Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan




Zulkhairi mempunyai koleksi haiwan termasuk 11 ekor bekas kuda lumba

MINATNYA terhadap binatang mula berputik sejak kecil tapi larangan ibu yang tidak mahu dia memelihara haiwan peliharaan menyebabkan niatnya terhalang. Namun, apabila hati sudah cinta, apa juga cara tetap dilakukan termasuk membawa pulang anak monyet ke rumah dengan harapan hati ibunya lembut namun usahanya tetap tidak membuahkan hasil.

Pengarah Urusan Kumpulan Jelapang Warisan Sdn Bhd, Zulkhairi Md Zain, berkata memori ketika berusia lima tahun itu masih kejap di fikirannya tapi ia tidak pernah memadamkan rasa suka pada binatang.


Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina Universiti of Texas Arlington, Amerika Syarikat itu, detik awal bergelar arkitek yang aktif di dalam bidang penternakan bermula ketika kegawatan ekonomi pada 1997.

“Walaupun ketika itu saya mempunyai syarikat seni bina sendiri namun tiada langsung projek yang diberikan sehingga menyebabkan saya terpaksa mencari semula syarikat yang pernah menjadi pelanggan kami dulu dan menawarkan khidmat penyelenggaraan untuk landskap mereka.

“Pernah sekali saya dipanggil memotong rumput di pejabat lama di Ampang. Saya sarungkan topeng ski berserta cermin mata hitam supaya tiada kenalan yang perasan. Tapi lama begitu menyebabkan saya berasa panas lalu saya fikir, buat apa hendak malu sedangkan apa yang saya buat adalah kerja halal, bukan mencuri,” katanya.

Zulkhairi di kandang ternakan kambingnya di Sungai Buloh.

Kini, bapa kepada enam anak itu boleh berbangga kerana minat dan kasihnya pada haiwan dapat diteruskan malah perniagaan nurseri dan mereka bentuk landskap yang ditubuhkan sejak 1997 membuka ruang kepadanya untuk memelihara pelbagai jenis haiwan ternakan seperti kambing, lembu, kerbau, biri-biri, rusa, unta, arnab dan burung unta.

Selain haiwan ternakan yang dipelihara untuk tujuan jualan, Zulkhairi turut mempunyai koleksi haiwan lain termasuk 11 ekor bekas kuda lumba dari spesies Thoroughbred dan Polo Pony serta kuda kacukan dua spesies berkenaan, iguana, ular sawa, itik dan burung.

“Minat untuk membela kuda datang dengan sendirinya selepas saya menternak kambing, bebiri dan lembu. Kebetulan saya punyai kawasan yang agak luas untuk pembinaan kandang kuda dan gelanggang,” katanya.

Membeli bekas kuda lumba menjadi cabaran bagi pemilik kuda kerana bekas kuda lumba dari jenis Thoroughbred memang agresif dan memerlukan latihan konsisten termasuk menukar jenis makanan. Kuda yang digunakan bukan untuk tujuan berlumba tidak akan diberikan makanan bertenaga tinggi yang mahal kerana ia adalah pembaziran sebaliknya makanan seimbang seperti rumput, jerami dan dedak kuda bercampur serbuk vitamin akan diberikan mengikut kadar ditetapkan iaitu berdasarkan saiz kuda.

“Melalui pemakanan dan latihan berterusan dalam tempoh empat hingga lapan bulan, kuda berkenaan boleh menjadi jinak, patuh pada arahan dan mesra dengan manusia serta haiwan lain,” katanya.

Kuda yang bersara dari perlumbaan biasanya berusia enam hingga tujuh tahun iaitu selepas kira-kira dua atau tiga tahun berlumba. Biasanya kuda pasca perlumbaan sesuai dilatih bagi tujuan riadah, lompat berkuda (showjumping) dan pengawalan kuda (dressage).

Melalui pengalaman dan pembacaan, Zulkhairi memulakan proses menjinakkan kuda melalui kaedah tunggangan perlahan iaitu ‘walk’ dan ‘trot’. Latihan itu sebagai pengenalan bagi membiasakan kuda dengan tunggangan berbentuk riadah.

“Masalah dihadapi bekas kuda lumba adalah dipukul terus menerus supaya memecut ketika perlumbaan. Jadi, rasa fobia terhadap jockey yang memukul dan kelibat whip yang digunakan perlu dikikis sebelum latihan peringkat seterusnya dapat dilakukan.

“Apabila fasa pertama dapat dilepasi, pelatih kuda akan mula membiasakan haiwan itu dengan alam sekeliling antaranya bunyi motosikal, kereta, lori dan juga siren ambulans bagi mengurangkan risiko terperanjat apabila berdepan situasi berkenaan,” katanya.

Katanya, bekas kuda lumba juga akan didedahkan dengan halangan di jalan raya seperti kon pembinaan, papan tanda dan objek melintang kerana berdasarkan pengalaman sendiri, kuda yang sedang dijinakkan pernah berhenti secara tiba-tiba dan mula berjalan mengundur di tengah kesesakan jalan raya kerana takutkan kon di atas jalan.

Kini, ternakan kuda yang dulunya menjadi riadah sampingan mula memberi keuntungan. Malah, bekas kuda lumba yang dijinakkan Zulkhairi turut dibeli pelbagai pihak antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk dijadikan rekreasi kampus.

“Nilai seekor kuda bergantung pada kualiti baka dan keturunannya. Kuda lumba mempunyai buku kelahiran contohnya Australian Stud Book yang merekodkan semua maklumat mengenai kuda termasuk tarikh dan masa lahir serta salasilah empat atau lima generasi kuda itu,” katanya.

Harga seekor kuda lumba Thoroughbred yang baik dari Australia dan New Zealand berusia empat tahun bernilai kira-kira RM70,000 hingga mencecah jutaan ringgit tapi jika ada kecederaan, prestasi buruk atau faktor umur, nilai kuda berkenaan akan jatuh sehingga mencecah ratusan ringgit saja,” katanya.

Selain jualan dan tunggangan kuda untuk rekreasi, skop utama Zulkhairi masih kepada penternakan, nurseri dan penyelenggaraan landskap. Malah, sejak hampir empat tahun lalu, Zulkhairi menyelenggara taman di Istana Sultan Selangor.

“Selain itu, kami turut menyediakan khidmat katering daripada hasil ladang dengan menu kari kambing, kurma, beriyani kambing dan yang paling popular adalah set barbeku kambing atau rusa,” kata anak kelahiran Padang Lumat, Yan, Kedah yang kini memiliki ladang seluas 40 hektar dengan 20 hektar sudah serta sedang diusahakan.

Kejayaan Zulkhairi sebagai arkitek, penternak dan pereka landskap juga membolehkan dia dinobat sebagai pemenang Penternak Jaya Ruminan Selangor 2007 dan pemenang kategori Pengeluar Produk Landskap Pelbagai Pertandingan Nurseri Terbaik sempena Hari Landskap Negara 2007.

0 ulasan: