Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, Julai 27, 2008

Tiga rakan usahakan makanan tambahan haiwan ternakan

Minat yang mendalam terhadap projek haiwan ternakan mendorong tiga sahabat bergabung tenaga membuka sebuah kilang memproses makanan tambahan untuk lembu, kambing, ayam dan itik yang mula dipasarkan sejak tiga bulan lepas.

Salah seorang rakan kongsi itu, Abdul Latif Baba, 54, berkata, mereka menubuhkan syarikat Prestige Blitz Sdn. Bhd., yang kini memasarkan produk makanan tambahan itu di selatan tanah air.

Dua lagi rakannya yang terlibat sama ialah Yahya Embi, 49, dan Roslinda Sahar, 31.

Dengan bermodalkan RM50,000, mereka menyewa sebuah kilang di Jalan Jeram, Bakri di sini bagi menjalankan perniagaan makanan tambahan itu sejak April lalu.

''Proses menghasilkan makanan tambahan haiwan kambing dan lembu, ia dihasilkan daripada campuran sekam padi, bahan buangan minyak sawit, hampas kelapa, garam dan gula merah, manakala bagi makanan ayam dan itik, ia memerlukan campuran dedak ikan yang siap dikisar.

''Sebagai usaha permulaan, kami berharap permintaan terhadap makanan tambahan ini bertambah kerana bahan ini mendapat pengiktirafan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kilangnya, di sini hari ini.

Kilang yang diusahakan oleh tiga sahabat itu adalah yang pertama dijalankan oleh usahawan Bumiputera di daerah ini dan mereka dibantu oleh tiga pekerja.

Menurut Abdul Latif, kebanyakan produk makanan tambahan itu dipasarkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain ada juga yang dijual terus kepada penternak.

Bagi makanan tambahan untuk lembu, ia dijual pada harga RM16 seguni dengan berat 25 kilogram, manakala bagi makanan tambahan kambing, harganya adalah RM18.

Untuk makanan tambahan ayam dan itik pula, ia dijual pada harga RM38 seguni iaitu 25 kilogram.

Abdul Latif memberitahu, pihaknya turut menerima tempahan daripada pembeli dari luar daerah ini termasuk di Segamat, Melaka, Seremban dan Mersing.

''Dua buah mesin yang bernilai RM4,000 digunakan untuk memproses makanan tambahan ini iaitu mesin pembancuh yang mampu memproses sejumlah 120 kilogram bahan makanan pada sesuatu masa.

''Selain itu, mesin pembentuk makanan dalam bentuk kapsul yang memproses satu kilogram bahan untuk tempoh sejam.

"Melalui usahasama ini, saya bertindak menguruskan pemasaran bahan, Yahya pula menjaga operasi kilang, manakala Roslinda menguruskan pentadbiran,'' jelasnya.

Bagaimanapun, Abdul Latif melahirkan kebimbangan berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini yang dijangka memberi kesan terhadap harga makanan tambahan itu dalam pasaran.

Katanya lagi, sejak memulakan perniagaan itu April lalu, pihaknya masih mengekalkan harga promosi yang ditawarkan.

Menurutnya, produk keluaran mereka mengandungi bahan-bahan terbaik untuk membantu menambahkan pembesaran haiwan ternakan kerana mengandungi tenaga, kalsium, zat besi, serat serta protein.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai makanan tambahan itu boleh menghubunginya di 012-3410222 atau 016-3418222.

Tiada ulasan: