Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Isnin, Julai 28, 2008

Insentif tunai untuk penternak


HASIL LUMAYAN: Mustapa (kiri) melihat baka kambing boer ketika melawat ladang Ar-Raudhah di Kuang, semalam

Peruntukan RM213 juta galak pengusaha kecil tingkat bekalan makanan

RAWANG: Penternak lembu, kambing dan ayam di negara ini akan diberikan insentif berbentuk wang tunai berdasarkan jumlah pengeluaran, mulai bulan depan bagi meringankan beban mereka berikutan kenaikan kos operasi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pemberian insentif yang difokuskan kepada pengusaha dan penternak kecil itu juga bertujuan meningkatkan bekalan bahan makanan rakyat menerusi Dasar Jaminan Bekalan Makanan.


Beliau menjelaskan, insentif berkenaan layak diterima individu mengikut kategori ditetapkan kerajaan iaitu memiliki kurang 20,000 ayam bagi penternak ayam dan semua pengusaha ternakan lembu serta kambing.

"Jumlah bantuan akan ditetapkan mengikut formula dirangka atau berdasarkan pengeluaran penternak berkenaan, Seperti contoh, bagi seorang penternak lembu yang mengeluarkan 50 liter susu sehari, mereka akan menerima bantuan kira-kira RM300 sebulan.

"Bagi lembu fidlot pula, mereka yang memiliki 30 lembu dengan keluasan ladang 100 ekar, jumlah bantuan bakal diterima mereka adalah berjumlah RM3,000 bagi tempoh tiga bulan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke ladang penternakan kambing Boer milik Ar-Raudhah Farm Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin dan Pengerusi Ar-Raudhah, Datuk Bistamam Ramli.

Menerusi format pengiraan bagi menentukan jumlah bantuan, penternak lembu secara kecil-kecilan akan dibayar 19.59 sen bagi setiap liter susu dikeluarkan, manakala komersial pula sebanyak 6.55 sen.

Bagi lembu fidlot, kerajaan akan membayar RM1.12 kecil-kecilan) dan 75 sen (komersial) kepada pengusaha yang dikira berdasarkan pengeluaran.

Bagi penternakan lembu secara integrasi yang majoritinya dijalankan penternak di negara ini pula, kerajaan menetapkan setiap kilogram dikeluarkan penternak akan dibayar 60 sen (kecil-kecilan) serta 20 sen (komersial).

Sementara itu, bagi penternak kambing, pengusaha jenis kecil-kecilan akan menerima 90 sen dikeluarkan, manakala 30 sen bagi mereka yang menjalankannya secara komersial. Bagi ayam pula, pengusaha akan menerima 78 sen bagi setiap kali pusingan pengeluaran.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan memperuntukkan RM213 juta untuk tempoh enam bulan sehingga Disember ini bagi memberikan bantuan kepada penternak terbabit supaya mereka dapat mengeluarkan produktiviti seperti biasa.

"Kami memperolehnya daripada RM513 juta yang diperuntukkan khusus bagi menampung pemberian insentif empat komponen dalam Dasar Jaminan Bekalan Makanan yang sebelum ini nelayan serta penanaman sayur diumumkan jenis bantuan. Hanya padi belum diumumkan lagi," katanya.

Tiada ulasan: