Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Rabu, April 09, 2008

Ladang BoDen Sasar Keluar 2,000 Baka Kambing Boer Setahun Mulai 2010

Oleh Razali Pilus BAHAU, 1 April (Bernama) -- Ladang BoDen milik Distinct Agricultural Services Sdn Bhd di Serting Hilir dekat sini, yang mengusahakan ternakan kambing Boer bermutu tinggi, menyasarkan untuk mengeluarkan 2,000 ekor baka kambing boer setahun mulai 2010.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Abdul Ghani berkata langkah itu selaras dengan sasaran Ladang BoDen seluas 40.87 hektar itu untuk menjadi pembekal baka kambing Boer bermutu tinggi kepada para penternak yang memerlukannya.

"Pengeluaran baka di ladang ini menggunakan teknologi pakej dari Mardi meliputi semua aspek termasuk sistem pemeliharaan dan kawalan penyakit, pemakanan, pengurusan baja organik dan pembiakbakaan," katanya kepada Bernama di sini, hari Selasa.

Ini berikutan pemilihan ladang ini oleh Mardi untuk menjadi salah satu ladang satelit yang menghasilkan baka kambing Boer bermutu tinggi untuk dipasarkan kepada para penternak tempatan.

Katanya teknologi terkini pembiakan bioteknologi canggih (permanian berhadas dan pemindahan embrio) yang diaplikasi di ladang ini bagi menghasilkan baka yang memenuhi standard "stud Boer" yang diiktiraf oleh Mardi dan "South Africa Boer Goat Breeders Association (SABGBA)".

Zainal berkata pihak pengurusan ladang tersebut sentiasa memastikan amalan pengurusan ladang terbaik kerana matlamat akhir ladang BoDen adalah untuk menghasilkan kambing baka berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan.

Sehubungan itu, katanya petugas Ladang BoDen sentiasa berusaha memastikan standard yang diamalkan adalah pada tahap tinggi.

Bagi mendapatkan baka berkualiti, katanya rekod setiap ekor kambing mesti dikemaskinikan supaya pembeli mengetahui latar belakang ternakan itu, bermula dari kecil sehingga dijual.

Beliau berkata ladang BoDen telah memulakan operasinya pada 21 Dis 2006 dengan bermodalkan RM3 juta.

Kini ladang ini mempunyai 960 ekor kambing baka Boer, yang mana 60 peratus merupakan kambing baka tulen dan 40 peratus lagi terdiri daripada kambing kacukan F3 dan ke atas, katanya.

"Ladang ini berupaya menghasilkan baka kambing Boer yang setanding degan kambing Boer yang diimport sebab telah disesuaikan dengan iklim dan mempunyai ketahanan melawan penyakit dengan lebih baik.

"Saya memilih kambing Boer kerana mempunyai ciri lebih baik daripada kambing lain kerana dagingnya lebih banyak daripada tulang, dagingnya tidak berbau, lebih lembut serta mempunyai kolestrol rendah.

"Kambing jenis ini juga mempunyai ciri keibuan yang mampu menjaga anaknya dengan baik," katanya.

Tiada ulasan: