DI Kelantan, pertandingan haiwan cantik seperti ayam serama, cengkerik, ikan ‘flowerhorn’, burung merbuk, tekukur serta lembu dipertontonkan kepada rakyat negeri ini sejak beberapa tahun lalu sehingga ia dijadikan acara wajib tahunan bagi peminat setianya. |
DI Kelantan, pertandingan haiwan cantik seperti ayam serama, cengkerik, ikan ‘flowerhorn’, burung merbuk, tekukur serta lembu dipertontonkan kepada rakyat negeri ini sejak beberapa tahun lalu sehingga ia dijadikan acara wajib tahunan bagi peminat setianya.
Malah tidak keterlaluan dikatakan, pemilik dan peminat tentu gelisah seandainya pertandingan seumpama itu tidak dijalankan, menyebabkan ada yang sanggup melakukannya secara individu atau berkumpulan, sekalipun di rumah dan tanpa tawaran hadiah.
Begitulah hebatnya aktiviti itu di kalangan peminatnya. Pantang mendengar adanya pertandingan itu, mereka terus bergegas ke lokasi terbabit tanpa mempedulikan jumlah yuran penyertaan yang bakal dikenakan.
Sejak dua tahun kebelakangan ini, muncul satu kategori pertandingan membabitkan haiwan yang jarang diadakan di negeri lain iaitu pertandingan biri-biri cantik.
Jika sebelum ini ramai menjauhkan diri daripada kambing atau biri-biri kerana bau badannya yang hamis, kini ada yang rela memeluk dan membelai kedua-dua haiwan itu seperti kucing.
Lebih menarik, sebahagian besar biri-biri berkenaan memiliki surat beranak dan nama ‘glamor, antaranya Awe Donde, Siti Payung, Jenny, Cindai, Castello, Siti Ara, Minah dan Hitler.
Pada setiap pertandingan, ‘kecantikan’ serta ‘kejelitaan’ biri-biri yang mengambil bahagian menjadi tumpuan kerana haiwan terbabit biasanya didandan serta dihias indah.
Pemilik haiwan itu turut menggosok gigi biri-biri mereka dengan menggunakan berus gigi ‘gergasi’ bagi memastikan ia sentiasa kelihatan putih berseri.
Pengadil pertandingan biri-biri cantik yang juga pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Zaimin Mohd Daud, 30, berkata penilaian dibuat berdasarkan tiga kriteria iaitu sifat biri-biri, ciri-ciri sistem pembiakan dan penampilan am.
“Pembahagian markahnya ialah 40 peratus untuk ciri-ciri pembiakan dan masing-masing 30 peratus untuk sifat biri-biri serta penampilan am,” katanya.
Zaimin berkata, markah untuk penampilan am mengambil kira badan biri-biri sihat, tegap, tidak cacat, selain bulu badannya mesti kemas, bersih dan berkilat. Ia termasuk juga cara berdiri, berjalan (gait) serta tingkah lakunya seperti jinak, aktif serta mudah dikendalikan.
“Pemilik akan memperoleh markah lebih tinggi lagi jika haiwan peliharaannya memiliki sifat biri-biri seperti tanduk bulat dan melengkung ke bawah berwarna gelap, telinga lebar, lembut, saiz sederhana serta melampai ke bawah.
“Warna badan pula sebaik-baiknya putih manakala telinga serta kepala merah coklat, berekor perang kemerahan dan berpigmen di bahagian ventral,” katanya.
Zaimin berkata, ciri-ciri sistem pembiakan yang menyumbang 40 peratus markah pula dikira berdasarkan testis normal, saiz yang sama serta seimbang; ‘scrotum’ normal, tidak terlalu labuh; ‘prepuse’ normal dan ukurlilit scrotum.
Menurut Zaimin, pertandingan biri-biri cantik berbeza dengan pertandingan haiwan lain kerana satu tarikan utamanya ialah gelagat haiwan itu ketika diperagakan oleh pemilik masing-masing.
“Pertandingan menjadi lebih menarik dan seronok apabila biri-biri yang ditambat oleh pemiliknya dengan penunggul tiba-tiba berlaga kepala dengan biri-biri lain, menyebabkan kedengaran kuat bunyi hentakan tanduk.
“Sebab itu, pemilik menambat biri-biri masing-masing agak jauh iaitu lebih kurang 20 meter jaraknya bagi mengelak kejadian itu berlaku,” katanya.
Remaja yang juga pemilik biri-biri yang menyertai pertandingan itu, Mohd Shahril Azlan, 15, dari Bachok berkata dia lebih suka ‘bermain’ dengan biri-biri daripada membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah.
Katanya, sehingga kini dia memiliki dua ekor biri-biri yang dinamakan Joe dan Asha, masing-masing berusia empat dan enam bulan, yang dihadiahkan oleh ayahnya tahun lalu.
“Biasanya saya pergi mencari rumput dan tumbuhan herba di padang ragut untuk diberi makan kepada Joe dan Asha, selain turut memberi dedak.
“Sehingga kini pencapaian terbaik biri-biri saya ialah memenangi hadiah tempat keempat dalam pertandingan biri-biri cantik di Kota Bharu, Mac lalu.
“Bagaimanapun, saya bangga kerana menjadi peserta paling muda menyertai pertandingan seumpama itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan