Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

PASIR MAS, 21 Mei -- Hanya dengan tiupan wisel, kambing-kambing berkejaran masuk ke kandang masing-masing.

Begitulah gambaran keunikan kambing ternakan yang terdapat di ladang ternakan kambing 'Sunnah Ternak' di Kampung Rong Chenok, di sini.

Pengerusi yang juga pemilik ladang berkenaan, Zulkifli Yaacob, 44, kini boleh tersenyum bangga, walaupun dikatakan masih setahun jagung menjadi usahawan kambing tetapi beliau mampu mencetuskan kelainan kepada kambing-kambing ternakannya yang pelbagai spesies itu.

"Kambing juga boleh diajar. Sejak awal dilatih mengikut arahan menggunakan tiupan wisel dan sekarang mereka sudah betul-betul faham apa yang perlu dilakukan apabila mendengar tiupan wisel," katanya kepada Bernama di sini.

Menariknya lagi, walaupun sedang enak menikmati rumput di padang, kambing-kambing berkenaan segera berhenti dan bersedia untuk masuk ke kandang apabila wisel ditiup.

Bahkan, dengan keluasan dua buah kandangnya yang dikatakan terbesar dan terpanjang di negara ini iaitu seluas 450 kaki kaki 50 kaki persegi setiap satunya itu tidak sedikitpun mengelirukan kambing-kambing berkenaan untuk mengenali dan memasuki kandang masing-masing.

TIADA BAU LADANG TERNAKAN

Bukan itu sahaja, bagaikan sukar dipercayai, ladang ternakan yang sinonim dengan bau busuk dan kotor tidak dialami saat pertama kali menjejakkan kaki ke ladang ini.

Walaupun pelbagai spesies kambing dan biri-biri sebanyak 2,500 ekor terdapat di sini namun tiada bau yang membuatkan pengunjung loya sehingga tidak sanggup berada lama di ladang ini.

"Kami amat mementingkan kebersihan. Ladang ini juga diwujudkan untuk kunjungan orang ramai.

"Kalau bau busuk bukan sahaja orang ramai, kami sendiri pun takkan sanggup berada lama di sini," katanya.

Beliau berkata kesemua pekerjanya yang seramai 15 orang terdiri daripada pengurus, doktor haiwan, akauntan, pekerja yang menguruskan haiwan dan pengawal keselamatan kesemuanya tinggal di bilik yang disediakan di tengah-tengah kandang berkenaan.

"Mereka perlu berada di ladang sepanjang masa untuk menjaga kambing-kambing ini. Di sinilah yang boleh dibuktikan, kalau kandang tidak mempunyai bau dan sentiasa bersih jadi manusia dan haiwan boleh tinggal bersama," katanya.

REALISASI IMPIAN

Mengimbas tercetusnya ide pembukaan ladang yang menelan belanja RM1.5 juta itu Zulkifli berkata, ianya ditubuhkan atas dasar keinginan untuk menjadikan Kelantan sebagai hub pengeluaran daging kambing terbesar di Malaysia.

Bahkan keinginannya itu membuatkan beliau yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar dan dahulunya ustaz di Sekolah Maahad Muhammadi di Kota Baharu melepaskan jawatannya untuk merealisasikan impiannya itu.

"Projek ini bermula pada bulan Mei tahun lepas di mana pada awalnya kami bermula dengan memelihara sebanyak 500 ekor kambing dan biri-biri sehingga ia bertambah sebanyak 2,500 ekor sekarang," katanya.

Zukifli berkata kesemua haiwan ternakannya itu dibela di dalam dua buah kandang dan setiap kandang dapat menempatkan lebih 1,000 ekor kambing dan biri-biri dalam satu masa di mana kos pembinaannya melibatkan jumlah sebanyak RM900,000.

Menurutnya jenis kambing yang terdapat di ladang ternakannya itu ialah dari baka Jamnapari Anglo, Jamnapari Cross, manakala jenis biri-biri pula ialah Barbados, Pull Marino dan Dambagarul.

SISTEM PAWAH

Bagi merealisasikan impiannya untuk menjadikan negeri ini sebagai hub pengeluaran daging kambing terbesar di Malaysia, Zulkifli yakin usaha menternak kambing tidak harus dilakukan olehnya sahaja.

Atas dasar itu, beliau mengambil inisiatif untuk membiakkan kambing- kambingnya dengan mewujudkan sistem pawah.

"Sistem pawah adalah sistem di mana kami akan memberi lima ekor kambing betina yang telah bunting secara percuma kepada sesiapa sahaja terutama graduan menganggur yang benar-benar berminat untuk menternak kambing.

"Apabila kambing-kambing berkenaan melahirkan anak, kami akan mengambil semula lima ekor kambing berkenaan dengan memberikan kesemua anak-anak kambing yang baru dilahirkan kepada penternak itu untuk dibela," katanya. Menurutnya, sehingga kini sebanyak 250 ekor kambingnya telah diberi kepada 50 penternak di sekitar negeri ini.

Beliau kini memperolehi pendapatan hasil perniagaannya secara puratanya RM50,000 sebulan.

LADANG JADI TEMPAT PELANCONGAN

Ditanya impiannya selain mencipta hub pengeluaran daging kambing terbesar, Zulkifli tersenyum penuh makna.

Beliau berkata, masih ada impian lain yang mahu direalisasikan. Menurutnya, dalam tempoh lima tahun akan datang beliau mensasarkan ternakannya meningkat kepada 20,000 ekor.

Bahkan beliau mahu menjadikan ladangnya sebagai sebuah tempat pelancongan yang mesti dikunjungi orang ramai.

"Kalau boleh mahu buat seperti Safari di Afrika," katanya sambil tersenyum.

Selain itu Zulkifli turut mengadakan kursus penternakan kambing secara komersial kepada sesiapa yang berminat bermula Jun ini.

"Kursus ini terbuka untuk semua. Kami hanya mengenakan bayaran RM180 kepada peserta untuk penginapan dan makanan tetapi bagi graduan yang menganggur hanya dikenakan bayaran RM50 sahaja untuk makanan sementara penginapan ditanggung," katanya.

Beliau berkata, bagi sesiapa yang berminat menyertai kursus berkenaan boleh menghubungi Zulkifli Yaacob di talian 019-9678787.

0 ulasan: