Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, Julai 27, 2008

Zainudin bakal 'jutawan' kambing


Ladang kambing milik syarikat Cosmopal Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Serating, Marang, Terengganu.
- Gambar ZUHAYATI YAZID


Siapa sangka kawasan seluas 60 hektar yang dahulunya terbiar kini bertukar menjadi sebuah ladang kambing. Ternakan baka-baka tempatan yang 90 peratus untuk pasaran negara itu sekali gus akan menjadikan pengusahanya bakal jutawan.

Sebelum dibangunkan, kawasan yang terletak 60 kilometer daripada bandar Kuala Terengganu ini dipenuhi semak-samun yang tidak memberi faedah kepada masyarakat setempat.

Namun, hasil usaha Zainudin Zakaria, 50-an, yang menganggap ternakan kambing baka adalah perusahaan yang menguntungkan serta mampu memberi pulangan hasil yang cepat, kawasan itu bertukar menjadi ladang kambing dalam tempoh lapan tahun sahaja.

Melalui syarikatnya, Cosmopal Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada November 2000, Zainudin kini merupakan satu-satu pengimport, pengedar dan juga penternak kambing baka terbesar di kawasan Pantai Timur.

Berbekalkan prinsip jangan kalah sebelum berjuang, beliau sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat antarabangsa demi mencurahkan bakti kepada bidang ternakan kambing baka.

''Sebelum saya berhenti kerja, saya membuat kajian tentang kebaikan dan kelebihan penternakan kambing.

Malah saya juga membuat lawatan ke luar negara untuk melihat sendiri kelebihan bidang ternakan ini," kata Zainudin ketika ditemui di ladang kambingnya yang terletak di Serating di sini, baru-baru ini.

Selepas dua tahun membuat kajian, beliau nekad membuka ladang kambing berbekalkan modal RM100,000 untuk membeli keperluan dan alatan.

Malah, beliau yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur sanggup pulang ke kampung hanya semata-mata untuk menternak kambing.

''Saya lihat prospek ternakan ini sangat luas dan ia mampu memberi pendapatan lumayan, hanya usaha dan kerajinan sahaja yang perlu ada," katanya.

Ditanya apakah pengalaman semasa mula-mula menceburi bidang ini, bapa kepada lima cahayamata ini memberitahu, pada awalnya perasaan takut timbul.

Malah kata-kata kurang enak daripada rakan-rakan juga menyebabkannya rasa serba-salah. Namun beliau nekad untuk meneruskan perjuangan.

''Biarlah apa orang hendak kata, yang pasti kita tahu siapa diri kita dan tahap kemampuan diri kita," ujarnya.

Katanya, dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang sering memberi dorongan dan semangat kepada dirinya.

Bermula dengan beberapa ekor kambing jenis Jamnapari yang dibeli dari Indonesia serta sebuah reban, kini Zainudin mempunyai enam buah reban untuk menempatkan semua kambingnya.

Beliau menyasarkan untuk membiak 10,000 ekor kambing dalam jangka masa yang terdekat ini.

''Pada tahun 2007, saya hanya mempunyai 3,000 ekor kambing tetapi setiap tahun haiwan ini semakin berkembang biak," ujarnya.

Menceritakan pengalaman menternak kambing baka, beliau memberitahu, ia bukan perkara yang sukar.

Malah kambing merupakan binatang yang manja, katanya.

Jelasnya, kambing juga seperti manusia yang perlu dilayan dengan baik dan biasanya haiwan ini dilepaskan selepas dua minggu dikurung di dalam reban dan apabila sampai tempohnya ia akan pulang sendiri ke reban.

Beliau mengupah lebih 10 pekerja untuk membantu memberi makanan kepada ternakan kambingnya.

''Kambing-kambing juga turut dimandikan dan syampu supaya kelihatan bersih dan segar," katanya.

Beliau bersyukur kerana ladangnya itu mendapat tunjuk ajar dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

''Setiap bulan, seorang pegawai dari jabatan ini akan membuat lawatan ke ladang saya untuk melihat tahap perkembangan dan kesihatan haiwan ternakan ini," katanya yang turut membuat lawatan ke luar negara untuk mendapat nasihat dan panduan.

Zainudin memberitahu, selain menjalankan penternakan kambing, beliau juga menjalankan pelbagai aktiviti sampingan bagi memaksimumkan pendapatan di samping membantu masyarakat setempat yang berpendapatan rendah.

''Selain menjalankan penternakan kambing, ladang ini juga menghasilkan baja organik daripada najis atau tinja kambing yang dicampurkan ramuan lain untuk dijadikan baja organik.

''Kerja-kerja membungkus baja saya serahkan kepada golongan orang kurang upaya yang menginap berhampiran ladang ini,'' jelasnya yang mengitar semula bulu kambing untuk dijadikan aksesori.

Beliau juga merancang membuka kilang memproses barangan daripada kulit kambing antaranya jaket, beg tangan dan pelbagai aksesori lain.

Tiada ulasan: