Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Khamis, Mac 12, 2009

Dulu ustaz, kini penternak



SEBAHAGIAN daripada kambing pedaging yang diternak Salleh Dahlan di Kampung Paya, Kluang, Johor.

KLUANG 11 Mac - Penyertaan kaum bumiputera dalam projek pertanian bersepadu berskala kecil kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan setelah pelbagai program dan galakan diperkenalkan oleh kerajaan kepada rakyat.
Projek tersebut jika diusahakan secara bersungguh-sungguh bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran makanan tetapi mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya.
Tidak ketinggalan menyertai projek itu ialah bekas guru agama, Salleh Dahlan, 58, anak jati Kampung Paya, Kluang, yang bersara dua tahun lalu.
Walaupun tidak begitu berpengalaman, namun atas dorongan keluarga dan rakan-rakannya beliau memberanikan diri menternak kambing pedaging dan ikan keli di tanah miliknya seluas hampir satu hektar di kampung tersebut.
Selain itu, beliau juga sedang berusaha untuk menternak burung puyuh dan menanam cili merah serta serai di tapak tersebut.
''Insya-Allah projek ini akan memberikan pulangannya tahun ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Salleh berkata, beliau memulakan ternakan kambing secara kecil-kecilan bermula dengan lapan ekor setahun sebelum bersara sebagai persediaan awal dan mencari pengalaman.
Menurutnya, sebaik sahaja bersara, beliau mengembangkan ternakan itu sehingga 42 ekor termasuk 21 ekor yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menerusi Projek Pintar dan beberapa ekor lagi daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
''Kini jumlah kambing melebihi 80 ekor jenis kacukan dengan 17 ibu," katanya.
Beliau berkata, beberapa ekor daripada kambing itu pula telah ditempah untuk dibeli oleh pelanggannya.
Salleh yang dibantu oleh dua pekerja sambilan berkata, setakat ini kambingnya tidak menghadapi masalah kesihatan kerana pemeliharaannya mengikut kaedah yang ditetapkan JPH.
''Anak-anak kambing juga cepat membesar dan cergas,'' katanya.
Beliau memberi rumput napier, dedak dan kulit jagung sebagai makanan ternakan kerana ia mudah diperoleh.
''Kambing-kambing ini hanya akan dikeluarkan dari kandang ketika panas untuk mengelakkan diserang cacing,'' katanya.
Mengenai projek ternakan ikan keli, beliau berkata, projek itu bermula seminggu lalu membabitkan 1,000 ekor yang dipelihara di dalam kanvas.
''Ikan ini boleh mendatangkan pulangan dalam masa kira-kira dua bulan,'' katanya.
Menurutnya, beliau mendapat khidmat nasihat dan bimbingan menternak ikan keli daripada Jabatan Perikanan Kluang.
Beliau berkata, sebanyak RM50,000 telah dibelanjakan untuk menjayakan projek pertanian bersepadu berskala kecil itu termasuk pembinaan kandang dan pemasangan pagar duri di sekeliling tapak.


Pengalaman menjadi 'bidan' ketika membantu seekor kambing beranak tiga merupakan peristiwa yang tidak dapat dilupakan bekas guru agama, Salleh Dahlan sejak menjadi penternak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, peristiwa itu berlaku kira-kira pukul 4 petang pada 1 April tahun lalu ketika beliau berada seorang diri di dalam kandang kerana menjalankan kerja-kerja harian.
''Itu merupakan kali pertama saya berdepan dengan kambing yang hendak beranak sulung dan sekali gus terpaksa menjadi 'bidan' untuk meringankan keperitan yang ditanggungnya.
''Pada mulanya saya bercadang untuk menghubungi kakitangan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) untuk mendapatkan bantuan, memandangkan kesuntukan masa melupakan hasrat itu dan melakukannya sendiri,'' katanya di sini hari ini.
Salleh berkata, walaupun tanpa sebarang pengalaman, beliau memberanikan diri menghampiri kambing yang sedang gelisah itu setelah mengetahuinya hampir beranak.
''Diiringi pelbagai perasaan termasuk cemas saya terus memegang kepala anaknya sebaik sahaja melihat ia muncul untuk membolehkan ibunya bergerak ke hadapan,'' katanya.
Menurutnya, beberapa saat kemudian anak kambing itu berjaya dikeluarkan lalu dibersihkan oleh ibunya.
Bagaimanapun, selang setengah jam kemudian, ibu kambing itu beranak untuk kali kedua dan disusuli yang ketiga, juga disambut oleh Salleh sebagai 'bidan'.
''Perasaan saya kembali tenang selepas berjaya membantu kambing itu beranak," katanya.
Menurutnya, kambing itu mengambil masa kira-kira dua jam untuk melahirkan ketiga-tiga anaknya itu.
Salleh memberitahu, ekoran pengalaman itu, beliau tidak lagi berasa cemas apabila menjadi 'bidan' untuk membantu kambing-kambingnya beranak selepas itu.

Tiada ulasan: