Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, November 02, 2008

Pertanian negara perlu kompetitif - Mustapa

BANGKOK 12 Okt. - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan lawatan kerjanya ke Thailand sebagai amat berguna untuk memastikan bidang pertanian negara berada dalam keadaan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, banyak perkara boleh dipelajari daripada negara jiran tersebut khususnya berkaitan teknologi terkini yang digunakan.

Sehubungan itu, beliau berharap, hubungan dua hala Malaysia-Thailand dalam bidang pertanian dapat dipertingkatkan atas dasar kepentingan bersama.

Dalam masa sama katanya, syarikat-syarikat swasta yang terlibat dalam sektor pertanian di Malaysia akan digalakkan untuk mewujudkan jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta di Thailand.

''Lawatan ini amat berguna kerana Thailand jelas pada kita berada dalam keadaan amat kompetitif dalam pertanian. Banyak kita boleh belajar.

''Di Malaysia, bidang pertanian baru empat atau lima tahun kebelakangan ini diberi perhatian," katanya di sini hari ini.

Mustapa yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari itu berkata, cabarannya sebagai orang yang bertanggungjawab di kementerian sekarang ialah berusaha membawa lebih banyak kemajuan terutama dalam meningkatkan penghasilan produk-produk pertanian.

Menurut Mustapa lagi, beliau kagum dengan sikap usahawan-usahawan pertanian Thailand yang tidak bergantung kepada bantuan kerajaan tetapi mampu menjadi pengeksport utama bagi negara itu.

''Secara umumnya, petani di Thailand sangat berdikari berbanding petani kita semuanya hendak tunggu bantuan (kerajaan) bela ayam, ternak lembu, tanam padi terpaksa diberi baja, racun dan lain-lain," katanya.

Sambil memberi contoh beberapa syarikat swasta berjaya Thailand seperti Saha Farms Group (Saha) yang merupakan antara pengeluar ayam utama negara itu dan Farm Chokhai yang mengusahakan ladang ternakan lembu terbesar di Asia, kata Mustapa, usahawan Malaysia juga perlu mempunyai daya saing dan kemampuan yang setanding.

''Kita amat tertarik dengan teknologi yang dibangunkan mereka sendiri. Contohnya Farm Chokhai, bermula dengan daging lembu, hari ini, mereka dapat menghasilkan macam-macam projek hiliran.

''Saha pula, daripada hanya 1,000 ekor ayam 40 tahun lalu, hari ini mereka mampu memproses satu juta ekor ayam sehari. Di Malaysia, syarikat kita mesti ada kaitan dengan kerajaan," ujarnya.

Menurut Mustapa, beliau mahu usahawan tempatan mula memberi tumpuan kepada projek pertanian berskala besar kerana ia dapat memberi pulangan yang lebih baik selaras dengan slogan Pertanian Adalah Perniagaan yang diperkenalkan oleh pihak kementerian.

Katanya, tanggapan bahawa pertanian dikaitkan dengan kemiskinan sewajarnya diperbetulkan kerana ia jelas sesuatu yang tidak benar.

Tiada ulasan: