Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, September 08, 2009

Sepuluh pekebun terima bantuan lembu

MUADZAM SHAH: Sepuluh pengusaha sawit dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima bantuan lembu daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, di sini, baru-baru ini. Pengusaha terbabit adalah antara penerima awal yang terpilih menerima bantuan lembu baka `Yellow Cattle' di bawah Skim Bantuan Integrasi Tanaman dan Ternakan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang diagihkan dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMKe-9). Pemilihan lembu baka berkenaan adalah berdasarkan penyelidikan MPOB yang mendapati lembu tersebut menunjukkan prestasi yang amat menggalakkan dengan purata kelahiran melebihi 74 peratus sementara kadar kematian kurang tiga peratus.

Kajian juga mendapati, sekiranya integrasi dijalankan secara sistematik seperti yang dicadangkan oleh MPOB, maka tiada impak negatif kepada produktiviti sawit serta mengurangkan kos merumpai. Datuk Peter Chin berkata, bagi pembangunan industri sawit di bawah RMK-9, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM54.5 juta bagi pelaksanaan program meningkatkan pendapatan pekebun kecil. “Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM29.5 juta diperuntukkan bagi Skim Bantuan Integrasi Tanaman dan Ternakan dengan Sawit.

“Pelaksanaan skim ini sedang giat dijalankan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi merangsang amalan integrasi tanaman dan ternakan di kawasan tanaman sawit untuk menambah pendapatan penanam sawit di samping meningkatkan pengeluaran daging negara dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada daging import,” katanya. Beliau berkata, hasil prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan, lembu baka yellow cattle terpilih untuk diagihkan bagi tujuan integrasi dengan sawit kepada pekebun kecil yang layak. “Diharapkan pendapatan pekebun kecil akan meningkat melalui pelaksanaan projek integrasi lembu ini yang sistematik dan sekali gus dapat mencapai hasrat kerajaan menjadikan industri sawit berdaya saing dan mapan,” katanya. Semua pengusaha sawit terbabit iaitu tiga dari Pahang, masing-masing dua dari Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta seorang dari Kedah adalah ketua projek bagi integrasi ternakan yang dilaksanakan secara berkumpulan oleh peneroka Felda.
Penyerahan bantuan lembu diadakan sempena Majlis Perasmian Kompleks MPOB Keratong, di sini.

1 ulasan:

Ismail N berkata...

Alhamdulillah, semoga lebih ramai lagi pekebun yang akan menerima bantuan lembu dan semoga bertambah rezeki semua.