikan ladang pemilik ini memang indah. setelah lebih 3 tahun melawat ladang ini. ianya hanya betul betul maju atas kerja kuat hanya dari seorang perempuan. apa yang saya baca dari rencana saudara ianya seperti en hairuddin yang berusaha gigih atas kejayaan ladang ini. ternyata sebagai pemerhati dari sejak ia dibangunkan hingga pada waktu kini satu satunya hamba Allah yang menaikkan nama Syamille Agro Farm sekaligus menjadi terkenal di seluruh pelusuk Malaysia hanyalah cik rina, En zainuri bertindak sebagai planner di ladang tersebut, En hairuddin menumpang nama atas hasil kerja kuat cik rina dan juga puan zura. setelah ketiadaan mereka saya mendengar banyak rungutan tentang servis dari pihak Syamille semakin teruk. saya mohon sekiranya sesiapa dapat menemui budak perempuan ini, sila balas ulasan saya. sekian.
setuju dengan observer. minta dihubungi sekiranya sesiapa dapat berjumpa dengan cik rina syamille. dengan kadar segera. saya kurang berminat untuk berbincang dengan yang lain walaupun telah diberi peluang untuk berjumpa dan berbincang dengan pemegang jawatan yang tinggi dalam syarikat ini. Pihak syarikat ini sepatutnya mempunyai lebih banyak pekerja berpotensi seperti beliau. jangan salah faham, cik rina lebih mengikuti dan memahami kehendak pelanggan manakala yang lain lebih menyuruh pelanggan mengikut kehendak mereka dan ada yang tidak faham tentang apa yang sebenarnya dimahukan penternak. pejabat saya di menara komtar. sila datang berjumpa saya sekiranya cik rina terbaca ulasan ini.
Catat Ulasan