Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Isnin, Jun 28, 2010

Koboi Melayu




Ladang Global Livestock Corporation di Australia bukti kemampuan penternak tempatan di pasaran antarabangsa

SEBUT saja koboi, ramai membayangkan susuk tubuh lelaki tegap, lasak, lengkap bertopi dan gagah berkuda mengawal ladang seperti yang dipaparkan drama dan filem.

Sudah pasti, watak utama kerjaya ini adalah kelompok ‘Mat Salih’ atau lelaki berkulit putih yang lebih diketahui bertumpu di Amerika Syarikat atau pun di bumi Australia yang juga antara pengeksport utama hasil tenusu dan dagingnya, termasuk ke Malaysia.



Tidak ramai yang tahu, hubungan Australia dan Malaysia sebagai rakan dagang itu turut ‘dilengkapi’ kelompok koboi Melayu di sebuah ladang ternakan lembu di Darwin. Namun, mereka bukan sebarang koboi kerana anak Melayu ini turut menjadi pemilik ladang Rum Jungle seluas 800 hektar itu menerusi syarikat Global Livestock Corporation Sdn Bhd (GLC), yang diterajui Isa Al-Zubaidi, 53, selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya.



Ladang yang menyajikan pemandangan menghijau dengan hamparan padang ragut terbentang luas, dikendalikan GLC sejak 2005 dan mempunyai kemampuan purata pengeluaran mencecah 10,000 ekor lembu untuk satu musim ternakan itu yang memakan masa dua hingga tiga bulan. Kemudahan di sini termasuk termasuk rumah penyembelihan, laman eksport, gudang simpanan sejuk beku dan pusat kuarantin.


Isa yang juga anak jati Pulau Pinang, berkata usahanya dan rakan-rakan dimulai dengan hampir sedekad mengintai peluang, termasuk terlebih dulu membeli saham kecil dalam sebuah syarikat penternakan di negara kangaru. Usahanya itu membawanya ke sebuah ladang terletak di Batchelor, kira-kira dua setengah jam perjalanan dari kota Darwin.



Mengimbas detik menceburkan diri dalam perusahaan lembu kira-kira 20 tahun lalu, Isa berkata beliau tidak mungkin dapat melupakan senyuman sinis rakan apabila menyuarakan hasrat membuka ladang ternakan lembu di Australia. Namun, setiap sindiran yang diterima itu dianggap pembakar semangat untuk meneruskan impian murninya.
Tekad itu kian kuat selepas beliau dan rakan kongsi lain berdepan cabaran getir pada 1990 apabila terpaksa mengeluarkan tambahan RM1 juta untuk satu kapal dipenuhi lembu bagi pasaran Malaysia. Ketika itu, terlintas di hatinya, mengapa tidak dijejaki saja sumber mendapatkan ternakan berkenaan?



“Saya masih ingat, waktu itu menjelang Syawal sekitar 1990. Sebagai pembekal daging, saya bersama sekumpulan pembekal lain mengimport lembu menerusi orang tengah namun apabila sampai di pelabuhan, kami diminta menambah lagi bayaran jika mahukan stok dari kapal itu.



“Bayangkan kalau kami tidak menuruti kehendak mereka, tentu saja peniaga yang menjalankan urus niaga dengan kami marah apatah lagi ketika itu menjelang Aidilfitri dan pastinya kami tidak punya pilihan lain,” katanya kepada penulis yang menyertai lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar ke ladang berkenaan, baru-baru ini.

Diiringi doa serta sokongan isterinya, Norhayati Hamid, 44, beliau melakukan penyelidikan dan menyiapkan kertas kerja bagi dibentangkan kepada bakal rakan kongsi sambil merisik rakan niaga di Australia jika ada ladang yang boleh dibeli.

Pada masa sama, bapa tiga cahaya mata itu meneruskan tugasnya sebagai pembekal lembu pedaging dan daging beku untuk pasaran tempatan sambil mengintai peluang di negara kangaru berkenaan. Berkat kesabarannya yang disulami kepercayaan rakan niaga, Isa akhirnya memiliki 15 peratus saham di sebuah syarikat Australia.

“Mungkin sudah rezeki, seorang penternak di Darwin berusia lebih 80 tahun mahu menjual ladangnya yang dilengkapi kemudahan lain. Ladang itu juga pernah disewa kerajaan Brunei Darussalam,” katanya.

Kini, beliau boleh berbangga hasil kerjasama semua rakan kongsinya, produk GLC sudah menembusi pasaran ke beberapa negara pengimport lembu utama selain mempunyai anak syarikat dan rakan niaga di Indonesia, India, Brunei serta Timur Tengah. Produk daging segar dan beku syarikat itu turut mendapat perakuan Perkhidmatan Kawalan dan Kuarantin Australia (AQIS), yang membuktikan ia memiliki piawaian tinggi terutama bebas penyakit jangkitan.

Seorang lagi koboi Melayu di ladang itu, Md Taufik Abu Bakar, 40, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, yang bertugas sebagai Pengurus Operasi GLC.

Semua tugasan dilakukan sendiri dari memperbaiki peralatan jentera, membaikpulih kerosakan pagar, memantau pergerakan kumpulan lembu hinggalah tugas kawalan keselamatan bagi memastikan ladang tidak diceroboh.

“Seawal jam 6 pagi hari saya sudah bermula. Lazimnya, saya meninjau pergerakan kumpulan ternakan yang dibiarkan bebas meragut rumput. Setiap kawanan dilepaskan mengikut kategori usia dan selepas itu barulah saya tumpukan pada kerja-kerja ladang seperti memperbaiki pagar.

“Bagi yang tidak biasa kerja di ladang, ditambah pula tempat ini jauh dari hiruk pikuk manusia, tentu sukar menyesuaikan diri. Bagi saya, tempoh empat tahun di sini dan bersendirian tanpa keluarga mengajar saya menjadi lebih tabah,” katanya.

Bapa empat cahaya mata itu begitu mahir mengawal kawanan lembu untuk beralih ke kawasan ragut lain, cuma bezanya koboi Melayu di Rum Jungle ini tidak menunggang kuda, sebaliknya menaiki buggy.

Itulah keistimewaan GLC, semua tenaga penggerak terdiri daripada anak Malaysia termasuk rakan seperjuangan Isa yang juga Pengarah syarikat, Rezduan Chedin dan mereka juga yakin dengan kepakaran khidmat perunding atau doktor haiwan tempatan iaitu Glovet Veterinary Sdn Bhd.

'Seperti berada di taman safari’

PELUANG menjejakkan kaki ke bumi Darwin untuk ‘menyelongkar’ keunikan ladang milik syarikat Melayu, Global Livestock Corporation Sdn Bhd (GLC) sememangnya mengujakan malah sebaik tiba di lokasi seluas 800 hektar itu, terasa bagai berada di taman safari.

Melihat sekumpulan kangaru yang menjadi ikon Australia berada di sebalik rimbunan dedaun dan kawanan kuda liar asyik meragut pucuk muda segar di padang di sebalik pagar kayu sepanjang laluan masuk Rum Jungle, hati semakin berbunga riang.

Biarpun perjalanan hampir mencecah tiga jam, pemandangan indah lokasi menghijau seperti yang ditonjolkan dalam siri koboi di televisyen mahu pun layar perak, kelesuan terperuk di dalam perut bas seakan lenyap dibawa angin dingin Wilayah Utara itu.

Turut menggamit tumpuan sepanjang kira-kira satu kilometer laluan ke masuk ke rumah ladang GLC, di sebelah kiri kanan jalan bertanah merah itu adalah deretan pokok mangga manis yang sudah beberapa kali berbuah, seakan menyambut kehadiran pengunjung.


Seperti digambarkan, atmosfera rumah ladang itu cukup mendamaikan dengan menghadap kolam yang bersambung terus ke anak sungai, namun difahamkan antara penghuni kolam itu ialah sang bedal yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai sarangnya.

Puas berjalan-jalan di sekitar ladang milik anak Melayu ini, terselit rasa bangga di hati penulis apabila dimaklumkan ladang itu juga bakal lengkap sepenuhnya apabila pusat penyembelihan moden sedia ada ditambah baik pada kos RM9 juta.

Malah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang melawat Rum Jungle turut menyuarakan rasa bangga dengan usaha GLC memastikan hanya hasil berkualiti premium dengan jaminan halal sampai ke tangan pengguna.

Laman eksport untuk memudahkan lembu dimasukkan ke lori untuk dihantar ke luar negara juga mempunyai tarikan tersendiri, begitu juga bilik dingin bekunya yang cukup luas untuk simpanan stok sebelum dibekalkan ke negara lain khususnya menerusi anak syarikat GLC di Medan atau Bandung, PT Global Livestock Cattle.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Isa Al-Zubaidi berkata, ladang yang mampu menampung purata 10,000 lembu baka terbaik dalam satu masa atau lebih tepat 40,000 ekor setahun membolehkan GLC memenuhi permintaan tanpa mengira musim sekali gus mengalu-alukan pengimport mendapatkan terus bekalan dari mereka.

“Kenapa perlu menggunakan orang tengah yang pastinya mewujudkan jurang harga lebih besar sedangkan sesiapa saja termasuk pengimport dari Malaysia boleh mendapatkan daging segar atau beku premium yang dijamin halal terus daripada kami.

“Dengan ladang serba lengkap, kita bukan sekadar menawarkan bekalan, malah sedia berkongsi pengalaman serta kepakaran khususnya dengan usahawan ternak, pegawai di sektor penternakan atau pelajar jurusan pertanian tanah air untuk datang ke sini,” katanya.

Jika di Batchelor, Rum Jungle lebih memberi tumpuan terhadap operasi menggemukkan lembu khususnya baka Brahman, sebelum benar-benar menepati berat ideal untuk di eksport.

Namun apa yang pasti, satu-satunya ladang ternak terbesar milik anak Melayu di bumi Australia yang mempunyai lesen eksport dan import ini sedia menembusi pasaran eksport bekalan lembu pedaging dan daging beku ke Malaysia pada bila-bila masa andai diberi peluang




Diatas permintaan ramai, berikut adalah alamat untuk dihubungi:

INDONESIA

PT. GLOBAL LIVESTOCK CATTLE
B&G Tower, Lantai 6- Suite 608
Jl. Purti Hijau No.10 Medan
Ph. +62 - 61 80010080 / 81
Fax. +62 - 61 80010079
email : adminmedan@global-livestock.com

MALAYSIA

GLOBAL LIVESTOCK CORPORATION Sdn. Bhd
(Co.No. 492705-A)
Suite 7-7th Floor Wisma UOA II,
No.21 Jalan Pinang 50450, Kuala Lumpur
Ph. +603 - 21621599
Fax. +603 - 21622734
email : adminmalaysia@global-livestock.com

AUSTRALIA

GLOBAL LIVESTOCK CORPORATION (AUST) PTY LTD
Office : 15 Barang cct, Karawara, Western Australia
Farm : Section 2894, Manelling Road
Batchelor 0845 NT, Australia
Ph. +618 - 89760085
Fax. +618 - 89760053
email : adminnt@global-livestock.com & adminwa@global-livestock.com

2 ulasan:

~ I L H A M ~ berkata...

salam sume..
besaar imppian sy nk jd penternak
law bole lagi 5 tahun rasanya nk memulakan.. tp berapa minimum umur ya..
modal macammana pula

Unknown berkata...

Alhamdulillah syukur. Mudah mudah dapat berkongsi pengalaman yang berguna kepada kami. Kalau perlu share partner boleh juga menghubungi saya.