Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, Julai 27, 2008

Kambing jantan gamatkan Dewan

KUALA LUMPUR 10 Julai - Isu kambing jantan kacukan Australia yang boleh mengawan sehingga 80 ekor kambing betina tempatan menggamatkan semua Ahli Parlimen semasa sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kambing pembiak itu juga diberi makan tongkat ali, telur dan madu sepanjang proses itu dan akan direhatkan seminggu sebelum menyambung semula aktiviti berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang membuat tinjauan tentang kambing 'membiak' melibatkan broker yang perlu mengenal pasti jenis kambing yang boleh mengawan.

Ibrahim berkata, kebanyakan projek melibatkan industri kambing selalunya gagal termasuk di Kelantan dan berlainan pula keadaan dengan sebuah keluarga di Selangor yang berjaya menternak kambing tanpa menggunakan sebarang teknologi.

''Saya bertanya dia (keluarga itu) boleh berjaya? Dia kata, orang tua kata kalau ada dua pusar di kepala... dia boleh menternak kambing dan binatang. Kementerian ada buat kajian tak tentang semua ini?'' katanya.

Soalan itu dijawab oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim yang berkata, Dewan Rakyat kini mempunyai seorang pakar kambing dan perkara itu ada kebenaran.

Katanya, harga kambing hero atau dikenali 'pejantan' itu sangat mahal dan susah untuk mendapatkan genetik tetapi kementerian tetap akan melaksanakannya.

Menurutnya, ia adalah satu langkah dalam program Pembangunan Industri Kambing Malaysia dengan mengadakan satu program bersama dengan kerajaan Australia Barat bagi membangunkan industri kambing negara.

Menjawab soalan tambahan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) tentang objektif Pusat Pembiakan Kambing Boer Nasional (NBBC) dengan populasi 403,592 ekor pada 2005 yang disasarkan membiak menjadi 1.003 juta pada 2010, Rohani berkata, kerajaan sedang berusaha membuka ladang komersial untuk tujuan itu.

''Terdapat beberapa lagi program di NBBC dan ia adalah satu projek nukleus untuk kita memulakan ternakan kambing dengan mengadakan penternak penggandaan," ujarnya.

Terdahulu ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli, Rohani berkata, kementerian kini sedang giat membangunkan 20 hektar kawasan untuk membangunkan penanaman foder dan 180 hektar lagi dilakukan sepanjang tahun ini.

Katanya, 403,592 ekor kambing yang diternak dengan 141,257 ekor pembiak yang diusahakan oleh 3,710 penternak seluruh negara.

Tiada ulasan: