Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Jumaat, November 14, 2008

Kulit kambing Jamnapari jadi tarikan baru


CANTIK... Kamaruddin Rahmat menunjukkan kusyen kereta diperbuat daripada kulit kambing Jamnapari di Shah Alam, baru-baru ini.


SHAH ALAM 9 Nov. - Kalau anda berasa sudah bosan dengan kusyen kenderaan yang diperbuat daripada kulit lembu dan inginkan kelainan, kenapa tidak mencuba kulit kambing jenis Jamnapari pula.

Permintaan kusyen kenderaan diperbuat daripada kulit kambing itu kini didakwa semakin mendapat sambutan. Kamaruddin Rahmat Motor Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera yang bergiat dalam industri pemotoran sejak 13 tahun lalu, bercadang untuk memperkenalkannya secara agresif pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Kamaruddin Rahmat berkata, langkah itu diambil selepas sambutan yang amat menggalakkan diterima ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 baru-baru ini.

Kata beliau, pada pameran berkenaan, syarikatnya menerima kira-kira 400 tempahan daripada orang ramai yang mahu menggantikan kusyen kerusi kenderaan masing-masing dengan kulit haiwan itu.

"MAHA 2008 merupakan platform kepada kami untuk menguji pasaran dan mengumpul maklum balas daripada orang ramai.

"Melihat kepada permintaan cukup tinggi, kami mengambil keputusan untuk menceburi perniagaan ini bermula awal tahun 2009," ujar beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, keistimewaan kulit kambing berbanding haiwan lain seperti lembu adalah ia lebih lembut dan berkualiti.

Jelasnya, kusyen itu juga memberi lebih keselesaan dan suasana nyaman kepada pemandu serta penumpang kerana ia menyerap udara sejuk yang dikeluarkan melalui penghawa dingin kenderaan.

"Ia juga senang dijaga kerana mudah dicuci jika terdapat kekotoran seperti air atau makanan tertumpah," kata beliau yang menyasarkan 1,000 tempahan untuk tahun depan.

Kamaruddin berkata, pihaknya akan melantik wakil pemasaran bagi membolehkan perkhidmatan tersebut ditawarkan kepada orang ramai di seluruh negara.

"Sesiapa saja yang berminat boleh menjadi ejen asalkan mereka mempunyai bengkel atau premis yang sesuai.

Jelasnya, kos untuk pemasangan kusyen kerusi kulit adalah dari serendah RM3,000, mengikut jenis kenderaan dan memakan masa sehari.

Beliau menambah, pelanggan juga mempunyai pelbagai pilihan warna seperti hitam, coklat, kelabu dan hijau.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan atau menjadi wakil pemasaran boleh menghubungi beliau di talian 03-55427373 atau 019-3977188.

Tiada ulasan: