PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.
PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011
Selasa, September 08, 2009
Membiak baka boer berkualiti
sistem lantai digunakan oleh penternak boer PPK Slim River/Tanjung Malim di Sungkai, Perak bagi menjadikan boer lebih produktif.
SLIM RIVER 30 Julai - Boer merupakan baka kambing yang paling popular dan mendapat perhatian penternak-penternak kambing sejak kebelakangan ini.
Walaupun terdapat baka lain seperti saanen, jamnapari dan anglo-nubian yang juga mempunyai harga pasaran tinggi, boer menjadi pilihan para penternak kerana ia merupakan baka kambing pedaging terbaik.
Ini kerana boer yang berangka besar boleh mencecah berat melebihi 100 kilogram dan mempunyai nisbah daging yang tinggi berbanding tulang.
Dagingnya juga dianggap lebih berkualiti berbanding kambing biasa dan dengan harga RM38 hingga RM40 sekilogram, ia tentunya menjanjikan pulangan lumayan.
Melihat kepada potensi yang ada pada baka kambing yang berasal dari Afrika Selatan itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Slim River/Tanjung Malim mengambil keputusan melaksanakan projek ternakan kambing boer di kawasan seluas 0.8 hektar di Sungai Belau dekat Sungkai pada 2006.
Pengurus Besarnya, Rosli Mohd. Ghaus berkata, projek tersebut merupakan antara 15 projek integrasi usaha peladang yang dijalankan atas tanah seluas 40 hektar milik PPK Slim River/Tanjung Malim.
Katanya, fasa pertama projek tersebut menelan kos sebanyak RM372,000 bagi membeli 147 induk baka boer dari Australia serta membina infrastruktur termasuk ladang, padang ragut dan rumah pekerja.
''Fasa kedua sedang dalam pembinaan sekarang dan dijangka siap sepenuhnya pada September ini. Ia membabitkan kos sebanyak RM1.04 juta bagi membeli 400 induk kambing boer dan membina ladang.
''Sekarang kita sudah ada 205 ekor kambing boer dan dengan tambahan 400 ekor lagi pada September ini, kita harap dapat membiakkannya menjadi 1,800 ekor dalam tempoh dua tahun," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sebanyak empat usahawan terlibat dalam projek ternakan kambing boer itu dengan masing-masing menyumbang RM10,000 sebagai ekuiti dalam projek tersebut.
Keuntungan hasil jualan kambing boer itu akan dibahagikan pada nisbah 40 peratus bagi usahawan berkenaan dan 60 peratus kepada PPK Slim River/Tanjung Malim yang kemudiannya akan diagihkan dalam bentuk dividen kepada para ahli.
Menurut Rosli, fungsi utama ladang ternakan itu adalah sebagai pembiak baka kambing boer berkualiti untuk dibekalkan kepada ahli-ahli pertubuhan peladang di seluruh negara yang ingin terlibat dalam bidang tersebut.
Katanya, ini kerana PPK Slim River/Tanjung Malim telah dikenal pasti sebagai antara pembekal baka boer kepada ahli pertubuhan peladang di bawah program usahawan.
''Pada masa sama, kita juga mengeluarkan kambing pedaging bagi membantu menampung keperluan pasaran daging tempatan yang masih bergantung kepada 70 peratus bekalan daging import," katanya.
Bagi rancangan jangka panjang, pertubuhan itu berhasrat untuk membangunkan ladang ternakan itu sebagai pusat pengeluaran kambing boer secara bersepadu termasuk menghasilkan makanan serta ubat-ubatan sendiri.
''Ada syarikat yang melahirkan minat untuk membina kilang memproses pelepah sawit kepada palet (makanan kambing) dan mereka sedang membuat kajian mengenainya tetapi ia mungkin memakan masa.
''Selain itu, kita juga menaman rumput napier di kawasan seluas lapan hektar di kawasan ini untuk makanan kambing boer ini," kata Rosli.
Sementara itu, Pengerusi PPK Slim River/Tanjung Malim, Husni Juki berkata, pada masa ini, tumpuan diberikan kepada usaha menaik taraf ladang-ladang bagi mewujudkan persekitaran sesuai kepada kambing boer.
Katanya, sistem ladang yang ada sekarang adalah terbaik kerana menggunakan sistem lantai berbanding pasir sebelum ini bagi membantu kambing boer menjadi lebih produktif.
''Pada masa sama, kita turut melantik konsultan dari jabatan veterinar yang akan datang membuat pemeriksaan kesihatan terhadap kambing boer antara dua hingga tiga kali sebulan," katanya.
Selain ternakan kambing boer, PPK Slim River/Tanjung Malim turut mengusahakan projek tanaman kelapa sawit, nanas, nangka, kelapa matak, betik dan belimbing di kawasan tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, boleh menghubungi pertubuhan tersebut di talian 05-4528263.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan