Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Sabtu, Mac 10, 2012

Bersara awal jana pendapatan


Lamjari Sharif Tawang akan 'melayan' kambing ternakannya pada waktu pagi dan petang.


KOTA BELUD 28 Sept. - Pernah dikatakan oleh orang tua-tua bahawa di kawasan Pantai Emas di sini yang kini menjadi perkampungan nelayan, mendapat nama kerana kononnya pada suatu masa dahulu ketulan-ketulan emas sering ditemui di pesisiran pantainya yang putih melepak.

Kini ketulan-ketulan emas tidak lagi ditemui, atau mungkin ia sekadar mitos sahaja, namun bentuk emas lain pula muncul apabila beberapa industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan produk laut telah mendatangkan hasil lumayan kepada penduduknya.

Selain produk laut, terdapat juga industri lain yang turut menyinari kehidupan masyarakat di sana iaitu industri penternakan Kausar Farm diusahakan oleh seorang belia, Lamjari Sharif Tawang.

Bermula pada 2005 bermodalkan RM8,000, Lamjari, 34, mengusahakan tanah seluas 3 hektar untuk penternakan kambing.

Daripada hanya tiga ekor kambing dan dua buah kandang kecil, saban tahun hasil dan pendapatannya semakin meningkat, kambing pula semakin membiak, kandang juga terpaksa dibesarkan bagi menampung permintaan.

"Selain minat dalam perniagaan, saya ingin membuktikan kepada para belia bahawa hidup di kampung pun boleh mendapat hasil lumayan asalkan dapat memanfaatkan sumber sedia ada dengan baik," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ladangnya di sini, baru-baru ini.

Sebelum menjadi penternak, Lamjari adalah fasilitator di Biro Tata Negara (BTN) tetapi dalam masa yang sama turut aktif dalam dalam perniagaan jualan langsung (MLM) secara sambilan sehingga membawanya melawat ke Brunei, Sarawak dan beberapa buah negeri di Semenanjung.

Pengalamannya dalam perniagaan MLM telah membuka matanya untuk menerokai peluang perniagaan lebih luas, terutama penternakan dengan mengadaptasikan konsep MLM itu.

"Konsepnya hampir sama, cuma yang berbeza ialah di dalam MLM kita mencari orang bawahan dan berurusan dengan kerenah manusia, sedangkan dalam penternakan kambing, hasil datang sendiri setiap lapan bulan," katanya sambil tersenyum.

Bermula dengan hanya tiga ekor kambing, bilangan ternakannya terus bertambah sehingga 300 ekor pada 2008 tetapi terpaksa dikurangkan secara berperingkat kepada 150 ekor bagi menjaga kualiti dan kemudahan penyeliaan.

"Saya realisasikan apa yang bermain dalam fikiran saya dan ternyata keputusan saya bersara awal dari jabatan kerajaan untuk menceburkan diri dalam bidang ini sungguh berbaloi," tambahnya.

Di Kausar Farm, seekor kambing berusia sembilan bulan ke atas sudah boleh dijual kepada pelanggan. Untuk tujuan akikah dan korban, seekor kambing dijual dengan harga RM530 ke RM650 manakala untuk tujuan baka, ia dijual dengan harga RM800 ke RM1,500.

Sepanjang tahun lalu sahaja, Kausar Farm menjana pendapatan bersih lebih kurang RM30,000 hasil daripada aktiviti penjualan ternakan itu.

"Perniagaan ini tidak mempunyai saingan langsung, malah saya kadang-kadang tidak sempat mempromosikan ternakan apabila kebanyakan pembeli terus datang ke sini untuk menempahnya," ujarnya.

Jika dibandingkan dengan baka lain, kambing Boer dan Feral yang diternak di Kausar Farm mempunyai kelebihan tersendiri. Baka ini membesar dengan cepat dan mampu mencecah sehingga 30 kilogram dalam masa lapan bulan.

Setiap hari, pekerja-pekerja Kausar Farm akan memotong rumput jenis Napier dan Satria di kawasan ladang untuk diproses sebagai makanan asas ternakan sementara isirung kelapa sawit dan habuk padi menjadi makanan tambahan yang baik kepada ternakan itu.

"Saya menggaji dua orang pekerja di sini, khusus untuk menyelenggara dan membersihkan kandang serta memberi makan kambing setiap hari, selain menanam rumput untuk kegunaan sendiri," jelas Lamjari yang menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Belud, Unit Pantai Emas.

Lamjar menerima anugerah High Achievers yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) di Kota Kinabalu pada 2008 atas daya usaha dan ketekunannya dalam bidang diceburi.

Kini Kausar Farm mempunyai tiga buah kandang dan sebuah stor peralatan ladang terus mengorak langkah dengan membuka ladang lembu tenusu di atas tapak seluas lima hektar, di sebuah kawasan di Pantai Emas dengan 20 ekor lembu tenusu sebagai permulaan.

"Para belia seharusnya tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan, hanya dengan fikiran kreatif dan aset yang ada di kampung, kita boleh mencipta pekerjaan yang lebih menguntungkan, lebih terjamin dan lebih efisien," katanya.

1 ulasan:

ahkott berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.