Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Jumaat, November 14, 2008

Ternak kambing susu janji pulangan lumayan


Roslan Atan memerah susu kambing yang dipelihara di kandang berhampiran rumahnya.


Dalam industri pengeluaran makanan, sektor ternakan merupakan satu daripada sumber penghasilan terpenting sama ada melibatkan ayam, lembu atau kambing untuk daging.

Namun, satu lagi aktiviti ternakan yang semakin popular ialah kambing tenusu kerana menjanjikan pulangan lumayan.

Susu kambing yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti protein, asid amino, lemak, karbohidrat, vitamin B12, fosforus dan kalsium dikatakan mampu menyembuhkan penyakit tertentu menjadikan permintaan terhadapnya sentiasa tinggi.

Menyedari peluang yang amat cerah dalam industri ternakan kambing tenusu, seorang pemuda, Roslan Atan, 34, memilih bidang itu sebagai mata pencarian sejak 14 tahun lalu.

"Saya melihat prospek ternakan ini sangat luas dan ia mampu memberi pendapatan lumayan. Hanya usaha dan kerajinan sahaja yang perlu ada," ujar bapa kepada tiga anak lelaki ini.

Menurutnya, pada permulaannya dia membeli baka kambing tenusu di Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan dengan harga RM4,500 untuk lima ekor.

Bermula dari itu, jelasnya, ternakannya berkembang sehingga menjadi 10 ekor dan terus membiak sehingga menjadi 160 ekor sekarang.

Menurutnya, dia memilih untuk menternak kambing tenusu jenis sadnin kerana ia sesuai dengan persekitaran serta menghasilkan banyak susu.

Dia yang dibantu oleh adik lelakinya memberitahu, setiap seekor kambing mampu menghasilkan dua liter susu sehari.

Ceritanya, rutin hariannya bermula pukul 6 pagi untuk memerah susu di reban kambingnya yang terletak 500 meter dari kawasan rumahnya.

Katanya, kambing-kambing peliharaannya diberi makan tiga kali sehari dengan makanan yang berbeza.

''Biasanya pada waktu pagi saya beri makanan khas untuk kambing manakala sebelah tengah hari pula diberi pati soya dan petang pula saya beri makan rumput,'' katanya.

Menurut Roslan, kambing sebenarnya binatang yang manja dan perlukan belaian seperti manusia.

''Setiap minggu, saya akan mandikan kambing menggunakan sabun khas dan syampu supaya haiwan ini bersih," ujarnya.

Beliau bersyukur kerana ternakan kambing tenusunya mendapat tunjuk ajar dan khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

"Setiap bulan, seorang pegawai dari jabatan ini akan melawat ke ladang saya untuk melihat tahap perkembangan dan kesihatan haiwan ternakan ini," katanya yang turut membuat lawatan ke luar negara untuk mendapat nasihat dan panduan.

Selain itu, Roslan turut mendapat nasihat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan.

Dengan menternak kambing, Roslan mampu hidup senang apabila memperoleh pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Malah akuinya, susu kambing ternakannya turut ditempah untuk pasaran di negeri ini.

''Saya tidak perlu memikirkan hal pemasaran kerana pemborong menempah sejak awal lagi," ujarnya tersenyum.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai kelulusan tinggi, dia puas dan bangga kerana berjaya mengusahakan ternakan kambing tenusu.

''Perkara yang paling penting ialah setiap apa yang kita kerjakan mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Selain menternak kambing, Roslan melakukan proses permanian beradas terhadap ternakan lembu.

Dia yang pernah memenangi tempat ketiga dalam kategori jurusuntik persendirian untuk proses itu memberitahu telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk melakukan permanian beradas terhadap lembu.

''Biasanya, mereka yang berhajat untuk membuat kacukan lembu peliharaan akan menghubungi saya untuk proses permanian beradas," ujarnya yang pernah mendapat latihan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Tiada ulasan: