Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Jumaat, Julai 13, 2007

600 embrio kambing baka baik Afrika Selatan dibiak

KUALA LUMPUR 12 Julai – Sebanyak 600 embrio dan air mani kambing bermutu tinggi dari Afrika Selatan tiba di negara ini hari ini untuk dibiakkan menggunakan kaedah permanian beradas dan pemindahan embrio.
Proses itu akan dilakukan di Pusat Embrio Haiwan Nasional yang baru diwujudkan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang dan sebuah lagi di Kluang, Johor.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 500 adalah dari baka kambing boer, 50 jenis kalahari merah dan 50 lagi baka savanah.
Menurutnya, sebanyak 500 lagi baka kambing betina boer dan 50 baka jantan jenis yang sama akan tiba pada bulan depan.
‘‘Ketibaan embrio ini adalah hasil daripada kunjungan saya ke negara itu baru-baru ini dan mendapati mereka mempunyai teknologi terbaik dalam bidang pembiakan lembu dan kambing.
‘‘Berikutan itu, tiga pegawai MARDI bersama tiga lagi dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan dihantar ke negara itu pada Mei lalu untuk membuat kajian di beberapa pusat kajian embrio haiwan di negara tersebut,’’ katanya.
Muhyiddin berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menteri Pertanian Afrika Selatan, Lulama Xingwana selepas mengadakan mesyuarat selama sejam di sini hari ini.
Xingwana bersama delegasinya akan berada di negara ini selama tiga hari dan ia merupakan kunjungan balas atas kunjungan Muhyiddin ke Afrika Selatan pada awal tahun ini.
Mengenai perdagangan, Muhyiddin memberitahu, jumlah eksport produk pertanian Malaysia ke Afrika Selatan dalam enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM466.4 juta dan dijangka meningkat melebihi RM800 juta menjelang akhir tahun.
Jumlah import dalam tempoh yang sama pula, katanya, adalah sebanyak RM133.7 juta dan dijangka mencecah RM600 juta pada hujung Disember ini.
Mengenai MoU yang ditandatangani itu, beliau berkata, sebuah jawatankuasa bersama akan dibentuk dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian masing-masing bagi melaksanakan semangat dan kandungan MoU tersebut.
Katanya, MoU itu menggariskan ruang untuk kedua-dua negara bekerjasama bagi menjana pertumbuhan ekonomi antara kedua-dua negara.
Perjanjian itu, katanya, menumpukan kepada kerjasama dalam bidang penghasilan penternakan dan tanaman, akuakultur, penyelidikan dan pembangunan dalam industri penghasilan makanan dan asas tani.


Muhyiddin berkata, ia juga membawa kepada persetujuan untuk mengadakan satu seminar mengenai industri makanan halal akan diadakan di Afrika Selatan.
Katanya, seminar yang akan diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Haiwan dan Jabatan Kesihatan itu adalah bagi menerangkan tentang piawaian halal Malaysia.
Menurut beliau, seminar itu diadakan berikutan hasrat Afrika Selatan untuk mengeksport daging lembu, kambing dan burung unta ke sini.
Sementara itu, Xingwana berkata, pihaknya juga berhasrat untuk mengeksport buah-buahan seperti mangga, avokado dan anggur.

Tiada ulasan: