Notis peringatan larangan mengikut Akta Binatang 1953 (2006) itu mula diedarkan 8 Julai lalu berikutan perangkaan mendapati 1,766 atau mewakili 66.2 peratus daripada 2,666 ekor lembu betina yang disembelih di empat rumah sembelihan kerajaan di Perak antara Januari hingga bulan lalu adalah betina dengan sebilangannya dipercayai bunting atau masih produktif.
Bagaimanapun, notis peringatan itu mendapat bantahan penternak, penyembelih, pemborong dan penjual daging segar kerana mendakwa mata pencarian mereka terjejas selain bimbang bekalan daging segar terjejas, terutama menjelang Ramadan dan Syawal.
Semalam, lebih 10 orang mewakili kumpulan penternak, pemborong dan penjual daging segar berkumpul termasuk membawa sepanduk membantah arahan itu di Pasar Taiping.
Kumpulan itu mendakwa, mereka berdepan pelbagai kesan terutama dari segi pendapatan sejak larangan itu dikeluarkan, selain bimbang bekalan daging segar menjelang Ramadan dan Syawal mungkin terjejas hingga menyukarkan pengguna mendapatkan daging segar.
Mengulas bantahan itu, Pengarah Veterinar negeri, Datuk Dr Quaza Nizamuddin A Hassan Nizam, berkata undang-undang berkenaan sudah lama termaktub, tetapi pihaknya terpaksa mengeluarkan notis peringatan itu apabila mendapati peratusan lembu betina yang disembelih di Perak meningkat mendadak.
Katanya, jabatan bukan mahu menyusahkan mana-mana pihak tetapi notis itu bertujuan mengelak lembu bunting disembelih kerana ia bertentangan etika dan kebajikan binatang, selain menjurus satu bentuk penyeksaan terhadap haiwan.
“Selain itu, jika lembu bunting dan masih produktif disembelih sewenang-wenangnya, kita bimbang ia akan menjejaskan populasi ternakan itu dan dalam jangka panjang boleh jejas bekalan daging segar.
“Kita sudah beri penjelasan perkara ini dan meminta semua pihak terbabit memahami serta memberi kerjasama kerana jika tindakan itu tidak dibendung, ia boleh menjejaskan nama negara di mata dunia dalam konteks etika dan kebajikan haiwan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Dr Quaza Nizamuddin berkata, mereka yang melanggar akta itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 bagi seekor lembu, selain boleh juga dipenjara jika ia merujuk kesalahan mengikut Seksyen 44 kerana penyeksaan terhadap binatang.
Bagaimanapun, beliau berkata, akta dan notis itu bukan bermakna tiada mana-mana lembu betina boleh disembelih, sebaliknya ia tertakluk kepada pemeriksaan oleh pegawai Veterinar.
“Jika lembu betina itu tidak lagi produktif atau ada perkara yang membolehkan haiwan itu disembelih, kita benarkan,” katanya sambil menegaskan larangan berkenaan tidak akan menjejaskan bekalan daging segar sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan