Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Khamis, Julai 02, 2009

Kerjasama tenusu jadikan Melaka pengeluar utama


MELAKA 1 Julai - Kerajaan negeri bercadang mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar susu lembu di Johor bagi mengembalikan kedudukan negeri ini sebagai pengeluar susu utama di negara ini pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau yakin usaha itu dapat dicapai melalui perkongsian idea dengan syarikat tersebut, White Heron Dairy Farm.

Menurut Mohd. Ali, ketika ini, Melaka menjadi negeri ketiga terbesar sebagai pengeluar susu negara selepas Sabah dan Johor.

"Selepas menjadi pengeluar telur ayam terbesar negara dengan kapasiti dua juta telur sehari, saya percaya usaha menjadi pengeluar susu utama negara juga boleh dicapai," katanya.

Mohd. Ali berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ladang White Heron Dairy Farm di KM 35, Kluang-Jemaluang, Mersing kelmarin.

Turut serta dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.

Lawatan juga disertai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Rohaya Mohd Ali dan Pengarah Ladang White Heron Dairy Farm, Md. Abdah Selamat.

Menurut Mohd. Ali, walaupun Melaka tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka ladang tenusu baru, masih ada mekanisme lain yang boleh dilakukan.

"Mungkin kita boleh cari syarikat-syarikat di Melaka yang berminat untuk melabur dalam industri ini atau libatkan para belia bagi mempelajari kaedah ternakan lembu tenusu.

"Saya juga akan cuba cadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mengeluarkan sejumlah peruntukan kepada belia-belia yang berminat menceburi bidang ini," katanya.

Tambah Mohd. Ali, usaha itu juga dilihat dapat melahirkan usahawan ternakan yang berjaya di kalangan belia.

"Ia juga mampu mengurangkan import makanan yang mencecah hampir RM13 bilion setahun termasuk import daging dan susu," katanya.

Sementara itu, menurut Md. Abdah, Ladang White Heron Diary Farm mampu mengeluarkan sebanyak 1,300 liter susu segar sehari mulai September depan.

Tambahnya, beliau juga menyasarkan peningkatan pengeluaran susu sebanyak 10,000 liter sehari dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kita akan menggunakan teknologi yang moden untuk memproses susu segar dan produk susu lain bagi menampung keperluan pasaran tempatan.

"Malaysia hanya mengeluarkan susu segar sebanyak 25 juta liter setahun iaitu hanya enam peratus dari keperluan 416 juta liter," tambahnya.

Menurut beliau, Ladang White Heron Diary Farm seluas 1,000 ekar kini menempatkan 180 ekor baka lembu Jersey dan Hersey-Friesien dari Australia.

Jumlah tersebut dijangka akan meningkat hingga 600 ekor dalam tempoh tiga tahun lagi.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya amat berminat untuk menjadi penternak lembu.Dimana saya bleh mendapatkan lembu untuk saya ternak dan bagaimana pula untuk mendapatkannya.????