Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, November 02, 2008

Padang Terap bakal berubah wajah

KUALA NERANG 27 Ogos - Daerah Padang Terap yang mempunyai kira-kira 60,000 penduduk kini berwajah baru apabila pelbagai program pembangunan dirangka bagi memajukan kawasan tersebut.

Daerah yang terletak di Kedah Timur itu dijangka menikmati limpahan pembangunan dengan terlaksananya projek-projek seperti Lebuh Raya Trans Eastern Kedah Interland (Tekih); Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kota Putra, Fish Protech, pertanian dan pendidikan di sekitar daerah berkenaan.

Projek-projek yang sesetengahnya dalam pembinaannya itu secara langsung akan membantu menaik taraf kehidupan penduduk di situ.

Pembinaan Lebuh Raya Tekih yang menghubungkan Durian Burung-Pedu-Kupang di Baling sepanjang kira-kira 115 kilometer dijangka dapat membangunkan kawasan Kedah Timur yang sering kali dikaitkan dengan kemunduran.

Ia juga bakal merancakkan pembangunan di Pedu, Baling dan Sik selain turut memberi kemudahan kepada orang ramai berulang alik ke Kulim atau Butterworth.

Pelaksanaan projek pembinaan lebuh itu adalah sejajar dengan perancangan untuk membuka CIQ Kota Putra di Durian Burung dekat sini.

CIQ berkenaan akan menjadi pintu sempadan kedua di Kedah selepas Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu yang sekali gus memberi peluang kepada pembangunan di daerah berkenaan.

"Dengan pembukaan pintu masuk kedua Malaysia-Thailand di Kota Putra pada tahun hadapan, siapnya Tekih dan naif taraf jalan raya Alor Star-Durian Burung, lingkaran perhubungan dalam daerah ini akan menjadi pemangkin pembangunan pelbagai sektor serancak dengan pembangunan di pantai barat Kedah.

"Demikian juga apabila siapnya kerja-kerja menaik taraf lapan jambatan dari Naka ke Nami yang sedang dalam pembinaan," kata Pegawai Daerah Padang Terap, Mat Noh Ahmad ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap di sini, baru-baru ini.

Perasmian kompleks tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Kompleks pentadbiran baru di Bukit Gedong itu dibina sejak 1 Mac 2006 dan siap pada 15 November tahun lalu dengan menelan belanja sebanyak RM3.6 juta sebelum beroperasi sepenuhnya mulai 13 Ogos lalu.

Menurut Mat Noh, pembinaan Institut Kemahiran Belia Negara dan projek Fish Protech di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Naka yang telah pun bermula akan menggerakkan transformasi pertumbuhan penempatan baru yang lebih pesat.

"Kesan dari dua projek berkenaan pada masa ini sudah dirasai apabila kita terpaksa membuat unjuran semula Pelan Rancangan Tempatan Pekan Naka," ujar beliau.

Dalam bidang pendidikan pula, katanya, selain mercu tanda Kolej Mara Kuala Nerang dan 23 buah sekolah sedia ada, daerah berkenaan juga mempunyai dua pusat latihan yang semakin berkembang maju iaitu Dusun Minda Resort dan Teras Naka.

Malah, beliau percaya apabila Kolej Komuniti dibangunkan di pekan Kuala Nerang nanti bakal membuka ruang pendidikan teknikal dan menarik penyertaan lebih ramai anak tempatan.

Sementara itu, kata Mat Noh, dua projek berimpak besar yang dalam peringkat akhir untuk dilaksanakan iaitu Projek Pengairan Bukit Sena di Pedu dan Projek Pembangunan Mampan Bukit Kura akan merancakkan lagi pembangunan aktiviti ekonomi di kawsan terbabit.

"Dua projek ini akan membuka dimensi baru pembangunan ekonomi khususnya peningkatan kadar penanaman padi dan penternakan lembu fidlot.

"Penduduk Padang Terap juga amat berharap agar projek ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Pedu yang mana memorandum persefahaman (MoU) untuk maksud tersebut dimeterai pada tahun lalu akan dapat dilaksanakan segera," katanya.

Tiada ulasan: