Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, November 02, 2008

RM130j jadikan Sabah pengeluar susu segar

Sebanyak RM130 juta diperuntukkan di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) bagi tahun 2009 hingga 2010 untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar susu dan daging segar utama di Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin berkata, melalui dana terbaru itu dijangka pengeluaran susu segar akan mencapai sehingga 35 juta liter setahun.

"Sebelum ini, pengeluaran bagi tahun 2007 hanya 10 juta liter, melalui program di bawah Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT), kita yakin pengeluaran dapat ditingkatkan 35 juta seliter.

"Bagi pengeluaran daging segar pula, diramalkan Sabah mampu mengeluar sehingga 1,000 metrik tan setahun," katanya ketika menjawab soalan lisan Au Kam Wah (BN-Elopura) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata, sasaran penghasilan susu dan daging sedar itu mampu dicapai kerana baka lembu tenusu akan membiak sehingga 2,000 ekor dalam masa setahun menjelang 2015.

Selain itu, katanya, kerajaan melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sabah sedang berusaha untuk menjadikan susu menjadi produk hiliran.

"Melalui usaha ini, pengeluaran susu segar akan dipertingkatkan melalui proses nilai tambah, dengan adanya usaha ini, peluang untuk mengeksport produk susu kita keluar negara adalah cerah," katanya.

Yahya memberitahu, Sabah masih mempunyai keistimewaan untuk diterima di pasaran antarabangsa kerana masih bebas daripada sebarang penyakit haiwan yang berbahaya.

Beliau berkata, kementeriannya melalui JPHPT akan terus memainkan peranan penting memberi bimbingan kepada para penternak lembu tenusu supaya produktiviti dapat ditingkatkan.

Bagi memastikan pengeluaran susu segar supaya sentiasa menepati standard yang ditetapkan, JPHPT telah menaik taraf pusat penyelidikan ternakan di Kepayan, dekat sini.

"Di samping itu, pusat bioteknologi di Keningau akan terus diperkasa bagi menjamin baka ternakan yang baik dan bersesuaian dengan persekitaran tempatan," katanya.

JPHPT juga kata beliau, sedang membangunkan pusat pembiakan baka ternakan di Nabawan yang akan menghasilkan baka ternakan yang baik.

Tiada ulasan: