Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, Julai 31, 2007

NCER: Perancangan Besar Untuk Memodenkan Pertanian Luar Bandar Di Utara


KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Wawasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melaksanakan secara menyeluruh sektor pertanian dijangka menjadi kenyataan sebaik sahaja inisiatif yang disasarkan untuk meningkatkan industri itu di bawah pelan induk bagi Koridor Utara (NC) dilaksanakan.

Pelan induk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri di Kedah pada 30 Julai, antara lain, menggariskan strategi utama untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor pertanian, yang biasanya dikaitkan dengan penduduk luar bandar dan petani tradisional.

Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd Datuk Ahmad Zubir Murshid yang menjadi arkitek pelan induk itu berkata satu teras ialah untuk meningkatkan pendapatan petani di luar bandar, dengan memberi nafas baru terhadap pertanian, pengedaran dan pemasaran.

Pelan induk itu menyasarkan untuk meningkatkan purata pendapatan petani berkenaan di atas paras RM1,500 sebulan menjelang 2012 daripada kurang RM500 dalam 2005, sejajar dengan objektifnya untuk menghapuskan kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi, katanya.

Di bawah pelan itu, yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara, isu pemilikan tanah yang berkeluasan kecil akan ditangani dengan mewujudkan pengurusan seperti koperasi, katanya dalam temubual ekslusif dua jam dengan Bernama baru-baru ini.

KEKURANGAN TANAH PERTANIAN YANG LUAS

Ahmad Zubir berkata kebanyakan tanah dalam NCER masih tidak digunakan atau digunakan tidak sepenuhnya, di mana 52 peratus daripadanya diwartakan sebagai kawasan sensitif alam sekitar.

"Jika dilihat tanah di NC, kita kekurangan kawasan tanah yang luas yang bersambungan. Tiada kawasan yang luas. Hanya terdapat 48 peratus tanah yang boleh digunakan. Kira-kira 40 peratus daripada tanah di NCER diperuntukkan bagi pertanian dan baki 52 peratus lagi merupakan rezab hutan."

Daripada 52 peratus itu, lima peratus diperuntukkan bagi penyediaan air minuman dan empat peratus bagi kawasan binaan untuk industri lain dan perumahan.

Salah satu cabaran utama pelan NCER ialah mengenai isu pemilikan tanah persendirian. Kira-kira 40 peratus daripada tanah NCER diperuntukkan bagi pertanian tetapi 83 peratus atau 800,000 ha milik pekebun kecil persendirian, katanya.

"Ini masalahnya. Sebab itu mustahil dilaksanakan pertanian besar-besaran kerana 83 peratus daripada 40 peratus (tanah pertanian) berkenaan adalah milik tanah persendirian.

Sebagai contoh, bagi penanaman padi, purata petani memiliki kira-kira satu hektar...keluasan itu merupakan kira-kira 2.2 ekar sahaja. Ia tidak besar sangat."

TERAS UTAMA BLUPRINT NCER

"Itu merupakan cabaran utama di segi pelaksanaan pertanian berskala besar. Tanah itu terlalu kecil untuk diperkenalkan penggunaan jentera. Di NC ini, cadangan utama kami ialah untuk memperkenalkan pertanian berskala koperasi estet mini," kata Ahmad Zubir.

Di bawah pelan itu, para pemilik tanah tidak akan diminta menjual tanah masing-masing tetapi sebaliknya akan digalakkan untuk melantik satu syarikat profesional bagi menguruskan tanah masing-masing yang bakal memberikan pulangan pendapatan tetap bulanan dan perkongsian keuntungan hasilnya.

Antara lain, pelan itu mencadangkan pengenalan kaedah pertanian moden, mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian, pengenalan tanaman baru dan memudahkan penggunaan teknologi dan amalan terbaik.

NCER adalah salah satu wilayah ekonomi yang dikenal pasti di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, yang akan dimajukan dalam tempoh 20 tahun. Pelan itu menyasarkan untuk mencapai pembangunan seimbang dan sama rata di empat buah negeri, yang mempunyai tiga teras ekonomi utama -- pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

Penanaman tanaman utama dalam NCER ialah padi (28 peratus), getah (3.0 peratus), kelapa sawit (66 peratus) dan tebu (3.0 peratus).

PENAMBAHBAIKAN PRASARANA

Langkah untuk menambah baik prasarana merupakan teras utama lain bluprint NCER.

Katanya terdapat kawasan tanaman padi seluas 40,000 ha yang tidak menerima pengairan, yang terletak di luar kawasan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP), di mana para petani memiliki tanah kurang satu ha setiap seorang dan hanya boleh ditanam dalam satu musim sahaja. Ia mencatatkan pengeluaran kurang tiga tonne sehektar.

"Kawasan seluas 40,000 ha inilah yang kita benar-benar perlu tambah baik seperti di segi aspek pengurusan air pengairan," katanya.

"Sistem pengairan kita tidak disepadukan sepenuhnya. apabila berlaku hujan lebat, 70 hingga 80 peratus air kita mengalir ke laut. Jika berlaku kemarau, keseluruhan kawasan atau tempat atau terusan, akan kering.

Apa yang kita hendak perkenalkan ialah mewujudkan "sistem litar tertutup." dengan mewujudkan pelbagai paras sistem pengairan terusan di mana air akan disimpan dan sesetengah terusan yang lebih besar akan digunakan bagi pemeliharaan ikan," katanya.

MERANCAKKAN SEKTOR PERTANIAN

Ahmad Zubir, perancang pelan induk NCER menjelaskan seterusnya pelan pembangunan itu. Berikut ialah petikan temubual itu:

Q: Apakah bidang yang sedang dikaji di segi menggiatkan lagi sektor pertanian?

Ahmad Zubir: Di segi sektor pertanian, kemiskinan masih lagi menjadi satu isu utama, keselamatan makanan negara juga satu isu. Selain itu, kita mesti mengkaji industri hiliran.

Ini adalah lawasan pemprosesan taman pertanian. Inilah apa yang sentiasa dikatakan oleh PM. Kita mesti mempunyai satu taman pemprosesan pertanian, iaitu, untuk mengeluarkan produk ini. Sebagai contoh padi...kita mesti menjadikan padi sebagai beras, dan secara asasnya tiada produk sampingan.

Di Jepun, mereka menjadikan hampas padi menjadi produk sampingan...kertas dari padi..konsep dari bahan buangan kepada yang boleh menghasilkan kekayaan.

PM sekali lagi menggalakkan kita mengkaji konsep dari bahan buangan ditukar menjadi sumber kekayaan, iaitu sebagai contoh produk sampingan padi...jika tidak, penanam padi akan kekal sebagai penanam padi. Kita tidak mempunyai produk sampingan atau perniagaan hiliran.

MEMPROMOSIKAN INDUSTRI HILIRAN

Q: Bagaimanakah anda merancang melakukan sedemikian?

Ahmad Zubir: Kita akan melaksanakannya dalam tiga fasa. Pertama bawa masuk pelabur untuk menimbangkan penanaman tanaman komersial, menambah baik kewujudan industri hiliran dan mewujudkan penjenamaan di sini.

Selepas itu, kita mahu dapatkan menyertaan pelabur tempatan dan kita mahu mengembangkan industri hiliran dan membabitkan lebih ramai pelabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penjenamaan dan akhir sekali kita mahu berkembang ke peringkat global. Satu hari nanti, kita akan mempunyai jenama Malaysia sendiri.

Ini merupakan sebahagian daripada program berkenaan. Program I, mempromosikan pertanian komersial secara perkongsian dengan komuniti tempatan, iaitu secara koperasi, para pemilik tanah bersama dengan kita dan melakukan pertanian kontrak dan dihubungkan dengan pasaraya besar utama dan memproses produk berkenaan.

Program II ialah dengan mengkaji tanaman baru..ini merupakan sesetengah daripada aktiviti yang kita sedang kaji. Kesemuanya bukannya dibazirkan dengan tanaman seperti mangga, durian, buah naga malah anggur....PM menyatakan anggur ditanam di Perlis. Terdapat penanaman anggur di Perlis. Dan diikuti jagung, kentang dan seterusnya.

Ini merupakan bidang yang berpotensi..ini kita telah kaji dan sesetengah tanaman sesuai diusahakan. Mulai dari situ, kita bukan sahaja akan mengeluarkan hasilnya. Kita mesti ceburi ke bidang industri pertanian hiliran, iaitu sebaik anda mula melakukan tuaian, hasil berkenaan boleh dijadikan makanan dan bukan makanan.

PEMASARAN, PENGEDARAN DAN PENJENAMAAN

Jadi, kita jangan terlalu memberi perhatian kepada bidang makanan, malah, turut memberi perhatian kepada bidang bukan makanan. Ini merupakan aktiviti hiliran yang kita nyatakan...seperti kentang. Orang bercakap mengenai "chips and fries", tetapi kini kita boleh juga menceburi bidang bio-plastik dan bidang pembungkusan yang boleh dilupuskan secara semula jadi. Ini merupakan aspek teknologi tinggi yang sedang kita kaji..perkara nilai tambah..bukan semata-mata makanan tetapi juga bukan makanan sabagai satu potensi -- jagung sebagai contoh...bio-plastik bio-fuel juga merupakan satu bidang yang berpotensi. Untuk menjayakan matlamat itu, kita mesti melaksanakan penjenamaan (Program III).

Untuk membolehkan kita mempunyai nilai tambah, kita perlu melihat kepada penjenamaan ..di sini, kita melihat kepada beberapa agensi dan juga diselaraskan dengan MAFC (Perbadanan Makanan Pertanian Malaysia), rangkaian Khazanah (Nasional Bhd). jadi kita saling melengkapi antara satu sama lain.

Kita perlu menambah baik pemasaran dan rangkaian pengedaran..jadi kita bermula dari belakang ke hadapan...kita akan memastikan ini dilaksanakan sebelum kita bergerak ke hadapan...kita akan memastikan kita mempunyai rangkaian pengedaran yang baik dan kita juga perlu melksanakan penjenamaan.

Lihat anggur California yang terkenal, daging lembu dari New Zealand..kita perlu mempunyai jenama bagi menambah nilai produk kita, jika tidak, produk kita akan sentiasa dibandingkan dengan produk murah yang lain seperti daging lembu dari India, yang sangat murah dan kita tidak akan berupaya untuk memasarkan produk kita pada harga yang lebih tinggi.

Ini merupakan bidang yang kita sedang kaji. Kita perlu bergantung kepada pasaran besar untuk memastikan produk pertanian mencapai paras untuk dipasarkan..iaitu konsep dari kebun ke kilang. Kilang bermakna prmprosesan serta pasaraya besar.

TEKNOLOGI AWAL

Apabila kita memperkatakan mengenai pertanian, kita perlu mempunyai rantaian nilai sepenuhnya. Pertama: anda mesti mempunyai kawalan terhadap teknologi awal. Kedua anda mesti mempunyai kemudahan pemprosesan, iaitu nilai tambah. Ketiga anda mesti mempunyai pengedaran dan pemasaran dan Keempat, anda mesti mempunyai jenama.

Jika anda tidak mempunyai jenama anda, anda akan menjadi mangsa pihak seperti Wal-Mart, Tesco, Giant dan yang lain. Mereka akan membeli produk anda pada harga paling murah dan menjenamakannya sebagai milik mereka sendiri. Sebagai contoh, rambutan Malaysia dibungkus sebagai laici Singapura.

Q: Selain menyiapkan bluprint, apakah peranan Sime Darby dalam NCER?

Ahmad Zubir: Kami sedang mengkaji teknologi awal. Kami sedang mengkaji untuk membuat pelaburan di segi teknologi awal dengan satu rakan kongsi asing. Kami sedang membangunkan satu pusat R&D teknologi awal di Perlis untuk menyediakan teknologi awal berkualiti baik dan juga untuk memajukan teknoloji awal bagi rantau ini.

Dalam masa yang sama, kita mesti mengukuhkan insentif untuk menggalakkan aktiviti hiliran pertanian. Kami sedang mengkaji untuk memperkenalkan usahawan tani untuk menggalakkan pembabitan mereka dalam bidang ini. Kami juga sedang mengkaji pertanian komersial, iaitu, menarik minat syarikat besar untuk mengambil bahagian dalam industri hiliran dan membabitkan diri dalam industri huluan, yang merupakan pertanian berskala besar.

Q: Berapa banyak pelaburan anda?

Ahmad Zubir: Kami akan melabur kira-kira RM25 juta untuk melaksanakan projek awal di Perlis. PM akan mengumumkan rakan kongsi kami di Perlis semasa majlis pelancaran berkenaan.

Perlis telah dikenal pasti bagi pengkulturan industri awal disebabkan iklim dan keadaan tanahnya. Di seluruh dunia, industri awal dinilaikan sekitar AS$26 bilion (kira-kira RM90 bilion) dan dikuasai oleh lima pelabur. Kita tidakpun mencapai tahap itu. Selain itu, Perlis akan mempunyai kelompok tanaman bermusim bagi penanaman tanaman menjalar seperti anggur.

Kita juga mengkaji untuk mewujudkan fidlot lembu (penyepaduan fidlot dan lembu) di Selama dengan Permodalan Nasional Bhd, melalui pelaburan lebih RM20 juta.

FAKULTI PERTANIAN

Q: Bagaimana anda merancang untuk menggunakan tanah yang tidak digunakan?

Ahmad Zubir: Sekarang ini, kita telah mengenal pasti lebih 3,500 ha tanah yang tidak digunakan yang boleh ditukar bagi kegunaan pertanian. Sesetengahnya juga merupakan tanah perindustrlan yang sepatutnya diperuntukkan bagi estet perindustrian tetapi tidak digunakan langsung.

Kita telah meminta negeri berkenaan untuk menggunakan tanah sedemikian untuk tujuan pertanian. Satu bidang ialah bagi pertanian. Kini tiada satu fakulti pertanianpun di sebelah utara...Kita mempunyai Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia. Tidak satupun daripadanya yang mengkhusus dalam bidang pertanian.

Jadi, kami mencadangkan kemungkinan Universiti Putra, di Serdang, membuka satu fakulti pertanian di sana. Kita juga ,menggalakkan pemberian biasiswa agar lebih ramai peljar berminat dalam pertanian dan perniagaan makanan pertanian.

Bidang lain yang sedang kami lihat termasuk penyediaan prasarana yang dikongsi, iaitu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi penyediaan kelompok pemprosesan pertanian, perikanan, pusat akua, pemprosesan getah dan pusat pengeluaran pemeliharaan ternakan. Ini kita mahu galakkan.

Tiada ulasan: