Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Ahad, Julai 27, 2008

Ceburi bidang penternakan


HASIM Rusdi (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta mengenai penternakan kambing di Ladang Ternak Al-Barakah, Kampung Kondok, Nilai, semalam.
Kerajaan negeri menyarankan supaya lebih ramai belia tampil melibatkan diri dalam industri penternakan dan menjadikan bidang itu sebagai salah satu kerjaya pilihan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menyediakan pelbagai insentif sebagai galakan kepada golongan belia yang berminat menceburi bidang penternakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu berkata, industri ternakan juga mampu menjana pulangan lumayan di samping menyeimbangkan krisis kenaikan harga bahan makanan di negara ini.

''Sehubungan itu, saya menyarankan agar lebih ramai belia di negeri ini yang menyahut seruan kerajaan untuk merealisasi hasrat menjadikan bidang pertanian itu satu perniagaan," ujarnya.

Hasim berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Kursus Usahawan Belia Ternak Peringkat Negeri Sembilan 2008 di Ladang Ternak Al-Barakah, Kampung Kondok di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Khaidir Jamal dan Pengerusi Al-Barakah Global Food Industry Sdn. Bhd., Idris Haron.

Kursus penternakan kambing baka Jamnapari yang berlangsung selama lima hari tersebut dihadiri oleh seramai 53 peserta yang mewakili persatuan-persatuan belia di negeri ini dan dari negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka, Selangor, Terengganu dan Perak.

Jelas beliau, pada masa ini kerajaan merancang untuk mengurangkan import daging yang nilainya mencecah hingga berbilion ringgit setiap tahun.

Justeru itu, tambahnya, perkembangan dalam bidang penternakan haiwan seperti kambing dan lembu boleh mengurangkan kebergantungan negara terhadap import daging dari luar negara.

Dalam pada itu, Hasim berharap belia yang menyertai kursus berkenaan sentiasa gigih dan bersemangat cekal untuk muncul sebagai usahawan ternak yang berjaya.

''Golongan belia perlu membuktikan mereka boleh berjaya dalam bidang ini dan kerajaan sentiasa bersedia membantu mereka dari segi khidmat nasihat serta bantuan kewangan bagi mencapai matlamat tersebut," ujarnya.

Selain itu, beliau juga mahu peserta-peserta memanfaatkan pengetahuan berkaitan penternakan kambing yang telah dipelajari dengan sebaik-baiknya serta memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada rakan-rakan belia lain di kawasan masing-masing.

Tiada ulasan: