Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, September 27, 2011

Industri daging halal Kazakhstan kian berkembang

TERNAKAN yang disembelih diperiksa tahap kesihatan terlebih dulu sebelum diedarkan kepada pengguna.
TERNAKAN yang disembelih diperiksa tahap kesihatan terlebih dulu sebelum diedarkan kepada pengguna.
Ingin bersaing dengan negara bukan Islam jadi pengeluar produk halal berskala besar

PERTUMBUHAN industri pengeluaran daging halal di Kazakhstan memperlihatkan perkembangan yang agresif dan meyakinkan pada 2011 berbanding jumlah kecil yang boleh dibilang dengan jari lebih sedekad lalu.
Kazakhstan, negara pecahan Soviet Union yang kedua terbesar selepas Russia itu mula mempraktikkan sistem persijilan halal pada 2006, menerusi Kementerian Perdagangan dan Industri yang mewujudkan Jawatankuasa Standard Halal.
Kesungguhan itu memperlihatkan peralihan penting kepada negara yang majoriti penduduknya beragama Islam apabila lebih 500 syarikat kini mematuhi standard halal antarabangsa yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Standard Halal Kazakhstan, Marat Sarsenbayev, berkata produk daging halal semakin mendapat tempat di pasaran negara itu malah menunjukkan potensi pertumbuhan memberangsangkan.

“Pertumbuhannya sangat ketara terutama di pasar dan pasar raya utama sekitar Astana. Kualiti pemprosesan produk yang memenuhi standard halal juga menunjukkan peningkatan. Malah setiap satu pasar raya memiliki sekurang-kurangnya satu bahagian menjual produk halal,” katanya pada pertemuan di Astana, baru-baru ini.

Beliau berkata, Kazakhstan ialah sebuah negara berbilang bangsa namun majoriti penduduknya beragama Islam sekali gus permintaan terhadap produk daging halal semakin meningkat.
Usaha itu katanya, bermula dengan pengeluaran daging halal dan seterusnya dikembangkan kepada produk lain seperti hasil tenusu, kosmetik serta ubatan yang mematuhi standard halal.

Bagaimanapun beliau mengakui, Kazakhstan masih baru dalam industri halal dan melihat Malaysia sebagai negara contoh yang sudah maju dalam industri halal pada peringkat global.

“Kami akan belajar daripada pengalaman Malaysia untuk menjadi pemacu dalam pembangunan industri produk halal,” katanya.

Lawatan rombongan media Malaysia ke Kazakhstan anjuran Kedutaan Kazakhstan di Kuala Lumpur, turut dibawa meninjau sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan daging halal terbesar di Astana untuk melihat sendiri bagaimana haiwan ternakan seperti lembu, biri-biri dan kuda disembelih.

Sarsenbayev berkata, selain mementingkan standard halal mengikut syariat Islam, ternakan yang disembelih di situ diperiksa tahap kesihatan terlebih dulu bagi memastikan hanya daging berkualiti diedarkan kepada pengguna.

“Setiap hari lebih 250 ekor ternakan akan disembelih. Jumlah itu meningkat kira-kira 10,000 ekor tahun lalu dan kami menjangkakan 15,000 ternakan disembelih di sini pada musim Ramadan dan Aidiladha nanti.

“Selesai proses penyembelihan dan pembersihan, daging akan diuji sekali lagi tahap kualitinya sebelum dijual. Proses itu dilakukan oleh pegawai terlatih untuk memastikan standard prosedur halal dipatuhi,” katanya.

Sarsenbayev berkata, prosedur itu menepati standard persijilan MS 1500 yang diperkenalkan di Malaysia pada 2004 dan sedang berusaha mencapai standard halal MS1500: 2009 tahun ini.

Beliau berkata, prosedur ketat itu juga selari dengan seruan Presiden Nursultan Nurbayev yang mahukan Kazakhstan dikenali sebagai pusat produk halal kerana mempunyai pasaran besar di negara Islam.

Prosedur sama yang diaplikasikan itu bukan saja tertumpu kepada proses penternakan dan penyembelihan haiwan tetapi turut membabitkan proses pembersihan alatan yang digunakan ketika memproses daging.

Pengeluar daging halal bagi pasaran domestik dan antarabangsa diwajibkan mematuhi standard yang ditetapkan. Tempoh persijilan halal diperbaharui setiap tahun dan pemegang sijil tertakluk kepada pemeriksaan mengejut dari masa ke semasa.

Nurbayev sebelum ini menyeru pengeluar produk halal di Kazakhstan mengambil contoh industri produk halal Australia yang mempunyai lebih 40 syarikat menjual daging halal di seluruh dunia.

Bagi membantu pengeluar mendapatkan pasaran daging halal di Asia Tengah, Asia Barat dan Timur Tengah, kerajaan bersama industri menganjurkan Ekspo Halal Antarabangsa pertama di Astana, Oktober tahun lalu dengan penyertaan dari 50 negara.

Sarsenbayev berkata, minat terhadap konsep halal mula berputik ketika berkunjung ke Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia atau MIHAS di Kuala Lumpur pada 2005.

Mereka tertarik dengan konsep halal yang turut diamalkan di negara bukan Islam seperti Brazil, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

“Dari situ, kami tertanya-tanya bagaimana negara bukan Islam boleh menjadi pengeluar produk halal dalam skala besar dan mengapa negara Islam seperti Kazakhstan tidak melakukan perkara yang sama,” katanya.

Kazakhstan katanya, adalah satu-satunya negara bekas Kesatuan Soviet yang mempunyai standard persijilan halal yang sistematik. Prosedur yang diguna pakai berdasarkan proses persijilan halal Malaysia yang turut dicontohi negara lain seperti Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Tajikistan.

Tiada ulasan: