Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Jumaat, Januari 18, 2008

Usahawan Bumiputera Digesa Rebut Peluang Di Koridor Ekonomi

Usahawan Bumiputera Digesa Rebut Peluang Di Koridor Ekonomi

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Usahawan bumiputera digesa merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) di semua pembangunan koridor ekonomi di negara ini, kata Setiausaha Parlimennya Datuk Samsu Baharun Abdul Rahman.

Katanya MECD telah melaksanakan pelan tindakan bagi membantu usahawan bumiputera merebut peluang perniagaan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Koridor Pembangunan Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Koridor Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER), Koridor Pembangunan Ekonomi Wilayah Sabah dan Sarawak.

"Agensi kementerian seperti Mara, UDA, Bank Pembangunan dan Bank SME akan menyediakan premis perniagaan serta kemudahan dana bagi usahawan yang berminat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Minggu Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah 1429, di Pusat Membeli-belah Alamanda di sini hari ini.

Beliau mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MECD Datuk Musa Muhamad dan Datuk Mohtar Abas, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Samsu Baharun, antara peluang perniagaan yang boleh diceburi oleh usahawan adalah dalam sektor pertanian, pelancongan, logistik, pelajaran, pengeluaran dan perkhidmatan.

Katanya UDA dan Mara akan membangunkan pusat membeli-belah bagi membuka peluang kepada usahawan bumiputera menjalankan perniagaan.

Mengenai Minggu Hijrah, beliau berkata program hari ini yang membabitkan pameran produk keluaran usahawan bumiputera adalah cetusan idea Jabatan Perdana Menteri, dan MECD merupakan agensi yang dipertanggungjawab untuk menganjurkannya.

Katanya MECD berharap usahawan bumiputera akan menggunakan peluang ini untuk menjalin hubungan sesama mereka, selain memperluaskan pasaran produk.

Sebanyak 38 gerai usahawan bumiputera dan pelbagai agensi kerajaan terbabit mempamerkan produk dan perkhidmatan, termasuk syarikat berasaskan bioteknologi, BioTeam Sdn Bhd, PPUB dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya yang dibacakan oleh Samsu Baharun, berkata MECD melalui program utamanya seperti Gerak Usahawan, Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Showcase Usahawan, menyediakan saluran promosi dan pemasaran yang pada masa yang sama mewujudkan peluang perniagaan, membudayakan keusahawanan kepada masyarakat, khususnya bumiputera.

Katanya program Gerak Usahawan yang dilaksanakan tahun lepas mewujudkan lebih 5,000 peluang perniagaan baru dengan nilai kontrak berjumlah RM4,147 juta, Program SDSI mencatat nilai jualan kontrak RM6.74 juta manakala Program showcase Usahawan merekodkan nilai jualan RM3.1 juta.

Katanya kunci kejayaan yang mampu mengubah kedudukan bumiputera dalam bidang ekonomi adalah melalai penghijrahan paradigma dan minda.

Tiada ulasan: