KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia mampu mencapai tahap pengeluaran sara diri bagi daging lembu sebanyak 28 peratus menjelang tahun depan manakala daging kambing telah mencapai sasaran tahap sara diri lebih awal pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata pengeluaran daging lembu negara mencapai 25.38 peratus pada tahun lepas manakala daging kambing mencapai sasaran sara diri sebanyak 10.04 peratus.
"Industri lembu pedaging mencapai 25.38 peratus iaitu kurang 2.62 peratus daripada apa yang disasarkan. Ini menunjukkan secara umumnya, pencapaian pengeluaran daging tempatan negara adalah seperti yang dirancang," katanya menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Rohani berkata statistik dari tahun 2006 hingga 2008 menunjukkan jumlah pengimportan daging lembu atau kerbau menurun sebanyak 11.1 peratus manakala jumlah pengimportan daging kambing atau bebiri meningkat iaitu sebanyak 12.2 peratus.
Beliau berkata kerajaan kini dalam usaha meningkatkan pengeluaran daging tempatan terutamanya daging lembu dan kambing berdasarkan kepada lima pendekatan.
Lima pendekatan itu ialah meningkatkan populasi asas ternakan lembu dan kambing negara sesuai dengan pengeluaran yang mapan dan ekonomik, meningkatkan keupayaan daya saing industri ternakan lembu dan kambing, menambah baik persekitaran perniagaan dan prasarana serta skim insentif, memperkukuhkan langkah santari dan fitosanitari serta menambah baik kualiti produk dan pengeluaran produk tambah nilai.
"Sebagai usaha untuk memacu pengeluaran daging tempatan, kerajaan bakal merubah kaedah perolehan ternakan tradisional untuk pembiakan iaitu daripada perolehan bekalan ternakan dari luar negeri kepada perolehan bekalan ternakan daripada pengusaha tempatan.
"Usaha ini diharap dapat mencetuskan minat di kalangan pengusaha pengeluar lembu dan kambing baka tempatan untuk menghasilkan ternakan bagi memenuhi keperluan industri pedaging negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan