Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan




Lima peserta yang mengusahakan penternakan lembu susu secara berkelompok dengan 144 ekor lembu mampu menghasilkan susu segar sebanyak 354,000 liter setahun.
MUSTAPA MOHAMED (dua dari kiri) melihat proses memerah susu lembu ketika melawat Projek Kelompok Tenusu Sungai Durian, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.


Walaupun hanya mempunyai pendidikan setakat darjah enam, Sukeri Mamat berusaha membebaskan kehidupannya daripada belenggu kemiskinan.
Bekas pekerja kilang itu telah menceburkan diri dalam industri penternakan lembu susu. Selepas 19 tahun, Sukeri kini bersyukur dengan pendapatannya yang melebihi RM3,500 sebulan hasil titik peluhnya memelihara lembu susu.
Beliau yang kini bergelar usahawan susu lembu memulakan kerjayanya menternak lembu susu pada 1990 dengan modal RM30,000.
"Pada waktu itu saya hanya mempunyai 19 ekor lembu induk kerana ia merupakan peringkat permulaan dan saya pun takut juga jika gagal.
"Tetapi hasil galakan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan lembu susu serta penyediaan pemasaran untuk susu cair yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya," kata beliau ketika ditemui di ladang ternak lembu susu Sungai Durian, Pasir Puteh, Kelantan.
Hari ini, Sukeri, 34, mempunyai 55 ekor lembu induk susu.
Menurut Sukeri, JPV menyediakan ladang itu bagi membolehkan peserta menjalankan penternakan lembu tenusu di kampung berkenaan.
Susu lembu tersebut akan diperah dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang dengan menggunakan mesin pemerah mudah alih untuk perahan yang bersih.
"Anggaran pendapatan sebulan hasil jualan susu pula sebanyak RM3,500. Ia mencukupi bagi menyara isteri dan dua orang anak," kata beliau.
Beliau merupakan antara lima peserta dalam projek JPV di ladang tenusu tersebut yang membabitkan kawasan seluas lebih 50 hektar.
Terletak di pinggir Bukit Seligi dan bersempadan dengan Jajahan Machang, ladang tersebut dikenal pasti sebagai salah satu daripada kawasan yang paling sesuai untuk penternakan tersebut.
Daripada kawasan terbiar yang dipenuhi dengan hutan, ladang tersebut kini dilengkapi dengan pelbagai bentuk kemudahan asas. Ini termasuklah jalan yang berturap tar dan bangunan pejabat operasi, selepas dibuka pada tahun 1990.
Lima peserta yang mengusahakan ladang berkenaan secara berkelompok dengan 144 ekor lembu mampu mengeluarkan susu segar sebanyak 354,000 liter bernilai RM531,000 setahun.
Selain Sukeri, empat lagi peserta yang juga penduduk tempatan ialah Ismail Zakaria, Ibrahim Abdul Ghani, Azman Che Mat dan Shahrul Bakri Abdullah.
Ibrahim Abdul Ghani, 59, pula berkata, beliau memulakan kerja itu pada tahun 1993 dengan mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 daripada hasil wang simpanannya untuk membeli 11 ekor lembu.
"Sehingga kini saya memiliki sebanyak 27 ekor lembu dan pendapatan saya hasil menjual susu pula kira-kira RM2,000 sebulan," kata beliau.
Pengarah JPV Kelantan, Datuk Dr. Mohd Zairi Serlan berkata, jabatannya menyediakan kawasan padang ragut yang ditanam dengan rumput humidicola (Brachiariahumidicola) dan rumput napier (penissetum purpureum) yang dikenali juga sebagai rumput gajah bagi memastikan lembu itu sentiasa sihat dan produktif.
"Selain meragut dan makan rumput, lembu-lembu berkenaan juga diberi makan dedak formulasi untuk mengekalkan prestasi penghasilan susu," katanya.
Pengendalian susu dari ladang berkenaan diusahakan oleh Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), Pasir Puteh yang hasil perahannya dikumpulkan setiap hari ke dalam tangki pendingin berkapasiti 300 liter.
Susu berkenaan diproses menerusi pelbagai ujian makmal untuk memastikan kualitinya sebelum dijadikan susu segar yang dipasteur, berperisa dan dijadikan dadih.
Harga susu itu dibayar setiap awal bulan oleh PPIT pada kadar RM1.50 sen seliter yang dikreditkan ke akaun setiap penternak.
Beliau berkata, peserta berkenaan telah menunjukkan daya saing yang tinggi di kalangan penternak tenusu bersaiz kecil dan separa komersial.
"Pengurusan yang baik telah mendorong jabatan saya untuk menyokong supaya ia dinaik taraf memandangkan potensi industri itu amat baik pada masa depan. Ini termasuklah kemudahan asas dan memperbaiki tahap biosekuriti bagi mengelak kejadian penyakit pada ternakan," katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, negara menyasarkan pengeluaran 1.1 bilion liter susu cair setahun dalam usaha memenuhi keperluan susu domestik dan mengembangkan perusahaan tenusu tempatan.
Beliau berkata, perusahaan tenusu mempunyai potensi yang tinggi kerana tahap pengeluaran dalam negara masih rendah iaitu pada 51 juta liter setahun atau pada kadar 4.6 peratus sahaja daripada keperluan. - Bernama

0 ulasan: