|
|
MUNGKIN sesuai dikatakan, Ladang BoDen yang terletak di Kampung Serting Ilir, Negeri Sembilan merupakan ladang ternakan kambing Boer pertama menggunakan pendekatan pengurusan secara korporat.
Kedengaran agak canggih dan mungkin juga rumit, namun bagi Ketua Eksekutif ladang itu, Zainal Abd. Ghani, kaedah tersebut cukup berkesan.
''Sebelum membuka ladang ternakan, saya ada menjalankan kajian mengenai perniagaan ini. Apa yang saya dapati, kebanyakan usahawan tidak menerima kentungan yang memberangsangkan.
''Justeru, saya cuba mencari alternatif menyesuaikan operasi pengurusan korporat dengan sistem perniagaan penternakan,'' katanya.
Bercerita mengenai pelaksanaannya, Zainal memberitahu dia amat menitikberatkan penyediaan persekitaran kerja yang kondusif dan selesa.
Dengan cara itu menurutnya, para pekerja boleh melakukan tugas dengan selesa sekali gus dapat mempertingkatkan produktiviti.
''Selain keselesaan haiwan ternakan, saya juga mengambil berat tentang kebajikan pekerja-pekerja dengan menyediakan ruang kerja yang luas, tidak panas, ada laluan angin dan diceriakan dengan penanaman pokok-pokok,'' jelasnya.
Di samping itu, setiap urusan pengendalian ladang ada prosedur operasi piawai (SOP) secara khusus dalam usaha meningkatkan kualiti penghasilan baka.
Sebagai contoh, sistem pemakanan ternakan akan diubah tiga minggu sebelum haiwan ternakan memasuki fasa pembuntingan.
''Ini kerana kita mempunyai sasaran meningkatkan kadar kelahiran anak kembar. Dahulu kadar tersebut hanya 25 peratus dan tahun lalu mengalami peningkatan kepada 60 peratus.
''Menerusi sistem SOP juga, kadar kehidupan untuk setiap kelahiran juga dapat dipertingkatkan kepada 90 peratus,'' jelasnya.
Sistem itu turut membantu haiwan ternakan mencapai tahap matang dengan lebih cepat daripada jangka waktu biasa supaya dapt dijual terus atau dijadikan baka.
Kelebihan itu mampu memberi penjimatan daripada segi kos penjagaan dan menggandakan keuntungan.
''Kambing Boer jantan mencapai tahap matang apabila beratnya mencecah 120 kilogram (kg) dan betina 80 kg dengan nisbah daging dan tulang 60:40,'' katanya.
Sesuatu yang unik dalam operasi pengurusan Ladang BoDen adalah pada teknologi memberi minuman kepada haiwan ternakan iaitu menggunakan sistem puting yang disambungkan terus kepada tangki air.
Ia berbeza daripada sistem konvensional pemberian air di dalam takungan baldi di mana ia perlu dicuci dan airnya diganti empat kali sehari.
''Melalui aplikasi sistem ini, ia dapat menjimatkan kos dan juga masa bekerja kakitangan dalam sehari.
''Kelebihan lainnya, ubat anti tekanan dan vitamin boleh dimasukkan terus ke dalam tangki air minuman ini,'' katanya.
Bagi memastikan kawasan ternakan bersih dan bebas daripada bau, ladang ini menggunakan sietm penapisan khas yang diletakkan di bawah kandang.
Lubang sedalam satu meter akan digali di bawah kandang dengan bahagian atasnya diletakkan pasir dan batu-batu kasar yang bertindak sebagai penapis.
Sistem itu membenarkan cecair daripada najis haiwan ternakan mengalir ke dalam lubang saliran dan tinja akan dibiarkan kering di bahagian atas sebelum dikumpul menggunakan mesin blower untuk dijadikan baja kompos.
Ladang tersebut mampu menghasilkan lima tan kompos dalam masa seminggu dan dijual dengan harga RM600 satu tan.
Daripada segi pasaran pula, kambing-kambing Boer matang akan dijual kepada agen-agen khas yang untuk daging dan kepada ladang-ladang ternakan lain untuk tujuan pembiakbakaan.
Bagi kambing pedaging, ia dijual dengan harga RM15 sekilo sementara bagi baka, harganya dalam lingkungan RM1,600 hingga RM2,500 bergantung kepada gred dan ketulenan baka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan