Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Sabtu, Januari 19, 2008

Insentif pertanian ditambah


TINGKAT PERTANIAN: Muhyiddin pada majlis prapelancaran Pameran Biobisnes 2008 Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Kabinet semalam mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji mekanisme pemberian insentif untuk membantu pengeluar bahan makanan meningkatkan hasil dan mengurangkan beban kenaikan kos input pertanian sejak tahun lalu.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kajian yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu itu akan mencadangkan kaedah pelaksanaan pemberian insentif kepada petani, penternak dan nelayan serta menyatakan implikasi kos yang perlu ditanggung kerajaan.

"Pada mesyuarat Kabinet tadi (semalam), saya menjelaskan bahawa sektor pertanian perlu dibantu, kalau bukan subsidi boleh diberi dalam bentuk insentif dan jemaah menteri nampaknya tidak menolak," katanya pada sidang media selepas prapelancaran Pameran Biobisnes 2008 Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di sini, semalam.


Pameran Biobisnes 2008 di Stesen Mardi Kluang pada 31 Januari hingga 1 Februari ini akan mempamerkan lebih 200 hasil penyelidikan dan teknologi institut itu dalam bioteknologi, herba, hortikultur, tanaman ladang, kejuruteraan pertanian dan makanan.

Muhyiddin berkata, walaupun pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan dan ikan meningkat, penawaran masih tidak mencukupi kerana permintaan terus bertambah.

Justeru, katanya, pengeluar bahan makanan seperti petani berdepan dengan masalah pertambahan kos berikutan peningkatan harga baja dan racun serangga di antara 40 hingga 50 peratus akibat kenaikan harga minyak mentah dunia.

"Semua ini beban kepada penanam tetapi kita tahu dasar kerajaan ialah tidak mahu meningkatkan lagi nilai subsidi yang sudah pun besar," katanya sambil menambah setiap tahun kerajaan membelanjakan RM1.5 bilion untuk subsidi padi dan RM1 bilion untuk subsidi diesel.

Mengenai wang sagu hati kepada petani yang terbabit kejadian banjir di beberapa negeri baru-baru ini, Muhyiddin meminta Bahagian Keselamatan Negara (BKN) segera menyalurkan sumbangan itu kepada mereka terbabit menerusi cawangan Bank Pertanian di seluruh negara.

Tiada ulasan: