Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, November 11, 2008

Usahawan daging segar

JARANG wanita mahu terjun di bidang perniagaan berasaskan daging segar kerana menganggap ia bukan suatu bidang menarik.
JARANG wanita mahu terjun di bidang perniagaan berasaskan daging segar kerana menganggap ia bukan suatu bidang menarik.

Namun, kesedaran betapa pentingnya konsep halal selain mengusulkan makanan terbaik sebagai asas kepada pembentukan diri membuatkan Herni Azura, 31, berasa terpanggil untuk menjana kelainan.

Anak kelahiran Kanada dengan keluarga berasal dari Johor Bahru, Johor ini mempunyai alasan tersendiri untuk meletakkan satu asas kukuh betapa Islam amat mementingkan makanan bersih, halal, suci lagi diredai.

“Kesedaran itu datang dengan sendiri kerana berasakan ia bagaikan satu tanggungjawab atau amanah sesama insan.

“Ketika mengikuti satu forum Halal Dunia, saya terpanggil untuk merealisasikan semua ini dan baru empat bulan kedai ini beroperasi tetapi sambutan di luar jangkaan.

“Apabila negara dimomokkan isu penyembelihan yang tidak betul, daging yang tidak diketahui dari mana asal serta puncanya, dikendalikan golongan yang identitinya sukar diramal status Islamnya, daging bercampur khinzir dan pelbagai isu yang sensitif, membuatkan saya beriltizam melakukan sesuatu untuk ummah.

“Apabila wujudnya francais Daging Segar Farm Fresh yang diambil terus daripada pembekal iaitu Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Sembilan, saya rasa keputusan ini tidak silap,” katanya yang berasakan sampai masanya masyarakat membuka mata mengenai fenomena berkenaan.

Selain itu, ibu kepada dua anak ini turut menjual daging ayam organik iaitu ayam yang tahan lama menerusi penyelenggaraan terkawal.

“Menariknya mengenai bekalan ayam organik ini, ia hanya diberi makan sayuran soya serta diperdengarkan azan dan ayat al-Quran.

“Dagingnya lebih enak walaupun agak keras dan sesuai untuk buat rendang. Tetapi ia tahan lebih sebulan jika disimpan dalam peti sejuk beku yang dikawal sebaiknya,” kata anak sulung daripada empat beradik ini lagi.

Herni Azura mengakui, suntikan semangat yang diberikan suami selain inisiatif sendiri yang mahukan sesuatu kelainan membuatkan dia memacu perniagaan ini bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Saya seronok melakukan semua ini kerana menyediakan stok daging segar setiap hari, penghantaran dari rumah ke rumah, mengutamakan konsep moden dan aspek bersih serta berhawa dingin, memberikan kepuasan tersendiri.

“Tidak dinafikan banyak pasar raya besar menyediakan khidmat sebegini. Tetapi saya suka bersaing secara sihat dan persaingan ini turut mengajar untuk meningkatkan kualiti untuk masyarakat,” katanya.

Menurutnya, Daging Segar Farm Fresh sudah mempunyai hampir 50 rangkaian dan syarikat miliknya adalah yang kedua lahir sebaik saja syarikat itu mula beroperasi.

Memulakan kerjaya di syarikat bapanya sebaik saja menamatkan pengajian, menjadi pengukur kepada Herni Azura untuk menguji dirinya.

“Bagus juga saya belajar dari bawah dan ayah pula banyak beri dorongan. Walaupun kini sibuk dengan syarikat ini, saya turut membantu ayah di studio muziknya di Subang Jaya.

“Yang menariknya, studio itu lebih kepada untuk tujuan komersial, latihan muzik, rakaman hiburan untuk pengiklanan dan pelbagai perkara berkaitan perniagaan,” katanya bercerita mengenai Studio Derhytmhmix yang hampir 10 tahun beroperasi.

Turut aktif dalam Puteri Umno bahkan memegang jawatan sebagai Ketua Puteri Bahagian Subang, pelbagai perkara mahu dilakarnya buat ahli yang bernaung di bawah kepimpinannya.

Yang terpenting baginya adalah melihat pertubuhan itu semakin berjaya memberi kesedaran politik kepada golongan muda sekali gus mengubah pemikiran kumpulan sasaran itu supaya mengetahui akar umbi sejarah negara, pengorbanan serta kepimpinan masa depan.

“Kepimpinan politik memerlukan sebuah negara yang stabil. Kestabilan pula harus ditandai dengan pembangunan dan kemajuan rakyatnya.

“Sesebuah negara bergantung kepada kecemerlangan generasi mudanya yang bakal menerajui negara kelak. Pada saya, semua ini memerlukan kesedaran semua pihak,” katanya.

Biar sesibuk mana dirinya, wanita ini mengakui suami menjadi sandaran dalam melayari kehidupan bahagia sekeluarga.

“Apabila terlalu sibuk dengan politik, suami banyak berkorban menjaga anak. Lagipun dia tidak percaya jika anak terlalu rapat dengan orang gaji.

“Suami yakin anak di bawah jagaannya lebih selamat. Untuk itu, dia berkorban mengambil cuti dan sebagainya supaya dapat memberi tumpuan kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: