Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Rabu, Mac 18, 2009

Susu kambing mampu tingkat tumbesaran



Susu kambing merupakan pilihan makanan terbaik bagi membantu meningkatkan tumbesaran badan manusia kerana ia mempunyai khasiat dan kualiti yang hampir sama dengan susu manusia.
Pemilik Ladang Kambing Osman, Osman Cheya Kutty berkata, susu kambing merupakan pilihan yang mempunyai nutrisi tinggi serta kaya dengan protein dan asid amino.
''Kandungannya yang penuh dengan khasiat vitamin A,D dan E amat sesuai untuk dijadikan makanan tambahan dalam kehidupan seharian,'' katanya.
Kandungan lemak yang rendah juga boleh membantu merawat pelbagai penyakit seperti jaundice, asma dan gastrik serta sesuai untuk sistem penghadaman yang bermasalah, ujarnya.
''Jika dibandingkan, susu kambing adalah lebih mudah dihadam berbanding susu lembu dan ia kaya dengan pelbagai zat galian yang diperlukan manusia.
''Susu ini juga boleh membantu manusia untuk menjaga kesihatan kulit dan pembinaan sel-sel darah dalam badan di samping dapat membantu memulihkan masalah tenaga batin," katanya.
Osman berkata, permintaan terhadap susu kambing terutamanya baka British Alpine adalah yang terbaik kerana ia tidak berbau dan sesuai untuk semua termasuk mereka yang menghidap alahan terhadap susu.
Pada kebiasaannya, orang ramai beranggapan susu kambing berbau hanyir dan tidak sesuai untuk diminum tetapi tanggapan itu salah kerana baka British Alpine adalah jenis kambing tenusu, jelasnya.
''Susu kambing daging sememangnya tidak sesuai untuk diminum kerana ia berbau hanyir tetapi susu kambing tenusu memang sesuai untuk diminum.
''Di sini antara kambing pengeluar susu yang diternak adalah British Alpine, Anglo Nubien dan Saanen,'' katanya.
Tambahnya, kambing-kambing jenis tersebut mampu untuk menghasilkan sehingga empat liter susu sehari bagi setiap ekor, namun permintaan terhadapnya terus meningkat mengatasi bekalan yang ada.
''Jika dahulu hendak jual sebotol pun susah tetapi sekarang permintaannya melambung sehingga mengatasi jumlah bekalan yang ada," katanya.





Janji pulangan lumayan
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIRutusanjohor@utusan.com.my
Osman Cheya Kutty, pembekal daging korban di Kampung Kangkar, Tebrau, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU 16 Mac – Pertanian merupakan satu bidang yang cukup sinonim dengan Malaysia kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara.
Bidang penternakan khususnya mengalami fasa perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan usahawan di negara ini semakin rancak menjalankan kegiatan penternakan kambing kerana ia mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Ladang Kambing Osman yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru begitu komited terhadap pengeluaran hasil daging dan tenusu yang segar serta berkualiti tinggi.
Penubuhan ladang tersebut pada peringkat awalnya bertujuan menyahut seruan kerajaan bagi membangunkan sektor pertanian dan penternakan sebagai enjin kedua penggerak ekonomi Malaysia.



Pemiliknya, Osman Cheya Kutty, 40, berkata, bidang penternakan kambing semakin diminati dan sememangnya menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap daging kambing semakin meningkat.
Katanya, permintaan terhadap daging kambing di kalangan masyarakat semakin bertambah dan setiap bulan Ladang Kambing Osman mampu menjual kira-kira 200 ekor kambing untuk pelbagai tujuan.
‘‘Jika dahulu, orang hanya akan membeli kambing setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha tetapi kini hampir setiap hari ada sahaja yang datang untuk membeli kambing untuk dibuat aqiqah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kangkar, Tebrau di sini baru-baru ini.
Osman berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk para pelanggan yang ingin membeli kambing di ladangnya termasuk urusan penyembelihan, melapah daging serta menyediakan perkhidmatan memasak daging berkenaan.
‘‘Kami menyediakan kemudahan pusat sehenti kepada para pelanggan supaya mereka tidak perlu bersusah payah untuk ke tempat lain bagi menyembelih kambing yang dibeli.
‘‘Ladang ini turut menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada para pelanggan yang membeli kambing di sini,’’ jelasnya.
Osman memberitahu, pemilihan baka kambing yang baik untuk tujuan pembiakan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran optimum dapat dihasilkan.
‘‘Antara baka-baka pedaging yang sering mendapat permintaan penternak di Malaysia ialah Jamnapari, Ettawah dan Boer. Manakala untuk pengeluaran susu, jenis Anglo Nubien, Saneen dan British Alpine sentiasa mendapat permintaan tinggi.
‘‘Kami di sini bersedia membekal baka- baka daripada pelbagai jenis pada harga yang amat berpatutan,’’ katanya.
Beliau berkata, adalah amat penting untuk memilih kambing yang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki seperti baka dan keturunan, bentuk badan dan kualiti pengeluaran daging haiwan itu.
‘‘Kebiasaannya baka kambing untuk tujuan pengeluaran daging mempunyai struktur badan yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu kerana fizikalnya lebih besar berbanding kambing daging,” katanya.
Selain itu, katanya, pemakanan yang berkualiti merupakan aspek penting bagi memastikan haiwan ternakan membesar dengan cepat dan berada dalam keadaan sihat.
Menurutnya, rumput dan kekacang adalah bahan makanan penting bagi kambing dan lain-lain ternakan ruminan.
‘‘Rumput dan kekacang pada umur yang sesuai, bukan sahaja mempunyai nilai pemakanan dan zat yang penting, tetapi juga mempunyai bahan penting bagi mengeluarkan susu yang berlemak.
‘‘Kuantiti yang banyak di samping adanya gentian kasar dapat merangsang perut besar supaya menjadi lebih cekap bagi memastikan sistem penghadaman haiwan ternakan berada dalam keadaan terbaik,’’ jelasnya.

Tiada ulasan: