Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, November 11, 2008

Firma tambah 1,000 lembu tenusu penuhi permintaan

ROMPIN: Syarikat First Dairy Farm (M) Sdn Bhd (Fidaf) akan menambah antara 800 hingga 1,000 lembu tenusu jenis Jersey tahun depan bagi memenuhi permintaan susu segar negara yang kini semakin meningkat.

Syarikat berkenaan kini mempunyai 284 lembu yang mampu mengeluarkan antara 2,500 hingga 2,700 liter susu segar sehari.

Pengarah Urusan Fidaf, Muhamad Alwi Abdullah, berkata pertambahan lembu itu membolehkan pihaknya mampu mengeluarkan antara 60,000 hingga 70,000 liter susu segar sehari.

Beliau berkata, jumlah susu segar yang dapat dihasilkan seekor lembu jenis Jersey bertambah daripada setahun ke setahun terutama apabila haiwan berkenaan berada dalam keadaan sihat dan selesa.

Katanya, di ladang Fidaf yang beroperasi di Kilometer 81, Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, di sini, proses memerah susu dilakukan dua kali sehari iaitu seawal jam 4 pagi dan lima petang pada setiap hari.

"Pengeluaran susu segar di ladang Fidaf meningkat lebih 10 peratus berbanding rekod pengeluaran susu lembu jenis Jersey yang ada di Australia.

"Sistem kandang berhawa dingin selain pemakanan iaitu rumput segar yang dicampur dengan makanan proses menjadi faktor utama pengeluaran susu segar meningkat," katanya di sini, semalam.

Muhamad Alwi berkata, purata kos makanan bagi seekor lembu ialah RM10 sehari dan peningkatan kos makanan menyebabkan pihaknya membuat keputusan untuk menaikkan harga jualan susu segar.

Beliau berkata, selepas muncul pengeluar susu segar terbesar negara, syarikatnya juga kini berusaha terbabit dalam perniagaan menjual anak lembu Jersey tulen.

Katanya, selepas lapan bulan beroperasi, Fidaf kini mempunyai 245 anak lembu Jersey tulen yang diperoleh apabila lembu yang dibeli, beranak selepas beberapa bulan berada di ladang Fidaf.

"Untuk menghasilkan anak lembu Jersey tulen dan bermutu tinggi, kami kini dalam proses melakukan permanian beradas menggunakan baka yang diimport dari Amerika Syarikat walaupun kos sperma dari negara itu agak mahal.

"Anak lembu Jersey tulen yang dihasilkan Fidaf akan direkodkan selain mempunyai sijil kelahiran dan maklumat lain," katanya.

Tiada ulasan: