Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, Julai 27, 2008

Belia ternak kambing


HASIM Rusdi (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta mengenai penternakan kambing di Kampung Kondok, baru-baru ini.

Sebut sahaja kambing, kita pasti mengaitkannya dengan bau hamis yang cukup kuat menusuk rongga hidung menyebabkan tidak ramai yang berminat mendekati apatah lagi berjinak-jinak dengan haiwan tersebut.

Namun sekumpulan 50 belia yang menyertai Kursus Usahawan Belia Ternak di Kampung Kondok di sini baru-baru ini sanggup meluangkan masa 'bermesra' dengan kambing semata-mata untuk mempelajari segala aspek tentang haiwan itu dengan lebih mendalam.

Ia adalah salah satu daripada program yang terkandung dalam kursus lima hari anjuran Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS) dan Al-Barakah Global Food Industry Sdn. Bhd. (Al-Barakah) yang bermula pada 27 Jun sehingga pada 1 Julai lalu.

Menurut Presiden MBNNS, Khaidir Jamal, kursus tersebut diadakan buat julung kalinya dengan matlamat memupuk minat serta mewujudkan lebih ramai usahawan ternak di kalangan belia.

Jelas beliau, pihaknya berharap program seperti itu akan menggerakkan belia untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor penternakan.

Di samping itu, katanya, MBNNS juga berhasrat untuk melihat lebih ramai belia yang muncul sebagai usahawan ternak yang berjaya agar mereka menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain.

''Sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan dan kami merancang untuk meneruskan lagi program-program seperti ini di masa akan datang," ujar Khaidir ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Hadir sama merasmikan majlis penutup kursus tersebut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu, Datuk Hasim Rusdi.

Khaidir juga memberitahu, program berkenaan adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih ramai belia menceburi bidang penternakan.

''Pada masa ini, MBNNS memberi tumpuan terhadap bidang penternakan kambing.

''Kami juga akan memperluas skop program kepada penternakan haiwan-haiwan lain seperti lembu atau ikan air tawar serta pertanian secara komersial," jelasnya.

Kata beliau, MBNNS sehingga kini menganjurkan banyak program bagi membantu golongan belia namun terpulang kepada mereka untuk memanfaatkannya.

Selain itu, jelasnya, Agro Bank juga menyediakan bantuan kewangan kepada belia yang layak dan MBNNS sedia menyokong permohonan mereka yang benar-benar berminat.

''Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan," ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Al-Barakah, Idris Haron berkata, peserta kursus diberi pendedahan tentang kaedah penternakan kambing baka Jamnapari yang berasal dari India secara sistematik dan betul.

Jelas beliau, pihaknya turut melatih peserta selok-belok pengurusan ladang ternakan kambing serta cara pemasaran yang berkesan.

''Sepanjang tempoh kursus, peserta diajar tentang aspek pengurusan ladang ternakan kambing seperti pemakanan dan kebersihan secara terperinci.

''Di samping itu, peserta juga berpeluang menimba banyak ilmu daripada pengusaha yang berpengalaman," ujarnya.

Idris memberitahu, bidang ini menjanjikan pulangan lumayan kerana kambing baka Jamnapari boleh dijual dengan harga ratusan ringgit seekor.

Malah, katanya, najis haiwan berkenaan juga boleh diproses bagi menghasilkan baja organik serta kulitnya boleh dijadikan jaket, beg tangan dan barangan aksesori lain.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerjasama di antara MBNNS dan pihaknya dapat diteruskan di masa akan datang bagi menarik penyertaan lebih ramai belia dalam bidang penternakan kambing.

Tiada ulasan: