Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, April 26, 2009

Sabah & Sarawak: Penternak tidak hadapi kesukaran teruskan operasi

TIADA laporan penternakan lembu, kerbau dan kambing di Sabah, gagal, tetapi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri mengakui ada penternak menghadapi pelbagai kesukaran meneruskan operasi masing-masing.

Pembantu Menterinya, Datuk Bobbey Suan, berkata setakat ini, kerajaan negeri tidak menerima laporan berkenaan dan yakin pengusaha ternakan mampu meneruskan operasi berdasarkan prospeknya yang cerah serta pelbagai bantuan disediakan kerajaan.

Beliau berkata, kementerian itu mengagihkan 18,730 kambing, selain lembu pedaging (5,976), lembu susu (2,500) dan kerbau (1,039) kepada penternak mengikut program bantuan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) Sabah, tahun lalu.

Katanya, program berkenaan membantu 123 penternak lembu pedaging, selain penternak lembu tenusu (130), penternak kambing (173), penternak kerbau (22) dan penternak rusa (45).

"Tahun ini, 132 penternak baru akan dibantu, membabitkan 31 penternak lembu, 25 penternak lembu tenusu, enam penternak kerbau dan 70 penternak kambing," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ramlee Marhaban (BN-Bugaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Suan berkata, JPHPT mula memperkenalkan program 100 Induk iaitu pemberian 100 induk lembu dan kambing kepada penternak baru untuk memulakan operasi masing-masing sejak 2005.

Katanya, Sabah mencapai 100 peratus sara diri dalam pengeluaran telur ayam dan susu segar, tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian tahap sara diri daging ruminan (lembu, kerbau dan kambing) tahun lalu hanya 28 peratus.

"Ia dijangka meningkat 30 peratus menjelang akhir 2010 melalui penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam membantu membiak baka ternakan ruminan," katanya.

Beliau berkata, kemampuan pengeluaran daging lembu dan kambing dapat ditingkatkan apabila projek penternakan di Keningau dan Nabawan dimajukan melalui program Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

"Sasaran pengeluaran mampu ditingkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2015, sekali gus menjadikan Sabah pengeluar daging ruminan utama negara ini,” katanya.

1 ulasan:

Dr Ismail berkata...

Dari dahulu hingga sekarang, selagi penternak tidak bersedia dengan revolusi.. sampai bila bila pun tidak akan berjaya. Penyelidikan dan Perkembangan kami membuktikan.. masaalah utama permakanan yang seimbang. Memahami keperluan jumlah nutrient, protin dan tenaga yang diperlukan haiwan untuk membesar. Memahami aspek ekonomi; nisbah ketumbuhan dengan kos makanan, dll. Untuk maklumat lanjut layari www.b41agrotech.com.my