Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Selasa, Jun 17, 2008

Taman Teknologi Kaprima Bestari Dibina Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 17 Jun (Bernama) -- Sebuah Taman Teknologi Kaprima Bestari berharga RM10 juta akan dibina di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Serating, Marang dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran bekalan ternakan kambing di negeri ini.

Pengarah Jabatan Veterinar negeri, Dr Azizol Mohd Sharum berkata pembinaan taman di kawasan seluas kira-kira 10 hektar itu bertujuan mengumpulkan segala teknologi berkaitan kambing di sebuah kawasan khusus yang akan dibangunkan tidak lama lagi.

"Kita telah memohon peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan Pusat untuk membangunkan taman teknologi ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata taman teknologi itu penting dalam usaha memodenkan sektor ternakan kambing di samping penggunaan teknologi baru yang akan mengurangkan kos pengeluaran serta memberi pulangan yang baik kepada pengusaha terbabit.

Selain itu, beliau berkata pembinaan taman teknologi itu juga akan menjadi tarikan pelancong yang meminati sektor pertanian khususnya berkaitan ternakan kambing untuk berkunjung ke Terengganu.

Bagi tempoh jangka panjang, Dr Azizol berkata taman teknologi berkenaan akan menjadi tempat rujukan teknologi bagi penternak kambing, khususnya dari negara Asia.

"Selain menjadi tempat latihan dan sebagainya, taman teknologi ini merupakan salah satu sumber penting bagi menambahkan pendapatan negeri pada masa akan datang.

"Ia juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mereka yang berkelulusan dalam bidang berkenaan untuk bekerja di taman teknologi ini," katanya.

Beliau berharap taman teknologi itu dapat memantapkan lagi usaha untuk memajukan lagi perusahaan ternakan kambing di Terengganu pada masa akan datang.

Tiada ulasan: