Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Sabtu, Februari 07, 2009

Malaysia, Indonesia wujudkan kerjasama dalam bidang pertanian

JAKARTA 22 Jan. - Malaysia dan Indonesia bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian bagi memastikan hubungan yang lebih rapat dan teratur dalam bidang tersebut.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, perkara itu secara prinsipnya telah dipersetujui selepas dirancang sejak 2006.
Kerjasama itu, kata beliau, meliputi bidang perikanan, akuakultur dan penanaman padi.
''Antaranya kita mahu belajar bagaimana Indonesia dapat meningkatkan pengeluaran beras sehingga mampu menampung keperluan domestik dalam masa yang singkat," katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, penggunaan benih padi jenis hibrid oleh negara jiran itu didapati berjaya meningkatkan pengeluaran secara mendadak.
''Penggunaan benih padi hibrid itu yang lebih sesuai dengan cuaca tropika berbanding benih hibrid dari China yang digunakan di Malaysia sekarang," katanya.
Dalam bidang perikanan pula katanya, Malaysia dan Indonesia akan meningkatkan kerjasama bidang perikanan termasuk dalam usaha memperkaya khazanah laut yang kini diancam kepupusan.
Mustapa berkata, berikutan itu juga, satu MoU akan ditandatangani oleh kedua-dua negara selewat-lewatnya bulan Mei ini sebelum Persidangan Samudera Sedunia di Manado, Indonesia.
Setakat ini Malaysia, katanya, hanya mempunyai MoU di dalam bidang pertanian dengan negara Australia dan New Zealand.
Kerjasama dengan Indonesia itu, katanya, memang telah terjalin dalam penanaman kelapa sawit dan ia mahu diperluaskan lagi kepada bidang pertanian dan perikanan keseluruhannya.
Mustapa berkata, Malaysia juga berminat mempelajari pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh Indonesia dalam industri perikanan dan akuakultur, yang mencatatkan jumlah eksport hasil laut AS$1.5 bilion setahun.
"Lawatan saya ke Lampung di bahagian selatan Sumatera esok juga termasuk untuk meninjau projek-projek akuakultur iaitu penternakan udang terbesar di dunia," katanya.
Mustapa dalam lawatan kerja tujuh hari ke Indonesia bagi meninjau potensi yang boleh diterokai oleh pelabur dari Malaysia serta mempelajari kepakaran di dalam beberapa bidang pertanian yang relevan dengan keperluan negara.
Turut serta dalam delegasi 12 pegawai kementerian itu ialah Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Abd Aziz Jamaluddin dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mustafa Ahmad.
Mustapa dan delegasi akan melawat ke Lampung, Malang di Jawa Tengah dan Surabaya di Jawa Timur bagi melihat projek-projek industri pertanian di Indonesia

Tiada ulasan: