Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, November 11, 2008

Agrobank salur RM2.8 bilion bantu petani

JELI: Agrobank, dulunya dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia, terus memainkan peranan penting memajukan sektor pertanian negara apabila sudah menyalurkan pinjaman RM2.8 bilion kepada lebih 117,000 peminjam sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata jumlah itu disalurkan kepada golongan petani dan usahawan tani bagi mengusahakan kegiatan pertanian serta memulakan perniagaan dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, jumlah itu membuktikan Agrobank tetap memainkan peranan besar memartabatkan sektor pertanian menerusi penyaluran pembiayaan kepada golongan sasar melalui rangkaian produk dan perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggan sejak pengkorporatannya, April lalu.

"Sepanjang Januari hingga September tahun ini, nilai pinjaman disalurkan Agrobank kepada peminjam yang terbabit dalam sektor pertanian dan industri asas tani adalah RM2.8 bilion membabitkan 114,000 peminjam di seluruh negara.

"Pinjaman yang dibuat membabitkan pelbagai sektor di bawah bidang pertanian termasuk perikanan, penternakan, pemprosesan makanan, selain tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah serta memulakan perniagaan berasaskan pertanian.

"Berdasarkan laporan dikemukakan Agrobank, bayaran balik pinjaman tidak menunjukkan sebarang masalah iaitu kira-kira 95 peratus peminjam berjaya membuat bayaran balik mengikut jadual," katanya selepas melawat Agrobank Cawangan Jeli, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Agrobank, Abd Malek Ahmad; Pengurus Agrobank Kelantan, Mohd Rahim Mohd Zain dan Pengurus Agrobank Cawangan Jeli, Mohd Maimi Zakaria.

Agrobank cawangan Jeli yang mula beroperasi di jajahan itu sejak 16 tahun lalu kini mempunyai 30,000 pemegang akaun iaitu 12,000 perbankan Islam dan 18,000 konvensional membabitkan nilai deposit sebanyak RM24 juta.

Ia juga satu-satunya institusi kewangan yang beroperasi di bandar Jeli yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada golongan petani dan pekebun kecil. Agrobank cawangan Jeli mempunyai kekuatan seramai 14 kakitangan.

Mustapa berkata, Agrobank bercadang menambah cawangannya di seluruh negara bagi memenuhi keperluan sektor pertanian yang semakin berkembang khususnya di kawasan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang tumpuan utamanya adalah memajukan sektor terbabit.

Katanya, ketika ini, Agrobank mempunyai 120 cawangan seluruh negara dan sebagai permulaan dalam usaha memperluaskan operasinya, cawangan kecil gred B bank berkenaan akan dinaik taraf kepada cawangan gred A sebelum cawangan lain dibuka, bergantung kepada keperluan.

"Menerusi ECER, pertanian adalah sektor utama yang akan dibangunkan, jadi Agrobank mempunyai peranan besar untuk memastikan kejayaannya dan ia juga menunjukkan Agrobank mempunyai masa depan yang cerah untuk lebih berkembang," katanya.

Tiada ulasan: