Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Rabu, Julai 01, 2009

Perak Bakal Jadi Pengeluar Makanan Utama Negara Pada 2015


SUNGAI SIPUT, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak yakin sasaran menjadikan negeri itu sebagai pengeluar utama makanan negara pada tahun 2015 akan dapat dicapai.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sasaran itu boleh dicapai melalui pelaksanaan lapan teras utama dasar baru yang digubal dan satu elemen utama dasar itu adalah mengambil contoh Lembah Delaware yang menjadi pengeluar utama makanan di Amerika Syarikat.

"Kita mensasarkan negeri ini sebagai tulang belakang pengeluar makanan di negara kita... untuk itu kita akan wujudkan industri pertanian berskala besar iaitu dengan mengiktiraf lembah-lembah pertanian seperti lembah sayur-sayuran dan buah-buahan di Batang Padang.

"Ladang ternakan kambing Boer di kawasan Lenggong, Gerik dan Selama. Kawasan pertanian lain yang dikenalpasti adalah di Daerah Manjung, Pengkalan Hulu dan Lembah Kerian," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Agrofest 2009 di Ladang Infoternak di sini hari ini.

Beliau berkata melalui program lembah yang dizonkan itu, akan diwujudkan ladang tanaman kontrak yang bakal diusahakan penduduk tempatan dengan kerjasama pelabur besar.

Zambry berkata walaupun terdapat bidang pertanian, yang melibatkan penyertaan asing, kerajaan akan memastikan berlaku pemindahan teknologi kepada peserta tempatan.

Katanya semua tanah-tanah terbiar yang sebelum ini digunakan untuk tanaman padi telah dibuka semula dan kini diletak di bawah pemantauan Jabatan Pertanian.

Selain itu, katanya kerajaan negeri mahu memperkembangkan kajian berteraskan bioteknologi kerana Perak mempunyai kawasan hutan yang belum diterokai sepenuhnya seperti Hutan Belum yang kaya dengan flora dan fauna.

"Kita mengajak ramai pakar-pakar tempatan dan dari luar negara untuk membuat kajian dan menghasilkan produk-produk bermutu tinggi berasaskan herba dan sebagainya," katanya.

Dr Zambry berkata produk yang dihasilkan melalui kajian serta hasil-hasil pertanian di Perak bukan sahaja akan menjadikan Perak pengeluar utama makanan tetapi menjadi pembekal utama kepada industri makanan halal yang mempunyai pasaran terbesar di peringkat antarabangsa.

Program Agrofest 2009 yang berakhir Ahad ini menyediakan 303 gerai pameran, melibatkan sebanyak 46 gerai agensi kerajaan, 174 gerai seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), 10 buah gerai pameran orkid dan sebanyak 40 gerai makanan dan minuman.

Tiada ulasan: