Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, September 08, 2009

Daging murah



JOHARI memotong daging keluaran Hadhari Cattle sambil diperhatikan Hashim, di kompleks syarikat di Paya Pahlawan, Alor Setar, kelmarin.





Hadhari Cattle jual RM15.50 sekilogram di 52 pasar raya JITRA: Orang ramai berpeluang membeli daging lembu segar tempatan pada harga promosi RM15.50 sekilogram (kg) di 52 pasar raya terpilih di seluruh negara bermula Khamis depan sehingga Aidilfitri. Daging menggunakan jenama Hadhari Food yang dibekalkan Hadhari Cattle Industry Sdn Bhd (Hadhari Cattle) itu akan dijual di pasar raya besar seperti Carrefour, Tesco, Giant dan Mydin. Harga promosi lebih rendah berbanding harga semasa sehingga RM20 sekilogram ketika musim perayaan akan mengurangkan beban umat Islam menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Ia diumumkan Pengerusi Eksekutif Hadhari Cattle, Brig Jen (B) Datuk Hashim Abdul Karim pada majlis pelancaran promosi itu oleh Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum, di kompleks syarikat itu di Paya Pahlawan, di sini.





Hashim berkata, syarikatnya sudah memeterai kontrak dengan pasar raya untuk memasarkan daging dan produknya di bawah jenama Hadhari Food. "Daging keluaran kami berbeza dengan konsep daging segar yang biasa diketahui pengguna. Daging Hadhari Cattle berkonsep kebersihan dan kesegaran kerana dibungkus menggunakan teknologi kedap udara dan bebas bakteria. "Ia boleh tahan sehingga enam bulan dan pengguna tidak perlu membasuhnya selepas membuka pembungkus dan boleh terus dimasak," katanya.





Hadhari Cattle, syarikat milik penuh Bumiputra ditubuhkan pada Ogos 2006 dengan modal berbayar dibenarkan RM5 juta. Fokus utamanya untuk menjadi pengeluar, pemproses serta pengedar daging lembu segar berkualiti tinggi 100 peratus halal atau Halalan Toyyiban. Hashim berkata Hadhari Cattle memberi jaminan bekalan daging dan produk berasaskan daging jenama Hadhari Food mencukupi untuk keperluan pengguna sepanjang Ramadan dan Hari Raya. Katanya, jenama Hadhari Food memenuhi piawaian Halalan Toyyiban mengikut syariat Islam dan diterima baik oleh pengguna serta memenuhi piawaian Kesatuan Eropah (EU). Beliau berkata, kualiti daging turut diiktiraf Islamic Relief Worldwide (IRW) yang memberi kepercayaan kepada syarikat itu untuk proses pengasingan daging korban dari Arab Saudi dua tahun berturut-turut.
Katanya, Bank Pembangunan Islam melalui IRW membawa masuk lebih 300,000 kilogram daging korban untuk diproses tahun ini iaitu penambahan hampir sekali ganda daripada tahun lalu. Johari pula berkata, langkah Hadhari Cattle amat baik ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan selaras kehendak kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah mendapatkan sumber protein segar pada harga berpatutan. "Harga yang ditawarkan dapat menstabilkan harga daging tempatan segar yang dijual sehingga mencecah RM20 terutama ketika musim perayaan. Konsep pembungkusan kedap udara menjadikan daging lebih segar dan tahan lama serta lebih bersih berbanding penyediaan secara terbuka di pasar basah. "Kita akan cuba memperluaskan konsep ini di seluruh negara kerana ia adalah cara terbaik menjamin kesegaran dan kebersihan," katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Operasi IRW, Dr Adel Sabir. Johari turut menyempurnakan majlis penyerahan 300 tan daging korban dari IRW untuk proses pengasingan tulang dan akan dihantar ke Terengganu untuk ditinkan sebelum diagihkan kepada fakir miskin di seluruh dunia.

Tiada ulasan: