Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, Julai 27, 2008

Kambing cukup menjelang 2011

KOTA KINABALU 22 Julai - Sabah yakin program memperluaskan sektor ternakan yang dilakukan di negeri ini dapat membantu sasaran kerajaan untuk mencapai tahap sara diri bagi bekalan daging kambing menjelang tahun 2011.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin berkata, sasaran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan kepada peningkatan jumlah kambing yang diternak pada masa ini termasuk baka yang diimport atau dikacukkan.

"Kita terpaksa membelanjakan kira-kira RM40 juta setiap tahun untuk mengimport daging kambing, lembu dan kerbau dari negara seperti Australia, New Zealand dan sebagainya.

"Melalui hasil penternakan kambing di Sabah, kita mampu mencapai tahap sara diri selewat-lewatnya pada 2011," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Ladang Kambing Jambo, Kampung Keliangau di Menggatal dekat sini hari ini.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kambing-kambing yang sedang diternak di seluruh Sabah mempunyai kualiti yang lebih tinggi berbanding kambing yang diimport.

Katanya, kambing-kambing di sini kurang lemak, mempunyai lebih banyak daging dan bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

Berhubung kegiatan menyeludup benih ikan berkualiti tinggi dari negeri ini ke China, beliau berkata, kegiatan tersebut masih terkawal dan hanya dilakukan secara kecil-kecilan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tetap memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau dalang yang menjalankan aktiviti itu.

"Langkah itu bertujuan melindungi spesies ikan-ikan di sini kerana ia merupakan khazanah laut Sabah. Biasanya orang luar ini mendapatkan anak-anak ikan melalui nelayan tempatan," ujarnya.

Mengenai wujudnya peraih getah tidak berlesen yang membeli getah di kampung-kampung, Yahya berkata, kementeriannya akan memantau kegiatan tersebut.

Jelas beliau, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen memungut getah tetapi tetap berbuat demikian sehingga mengakibatkan peraih sebenar kerugian.

Tiada ulasan: