Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Jumaat, Februari 01, 2008

Pusat Embrio Haiwan tingkat kualiti, bilangan ternakan

KLUANG 31 Jan. – Pusat Embrio Haiwan Negara (NAEC) dan program Kaedah Terkini Bioteknologi dalam Pembiakan Ternakan (ARB) yang dilancarkan hari ini mampu meningkatkan lagi kualiti dan bilangan ternakan kambing dan lembu daging dalam negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif tersebut selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan pergantungan kepada daging import.

Beliau berkata, bekalan daging dalam negara hanyalah kira-kira 20 peratus bagi lembu dan sembilan peratus bagi kambing manakala selebihnya diimport.

‘‘Keadaan ini menyebabkan berlakunya pengaliran keluar wang negara yang banyak,” katanya ketika melancarkan program NAEC dan ARB sempena Pameran Biobisnes Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) 2008 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abdul Rahman.

Muhyiddin menjelaskan, menerusi NAEC dan ARB, kementerian menyasarkan Malaysia akan mempunyai 1.5 juta ekor lembu, kambing dan biri-biri pada 2010.

Beliau berkata, NAEC yang akan beroperasi seiring dengan ARB mempunyai pelbagai fungsi antaranya menjadi pusat pembangunan teknologi pembiakan ternakan terkini dan penghasilan embrio daripada kambing serta lembu berkualiti.

Katanya, ia turut berfungsi sebagai pusat perkhidmatan teknikal dalam pembiakan ternakan terkini dan pusat simpanan gen, sperma dan embrio ternakan untuk dimajukan.

Dalam pada itu, program ARB pula melibatkan pembelian baka lembu dan kambing dari dalam dan luar negara untuk mewujudkan kumpulan nukleus ternakan yang merupakan kumpulan elit.

Muhyiddin berkata, ternakan elit itu akan disebarkan ke ladang-ladang ternakan satelit dan ladang pengganda di seluruh negara untuk meningkatkan bilangan ternakan.

‘‘NAEC dan ARB juga akan menumpukan kepada usaha membiak baka kambing Boer dari Afrika Selatan yang dianggap antara baka kambing terbaik di dunia dengan kombinasi daging dengan lemak yang bersesuaian,’’ katanya.

Beliau menambah, kedua-dua pusat itu telah pun diperakui oleh Persatuan Penternak-Penternak Kambing Boer Afrika Selatan sebagai pusat pembiakan kambing Boer yang berupaya menghasilkan baka berkualiti tinggi.

Tiada ulasan: