Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, April 26, 2009

Teknologi terkini gandakan hasil ternakan

KUCHING 15 April - Menyedari potensi kegiatan ternakan yang mampu memberi pulangan lumayan, usahawan di negeri ini tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pendedahan dengan menghadiri Kursus Keusahawanan Penternakan Kambing di Pusat Latihan Sarawak di Telaga Air, di sini.

Malah tidak mengira lapisan umur dan masyarakat serta ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkan ilmu pengetahuan dalam memulakan atau meningkatkan kegiatan ternakan di kawasan masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati rata-rata peserta kursus memberikan reaksi positif malah bersemangat menyertai kursus yang disifatkan dapat mengubah cara dan kaedah mereka menguruskan kegiatan ternakan.

Seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Nazirah Bol, 21, berkata, peluang untuk menyertai kursus seumpama itu memang tidak akan dilepaskan kerana ia banyak memberi maklumat kepada mereka yang memulakan kegiatan ternakan ini.

Menurutnya, sudah pasti pendedahan serta maklumat daripada kursus tersebut boleh digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan hasil pendapatan menerusi kegiatan ternakan komersial pada masa depan.

''Apabila mendapat tahu ada kursus seumpama ini, saya tidak melepaskan peluang untuk menyertainya kerana sedar dapat membantu seseorang usahawan meningkatkan hasil pada masa depan.

''Malah, apa yang penting adalah ilmu pengetahuan yang dikongsikan bersama dalam kursus itu akan banyak membantu para penternak di negeri ini," kata pelajar Bioteknologi Sumber tahun kedua itu.

Rakannya dari Sabah, Norjanah Monib, 21, turut sependapat malah menyatakan bahawa kegiatan ternakan tidak semestinya bergantung kepada daging semata-mata, namun ada industri lain yang boleh dikomersialkan menerusi aktiviti berkenaan.

Katanya, tidak mustahil kegiatan tersebut boleh menjadi satu bidang perubatan sekiranya terdapat penyelidikan terhadap haiwan-haiwan ternakan berkenaan.

''Daripada kursus ini kita menyedari bahawa industri ini bukan bertumpu untuk mendapatkan hasil daging sahaja tetapi terdapat kegiatan ekonomi lain yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang sama," ujarnya.

Alxandra Risip, 30, pula memberitahu, beliau berminat untuk menceburi bidang penternakan ini dan penyertaan kursus itu telah memberi gambaran yang jelas bagaimana seseorang itu mahu memulakan kegiatan ternakan.

Katanya, paling penting adalah dapat menambah pengetahuan dan pendedahan cara yang betul untuk melaksanakan kegiatan ternakan.

''Saya belum mempunyai sebarang ternakan namun saya berminat untuk memulakannya dan kursus ini telah memberi pendedahan serta pengetahuan kepada saya untuk memulakannya nanti," katanya yang berasal daripada Bau, Kuching.

Bagi Kawi Dollah, 54, berasal dari Spaoh, Betong berkata, beliau mempunyai ternakan kambing sebanyak 12 ekor tetapi masih mahu menyertai kursus tersebut kerana ingin mendapatkan pengetahuan untuk meningkatkan hasil ternakan.

Jelasnya, menerusi kursus tersebut, dia telah mendapat pengetahuan dan idea bagaimana untuk mengkomersialkan kegiatan ternakan secara maksimum.

''Jika dulu kita menternak menggunakan kaedah tradisional dengan melepaskan ternakan di ladang sahaja tetapi kaedah yang diperoleh menerusi kursus ini telah membuka minda saya bagaimana ia boleh dikomersialkan untuk memperoleh pendapatan yang lebih lumayan," ujarnya.

Tiada ulasan: