Dikuasakan oleh Blogger.

PERCUMA PANDANGAN @ KOMEN @ IKLAN TETAPI SILA GUNAKAN BAHASA YANG SOPAN.

PEMINAT KAMI @ JUTAWANTERNAK 2007- 2011

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

RAWANG 27 Julai - Kerajaan memperuntukkan RM213 juta dalam bentuk insentif pengeluaran kepada para penternak lembu, kambing dan ayam bagi membantu mereka menyerap kesan kenaikan harga minyak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengagihan insentif kepada penternak yang berdaftar dengan kementeriannya akan dilaksanakan bermula bulan depan hingga Disember ini.

Katanya, menjadi keutamaan untuk menerima insentif itu ialah penternak berskala kecil.

"Insentif ini adalah untuk menampung sebahagian daripada kos pengeluaran yang semakin meningkat seperti harga makanan palet.

"Semua penternak berdaftar akan menerimanya, sebagai contoh 21,000 penternak kambing di seluruh negara namun yang paling ramai ialah penternak ayam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat ladang ternakan kambing dan makmal bioteknologi milik Ar Raudhah Bio-Tech Farm Sdn. Bhd. (Ar Raudhah) di sini hari ini.

Syarikat berkenaan melaburkan RM1 juta untuk membangunkan makmal berkenaan dan ia merupakan satu-satunya ladang milik swasta yang mempunyai kepakaran melakukan permanian beradas dan pemindahan embrio kambing di negara ini.

Mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin dan Pengerusi Ar Raudhah, Datuk Bistamam Ramli.

Mustapa berkata, jumlah insentif yang akan diterima setiap penternak yang layak adalah berbeza berdasarkan jenis perusahaan dan kapasiti pengeluarannya.

Katanya, pengusaha ternakan ayam yang memiliki lebih 20,000 ekor ayam bagaimanapun tidak layak menerimanya manakala penternak lembu dan kambing tidak tertakluk kepada jumlah haiwan ternakan.

"Antara contoh jumlah insentif ialah penternak lembu susu yang menghasilkan 50 liter susu setiap hari akan menerima RM300 sebulan.

"Bagi penternak yang mengeluarkan daging 30 ekor lembu fidlot pada setiap tiga bulan, mereka layak menerima RM3,000," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta membuat pelaburan dalam bidang ternakan kambing untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap daging import.

Katanya, pada masa ini negara hanya memiliki 300,000 ekor kambing dan pada tahun 2015 kerajaan meletakkan sasaran untuk meningkatkannya kepada 1.1 juta ekor.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

Sebuah pusat penyelidikan dan teknologi kambing bernilai RM10 juta dirancang dibina di Serating, Marang, menerusi inisiatif perladangan ternakan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Pusat penyelidikan itu, Taman Teknologi Kaprima Bestari, akan dibangunkan di kawasan 10 hektar dalam kawasan Taman Pengeluaran Makanan Kekal, kata Sekretariat ECER dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Langkah itu bertujuan mencapai sara diri bekalan daging kambing memandangkan negara memerlukan 10 juta kambing setahun.

Malaysia kini mengimport kambing, kebanyakannya dari Australia.

Taman teknologi kambing, yang akan dibangunkan dan diurus oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu (JPHT), akan mengumpul maklumat dan menjalankan penyelidikan mengenai pembiakan kambing selain memodenkan industri penternakan kambing negara, dengan ECER sebagai hab utama, katanya.

"Taman Teknologi itu disasarkan menjadi pusat penyelidikan dan maklumat untuk penternak kambing, terutama di Asia," kata Pengarah JPHT Dr Azizol Mohd Sharun.

"Kami akan memperkenalkan teknologi dan teknik terbaru dari luar negara.

Teknologi baru itu akan membantu penternak meminimumkan kos pengeluaran selain mendapat pulangan yang lebih baik.

Sementara itu, para penternak dan mereka yang berminat terhadap industri berkenaan, boleh mengikuti kurus penternakan kambing, katanya.

"Kami menjangkakan taman kambing itu akan menawarkan prospek ekonomi yang lebih baik dan peluang pekerjaan kepada usahawan dan graduan tempatan dalam bidang kajian yang berkaitan." Taman teknologi kambing itu akan dilengkapi rumah ladang, pusat penyembelihan mini, kilang pemprosesan baja, restoran, dewan pameran pengeluaran, masjid, dan asrama pekerja.

Selain aktiviti penyelidikan dan penternakan kambing, taman itu juga bersedia menerima pelancong serta mesra kanak-kanak, di mana mereka membolehkan memegang dan memberi kambing makan.

Terengganu menyasarkan lebih 3.5 juta pelancong ke negeri itu tahun ini.

Kebanyakan destinasi pelancongannya disasar untuk pencinta alam semula jadi dan taman kambing ini dijangka turut mendapat perhatian pelancong.

Penggunaan perkapita negara bagi daging kambing meningkat daripada 0.67kg pada 2006 kepada 0.74kg pada 2007.

Malaysia secara tradisinya merupakan pasaran eksport terbesar Australia, mengimport kira-kira 15,000 tan daging kambing dan 50,000 ekor kambing.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ECER disasar menambah aktiviti penternakan kambing sebanyak tujuh peratus dalam tempoh lima tahun bagi memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa yang semakin meningkat.

Ia akan memberi tumpuan terhadap kambing yang menghasilkan daging yang tinggi bagi menggantikan ternakan tempatan.

Bagi mencapai matlamat 35 peratus sara diri dalam pengeluaran kambing menjelang 2015, ia memerlukan 18,000 ekor kambing tambahan.

Sasarannya ialah ECER menghasilkan 2,020 tan metrik pada 2020, katanya.

Penternakan kambing di Malaysia melibatkan 75 peratus penternakan tradisional manakala 15 peratus diusahakan separuh komersial dan 10 peratus lagi membabitkan ladang komesial.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan






Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA2008) kali ini mensasarkan penyertaan kira-kira 3,000 syarikat dan agensi berkaitan pertanian untuk memperagakan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Pameran anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan berlangsung dari 11-23 Ogos di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

Pameran MAHA menjadi medan kepada pembeli dan penjual, pencipta teknologi, pembekal perkhidmatan serta pengusaha sektor pertanian berkumpul dan mempamerkan hasil usaha, ciptaan dan teknologi terkini mahupun perkhidmatan dan peluang pelaburan yang ditawarkan.

Dengan kejayaan MAHA 2006 mencatat sebagai pameran yang terbesar di Malaysia dalam "The Malaysian Book of Records", BERNAMA telah menemubual Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz untuk membicarakan dengan lebih dekat mengenai sejarah permulaan pameran MAHA.

BERMULA PADA ZAMAN PENJAJAH

Menurut beliau, pameran pertanian yang julung kali diadakan di negara ini dianjurkan oleh Persatuan Penternak Kelang pada tahun 1920 dengan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Susulan kejayaan itu telah menggerakkan Persatuan Pertanian Hortikultur Malaya (MAHA), sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh ahli-ahli sains dan botani dari negara anggota Komanwel, untuk menganjurkan pameran MAHA yang pertama pada tahun 1924.

Pameran tersebut, kata Shariff, mendapat sokongan dari Jabatan Pertanian di bawah Pentadbiran British. Bahan-bahan pameran dikumpulkan dari pameran di peringkat mukim, daerah dan negeri manakala pemenang di setiap pameran layak menyertai pameran tahunan MAHA di Kuala Lumpur.

PENYERTAAN HEBAT

Pameran di peringkat mukim, daerah dan negeri mendapat sambutan hangat di kalangan petani dan penternak dengan masing-masing menaruh impian untuk menyertai pameran kemuncak di Kuala Lumpur.

Peserta ketika itu bolehlah diibaratkan merasakan seperti mengambil bahagian dalam pertandingan Akademi Fantasia hari ini.

Pada zaman penjajah dahulu, rakyat jelata tidak berpeluang untuk berpesta seperti hari ini, di mana terdapat pelbagai sambutan yang diraikan bersama oleh berbilang kaum.

"Justeru pameran di peringkat mukim, daerah dan negeri ini juga diiringi dengan persembahan hiburan dan pertandingan uji bakat sebagai daya tarikan", katanya.

Ternyata sekali, pameran MAHA pada peringkat awal bukan sahaja menghidangkan hasil pertanian dan ternakan yang terbaik di seluruh tanah air, malahan dapat mencungkil bakat terpendam penduduk luar bandar.

Shariff berkata, pada pameran pertanian di Butterworth, Pulau Pinang, 1948, syarikat Malay Film Productions turut mengesan bakat semula jadi seorang anak muda bernama Teuku Zakaria bin Teuku Nyal Putih, yang kemudian dikenali sebagai seniman agung Malaysia, Tan Sri P.Ramlee.

Dalam masa yang sama, seorang ahli jawatankuasa MAHA, Tan Sri V.M Hutson mendapati rakyat Tanah Melayu ketika itu meminati pertunjukan haiwan di dalam sangkar di pameran berkenaan.

Beliau kemudian mewujudkan mini zoo pada MAHA 1958 dan ternyata ia menerima sambutan yang memberangsangkan di kalangan pengunjung.

Rentetan daripada kewujudan mini zoo itu membawa kepada penubuhan Zoo Negara di Ulu Klang pada 1962, tambah beliau lagi.

DIHENTIKAN SEMENTARA WAKTU

Menurut Shariff, MAHA terpaksa dihentikan semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua iaitu pada 1940 hingga 1945 dan disambung semula selepas tamat tempoh penjajahan.

Penghasilan tanaman dan penternakan yang positif dianggap sebagai pengubat kedukaan yang dialami rakyat ketika zaman penjajahan.

Pameran MAHA terus berkembang setiap tahun dan mencapai kemuncaknya apabila penyertaan pertama kali dari Sarawak dan Sabah setelah Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada 1963.

Sekitar tahun 1964 dan seterusnya, penekanan terhadap perkembangan sektor perindustrian dan pembuatan sedikit demi sedikit menyebabkan tumpuan kepada pertanian beralih.

Kemajuan ekonomi yang dicapai Malaysia menyebabkan generasi muda di kawasan pedalaman tidak lagi meminati bidang pertanian, jelas Shariff.

Mereka mula berhijrah ke bandar Petaling Jaya dan Shah Alam untuk bekerja di kilang-kilang yang wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing tidak melepaskan peluang dengan pertumbuhan ekonomi yang kian berkembang.

Situasi ini secara tidak langsung membawa kepada penurunan penyertaan rakyat dalam MAHA.

Akhirnya, pameran MAHA menutup tirainya pada tahun 1968 dengan berlangsungnya edisi terakhir di Jalan Klang Lama (sekarang dikenali sebagai Kampung Medan)

PEMULIHAN

Setelah hampir tiga dekad berkubur, pameran MAHA dihidupkan semula.

Pada Julai 1999 Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad merasmikan pameran MAHA di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur sempena hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan.

Aktiviti baru seperti program homestay agro-budaya yang memberi peluang pelancong merasai kebudayaan dan kehidupan masyarakat desa turut diperkenalkan.

Selaras dengan kemajuan ini, MAHA kini dikenali sebagai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-pelancongan, mendapat sokongan sepenuhnya daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Kementerian berkenaan melalui FAMA dan beberapa agensi lain menjadi tulang belakang di sebalik Pameran MAHA. Pengalaman luasnya dan perangkaian antarabangsa yang meluas penting dalam menarik penyertaan antarabangsa dalam MAHA, kata Shariff.

Pada MAHA 2002 di The Mines Wonderland, Seri Kembangan, Selangor, satu keputusan dicapai agar MAHA dijadikan program dwi-tahunan, bagi memberi masa kepada hasil pertanian dan ternakan untuk matang.

MOA juga pada masa sama sentiasa berusaha mengaktifkan semula sektor pertanian bagi menjadikan ia industri yang dinamik serta berupaya memberikan pulangan lumayan kepada sektor ekonomi.

Bagi meyakinkan orang ramai bahawa sektor pertanian adalah pelaburan yang menguntungkan dan mampu memberi ganjaran lumayan, cogan kata "Pertanian adalah Perniagaan" yang digunapakai ketika MAHA 2006 diteruskan untuk pameran tahun ini.

LOKASI TAPAK KEKAL

Pada masa kini MAHA adalah pameran pertanian terbesar Malaysia dan berjaya menarik minat 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan imejnya, MOA telah memajukan 100 hektar Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sebagai lokasi kekal untuk pameran itu.

MAEPS menawarkan kemudahan tempat perjumpaan, insentif, konvensyen dan pameran.

Dengan MAEPS sebagai lokasi tetap MAHA, ia diharapkan dapat menyaingi pameran pertanian terkemuka yang lain seperti Pameran Pertanian Diraja di England, yang telah dianjurkan sejak 100 tahun lepas..


ATURCARA MAJLIS MAHA2008

Aktiviti dan Acara Kemuncak MAHA2008

Tempat Pameran
Dewan A – Pameran Jabatan Kerajaan & Agensi Kerajaan
Dewan B - Pameran Syarikat-Syarikat Antarabangsa/Negara Jemputan dan Syarikat-Syarikat Swasta pergabungan dengan Syarikat -Syarikat Antarabangsa
Dewan C – Pameran Korporat Tempatan
Dewan D1 – Makanan “Popular” Malaysia
Dewan D2 - Agrobazaar
Dewan D3 –“Walk-in Seminars” & Upacara Perasmian & Penutup

Agrobazaar @ Dewan D2

Jualan Produk Segar dan Proses dari Perusahaan Kecil & Serdehana Buah-buahan dan Sayur-sayuran Segar

“Malaysia Truly Asia Kitchen”
Makanan Kegemaran Malaysia @ Dewan D1

Seminar
“Walk-in Seminars” @ Dewan D3
-Peluang-Peluang Meningkatan Eskport Pertanian dan Makanan
-Kejayaan Usahawan Pertanian dan Makanan
-Peluang-Peluang Perniagaan Pertanian dan Makan Dosmetik

Pameran Ternakan Hidup

Pameran Teknologi dan Produk Berasaskan Ternakan
-Pameran Teknologi Ternakan
-Jualan Produk Tambahnilai Hasilan Ternakan
-Demonstrasi Memasak oleh Chef Selebriti seperti Chef Ismail, Chef Florence dan Chef Razak

Interaksi/ Reakreasi
Petting Zoo (guinea pig, chipmunk, arnab, hamster dll)
Pameran dan Pertandingan Kucing, Pameran dan Demonstrasi Anjing
Menunggang Unta & Gajah
Menjelajah Zoo
Aktiviti Berkuda spt Pony Ride, Carriage Ride & Musical Ride
Pameran Kuda, Pameran Arnab
Jualan Cenderamata
Bergambar Dengan Haiwan
Kempen Kesedaran
Aktiviti Kambing spt Kambing Berlitar & Menyusukan Anak Kambing

Jualan dan Lelongan Ternakan

Tapak Pameran Haiwan Hidup
Pertandingan Ternakan (Lembu, Kambing, Induk, Pejantan Unggul)
“Petting Zoo” (Haiwan Kesayangan)
Pameran dan Pertandingan Kucing dan Anjing
Menunggang Unta, Kuda Kerdil &Gajah
Bergambar dengan Haiwan
Jualan & Lelong
Bistro

Persembahan Rodeo

http://www.new-wave-events.com/images/rodeo/rodeo1.jpg
Lembu Jantan Muda Bergusti
“Bull Riding”
Menunggang Kuda tanpa Pelana (“Bareback Riding”)
"Saddle Bronc”
“Rope & Tie”
“Team Roping” dan “Breakway Roping”
“Ladies Barrel Race”
“Steer Undercorating”

Pertandingan Ternakan (Lembu & Kambing)
Induk Comel
Pejantan Unggul

Pastura Muzium
Pameran dan jualan biji benih, baja organik, makanan ternakan, pesticide dan racun rumpai

Pusat Demonstrasi
Kutipan Air Mani Kambing (“Semen Collection”)
Pemerahan Susu Lembu Baka Jersey

Rumah Negeri (“ State Pavilions”)

Peluang Pelaburan
Produk Negeri

Amphitheatre
Persembahan Artis-Atris Terkenal & Kebudayaan
Pertandingan Karaoke terbuka
Pertandingan “Liveband”
Pertandingan Angkat Berat

Taman-Taman
Bunga-bungaan, Palma, Herba-Herba, Padi, Nenas,
Sayur-Sayuran dan landskap
Ladang Hortikultur

Pameran Kentera Pertanian @ Ladang Jentera

Pameran @ Tasik
Ternakan Ikan Sangkar

Pameran Pproduk Berasaskan Nanas
Pertandingan Masakan Berasaskan Nanas
Demontrasi Teknik Gubahan Dan Hiasan Buah Nanas
Demontrasi Tanaman Nanas

Pertandingan Melukis & Mewarna

Bidang Demonstrasi & Produk
Teknologi Mekanisasi Pertanian Terkini
Pameran Haiwan & Penuaian
Jualan Jentera dan Peralatan Pertanian
Demonstrasi Penuaian Jagung dan Vitato
Penanaman Nanas
Galeri Jentera Pertanian Antik dan Mordern

Location Map


Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


HASIL LUMAYAN: Mustapa (kiri) melihat baka kambing boer ketika melawat ladang Ar-Raudhah di Kuang, semalam

Peruntukan RM213 juta galak pengusaha kecil tingkat bekalan makanan

RAWANG: Penternak lembu, kambing dan ayam di negara ini akan diberikan insentif berbentuk wang tunai berdasarkan jumlah pengeluaran, mulai bulan depan bagi meringankan beban mereka berikutan kenaikan kos operasi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pemberian insentif yang difokuskan kepada pengusaha dan penternak kecil itu juga bertujuan meningkatkan bekalan bahan makanan rakyat menerusi Dasar Jaminan Bekalan Makanan.


Beliau menjelaskan, insentif berkenaan layak diterima individu mengikut kategori ditetapkan kerajaan iaitu memiliki kurang 20,000 ayam bagi penternak ayam dan semua pengusaha ternakan lembu serta kambing.

"Jumlah bantuan akan ditetapkan mengikut formula dirangka atau berdasarkan pengeluaran penternak berkenaan, Seperti contoh, bagi seorang penternak lembu yang mengeluarkan 50 liter susu sehari, mereka akan menerima bantuan kira-kira RM300 sebulan.

"Bagi lembu fidlot pula, mereka yang memiliki 30 lembu dengan keluasan ladang 100 ekar, jumlah bantuan bakal diterima mereka adalah berjumlah RM3,000 bagi tempoh tiga bulan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke ladang penternakan kambing Boer milik Ar-Raudhah Farm Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin dan Pengerusi Ar-Raudhah, Datuk Bistamam Ramli.

Menerusi format pengiraan bagi menentukan jumlah bantuan, penternak lembu secara kecil-kecilan akan dibayar 19.59 sen bagi setiap liter susu dikeluarkan, manakala komersial pula sebanyak 6.55 sen.

Bagi lembu fidlot, kerajaan akan membayar RM1.12 kecil-kecilan) dan 75 sen (komersial) kepada pengusaha yang dikira berdasarkan pengeluaran.

Bagi penternakan lembu secara integrasi yang majoritinya dijalankan penternak di negara ini pula, kerajaan menetapkan setiap kilogram dikeluarkan penternak akan dibayar 60 sen (kecil-kecilan) serta 20 sen (komersial).

Sementara itu, bagi penternak kambing, pengusaha jenis kecil-kecilan akan menerima 90 sen dikeluarkan, manakala 30 sen bagi mereka yang menjalankannya secara komersial. Bagi ayam pula, pengusaha akan menerima 78 sen bagi setiap kali pusingan pengeluaran.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan memperuntukkan RM213 juta untuk tempoh enam bulan sehingga Disember ini bagi memberikan bantuan kepada penternak terbabit supaya mereka dapat mengeluarkan produktiviti seperti biasa.

"Kami memperolehnya daripada RM513 juta yang diperuntukkan khusus bagi menampung pemberian insentif empat komponen dalam Dasar Jaminan Bekalan Makanan yang sebelum ini nelayan serta penanaman sayur diumumkan jenis bantuan. Hanya padi belum diumumkan lagi," katanya.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan




Zulkhairi mempunyai koleksi haiwan termasuk 11 ekor bekas kuda lumba

MINATNYA terhadap binatang mula berputik sejak kecil tapi larangan ibu yang tidak mahu dia memelihara haiwan peliharaan menyebabkan niatnya terhalang. Namun, apabila hati sudah cinta, apa juga cara tetap dilakukan termasuk membawa pulang anak monyet ke rumah dengan harapan hati ibunya lembut namun usahanya tetap tidak membuahkan hasil.

Pengarah Urusan Kumpulan Jelapang Warisan Sdn Bhd, Zulkhairi Md Zain, berkata memori ketika berusia lima tahun itu masih kejap di fikirannya tapi ia tidak pernah memadamkan rasa suka pada binatang.


Bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina Universiti of Texas Arlington, Amerika Syarikat itu, detik awal bergelar arkitek yang aktif di dalam bidang penternakan bermula ketika kegawatan ekonomi pada 1997.

“Walaupun ketika itu saya mempunyai syarikat seni bina sendiri namun tiada langsung projek yang diberikan sehingga menyebabkan saya terpaksa mencari semula syarikat yang pernah menjadi pelanggan kami dulu dan menawarkan khidmat penyelenggaraan untuk landskap mereka.

“Pernah sekali saya dipanggil memotong rumput di pejabat lama di Ampang. Saya sarungkan topeng ski berserta cermin mata hitam supaya tiada kenalan yang perasan. Tapi lama begitu menyebabkan saya berasa panas lalu saya fikir, buat apa hendak malu sedangkan apa yang saya buat adalah kerja halal, bukan mencuri,” katanya.

Zulkhairi di kandang ternakan kambingnya di Sungai Buloh.

Kini, bapa kepada enam anak itu boleh berbangga kerana minat dan kasihnya pada haiwan dapat diteruskan malah perniagaan nurseri dan mereka bentuk landskap yang ditubuhkan sejak 1997 membuka ruang kepadanya untuk memelihara pelbagai jenis haiwan ternakan seperti kambing, lembu, kerbau, biri-biri, rusa, unta, arnab dan burung unta.

Selain haiwan ternakan yang dipelihara untuk tujuan jualan, Zulkhairi turut mempunyai koleksi haiwan lain termasuk 11 ekor bekas kuda lumba dari spesies Thoroughbred dan Polo Pony serta kuda kacukan dua spesies berkenaan, iguana, ular sawa, itik dan burung.

“Minat untuk membela kuda datang dengan sendirinya selepas saya menternak kambing, bebiri dan lembu. Kebetulan saya punyai kawasan yang agak luas untuk pembinaan kandang kuda dan gelanggang,” katanya.

Membeli bekas kuda lumba menjadi cabaran bagi pemilik kuda kerana bekas kuda lumba dari jenis Thoroughbred memang agresif dan memerlukan latihan konsisten termasuk menukar jenis makanan. Kuda yang digunakan bukan untuk tujuan berlumba tidak akan diberikan makanan bertenaga tinggi yang mahal kerana ia adalah pembaziran sebaliknya makanan seimbang seperti rumput, jerami dan dedak kuda bercampur serbuk vitamin akan diberikan mengikut kadar ditetapkan iaitu berdasarkan saiz kuda.

“Melalui pemakanan dan latihan berterusan dalam tempoh empat hingga lapan bulan, kuda berkenaan boleh menjadi jinak, patuh pada arahan dan mesra dengan manusia serta haiwan lain,” katanya.

Kuda yang bersara dari perlumbaan biasanya berusia enam hingga tujuh tahun iaitu selepas kira-kira dua atau tiga tahun berlumba. Biasanya kuda pasca perlumbaan sesuai dilatih bagi tujuan riadah, lompat berkuda (showjumping) dan pengawalan kuda (dressage).

Melalui pengalaman dan pembacaan, Zulkhairi memulakan proses menjinakkan kuda melalui kaedah tunggangan perlahan iaitu ‘walk’ dan ‘trot’. Latihan itu sebagai pengenalan bagi membiasakan kuda dengan tunggangan berbentuk riadah.

“Masalah dihadapi bekas kuda lumba adalah dipukul terus menerus supaya memecut ketika perlumbaan. Jadi, rasa fobia terhadap jockey yang memukul dan kelibat whip yang digunakan perlu dikikis sebelum latihan peringkat seterusnya dapat dilakukan.

“Apabila fasa pertama dapat dilepasi, pelatih kuda akan mula membiasakan haiwan itu dengan alam sekeliling antaranya bunyi motosikal, kereta, lori dan juga siren ambulans bagi mengurangkan risiko terperanjat apabila berdepan situasi berkenaan,” katanya.

Katanya, bekas kuda lumba juga akan didedahkan dengan halangan di jalan raya seperti kon pembinaan, papan tanda dan objek melintang kerana berdasarkan pengalaman sendiri, kuda yang sedang dijinakkan pernah berhenti secara tiba-tiba dan mula berjalan mengundur di tengah kesesakan jalan raya kerana takutkan kon di atas jalan.

Kini, ternakan kuda yang dulunya menjadi riadah sampingan mula memberi keuntungan. Malah, bekas kuda lumba yang dijinakkan Zulkhairi turut dibeli pelbagai pihak antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk dijadikan rekreasi kampus.

“Nilai seekor kuda bergantung pada kualiti baka dan keturunannya. Kuda lumba mempunyai buku kelahiran contohnya Australian Stud Book yang merekodkan semua maklumat mengenai kuda termasuk tarikh dan masa lahir serta salasilah empat atau lima generasi kuda itu,” katanya.

Harga seekor kuda lumba Thoroughbred yang baik dari Australia dan New Zealand berusia empat tahun bernilai kira-kira RM70,000 hingga mencecah jutaan ringgit tapi jika ada kecederaan, prestasi buruk atau faktor umur, nilai kuda berkenaan akan jatuh sehingga mencecah ratusan ringgit saja,” katanya.

Selain jualan dan tunggangan kuda untuk rekreasi, skop utama Zulkhairi masih kepada penternakan, nurseri dan penyelenggaraan landskap. Malah, sejak hampir empat tahun lalu, Zulkhairi menyelenggara taman di Istana Sultan Selangor.

“Selain itu, kami turut menyediakan khidmat katering daripada hasil ladang dengan menu kari kambing, kurma, beriyani kambing dan yang paling popular adalah set barbeku kambing atau rusa,” kata anak kelahiran Padang Lumat, Yan, Kedah yang kini memiliki ladang seluas 40 hektar dengan 20 hektar sudah serta sedang diusahakan.

Kejayaan Zulkhairi sebagai arkitek, penternak dan pereka landskap juga membolehkan dia dinobat sebagai pemenang Penternak Jaya Ruminan Selangor 2007 dan pemenang kategori Pengeluar Produk Landskap Pelbagai Pertandingan Nurseri Terbaik sempena Hari Landskap Negara 2007.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


Mohd. Salleh Omar menyasarkan bilangan kambingnya akan bertambah sehingga lebih 200 ekor menjelang hujung tahun ini dengan khidmat nasihat MARDI.

Saranan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) agar Mohd Salleh Omar, 69, menternak kambing Boer di dusun buah-buahannya pada 2006 tidak disia-siakan begitu saja. "Ketika itu hasil dusun dengan harga durian yang tidak begitu memuaskan ditambah dengan saingan dengan durian dari Thailand menyebabkan saya terfikir untuk melakukan sesuatu untuk meningkatkan produktiviti dusun," katanya semasa ditemui di ladang ternakan kambing SF Farm di Mukim Naga Lilit, Padang Serai, Kedah, baru-baru ini.

Pada 2006, tanah dusun yang mempunyai pelbagai jenis pokok buah-buahan mula dihuni 27 ekor kambing kacukan Boer yang 25 daripadanya berjantina betina yang diperoleh daripada MARDI.

Atas nasihat MARDI, Salleh memilih menternak kambing untuk dijadikan baka memandangkan negara kekurangan baka kambing.

"Ketika itu saya teringat saranan kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan," katanya yang amat aktif menjalankan ladang integrasi.

Di dusun buah-buahan seluas 12 ekar tanah pusaka, Salleh mendirikan kandang seluas 100 kaki x 24 kaki bagi memuatkan lebih 100 ekor kambing.

Kini beliau merancang membina satu lagi kandang seluas 100 kaki x 30 kaki bagi menampung bilangan ternakannya yang semakin bertambah.

Dalam masa tidak sampai dua tahun dengan pengurusan yang betul, ternakan Salleh telah bertambah kepada 121 ekor kambing tanpa mengira ternakan yang telah dijual.

"Saya menyasarkan dengan pengurusan yang betul dan khidmat nasihat yang berterusan daripada MARDI, pada penghujung tahun ini bilangan kambing akan bertambah sehingga lebih 200 ekor," katanya yang mempunyai dua orang pekerja bagi membantunya di dusun.

Kambing, kata Salleh, cepat membiak iaitu tiga kali beranak dalam masa dua tahun dan biasanya seekor induk boleh menghasilkan dua ekor anak.

Rancak bercerita mengenai ternakannya, beliau berkata kadar mortaliti atau kematian anak-anak kambingnya tidak sampai 20 peratus.

"Dengan khidmat nasihat serta bimbingan yang diberikan oleh pihak MARDI terutama Pegawai Penyelidik di Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Dr. Mohmad Mustafa, kini saya boleh menjaga kambing-kambing saya dengan baik," katanya yang mengikut segala nasihat yang diberikan.

Kini bermula jam 8.00 pagi Salleh memulakan rutin hariannya dengan memberi kambing makan rumput dan pelepah jagung yang diambil daripada kawasan berhampiran.

Sebelah petang pula kambing akan dilepaskan selama dua hingga tiga jam sehari di sekitar dusun untuk mencari makanan sendiri seperti di habitat asal mereka di Afrika Selatan.

"Setiap hari kambing akan dilepaskan selama dua jam sehari sebagai satu senaman serta mengekalkan kelakuan kambing sebagai pemakan daun tidak seperti biri-biri yang memakan rumput," katanya.

Kambing yang dilepaskan biasanya akan lebih sihat dan cergas, kurang berpenyakit serta lebih sesuai dijadikan baka.

Apabila kambing kembali ke kandang sekitar jam 5.00 petang, kambing akan diberikan makanan dalam bentuk palet selain air dan garam.

Bagaimanapun Salleh berkata, selain pengurusan ternakan, kebersihan kandang juga penting bagi mengelakkan kambing terkena jangkitan penyakit.

"Setiap hari kandang perlu dibersihkan dan setiap minggu perlu dicuci bagi mengelakkan perebakan dan jangkitan penyakit.

"Najis yang menimbun di bawah kandang akan dikumpulkan dan diproses untuk dijadikan baja yang boleh digunakan pada dusun atau dijual," katanya.

Salleh berkata, setelah menguruskan ladang integrasi lebih setahun bukan saja kambing yang mengeluarkan hasil malah produktiviti dusunnya turut meningkat.

"Jika dulu hasil dusun tidak seberapa tetapi kini saya bukan saja ternakan saya mengeluarkan hasil tetapi pendapatan hasil dusun semakin meningkat.

"Kini saya dapat mengurangkan kos pembajaan kimia dan hanya menggunakan baja organik hasil najis atau tinja kambing," katanya.

Penternakan bagi tujuan baka, Salleh mengambil kira pemakanan dan penjagaan yang insentif bagi kenaikan berat badan ternakannya sehingga lebih 200 gram (g) sehari.

Dengan bantuan MARDI, Salleh berusaha melakukan saringan pemilihan bagi Boer terpilih untuk diternak sebagai baka terbaik.

Selain kambing, Salleh juga menternak ayam, itik dan angsa sebagai pendapatan tambahan hasil dusun.

Justeru Salleh bukan saja mendapat pendapatan daripada kambing dan dusun tetapi juga baja hasil tinja kambing.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

Minat yang mendalam terhadap projek haiwan ternakan mendorong tiga sahabat bergabung tenaga membuka sebuah kilang memproses makanan tambahan untuk lembu, kambing, ayam dan itik yang mula dipasarkan sejak tiga bulan lepas.

Salah seorang rakan kongsi itu, Abdul Latif Baba, 54, berkata, mereka menubuhkan syarikat Prestige Blitz Sdn. Bhd., yang kini memasarkan produk makanan tambahan itu di selatan tanah air.

Dua lagi rakannya yang terlibat sama ialah Yahya Embi, 49, dan Roslinda Sahar, 31.

Dengan bermodalkan RM50,000, mereka menyewa sebuah kilang di Jalan Jeram, Bakri di sini bagi menjalankan perniagaan makanan tambahan itu sejak April lalu.

''Proses menghasilkan makanan tambahan haiwan kambing dan lembu, ia dihasilkan daripada campuran sekam padi, bahan buangan minyak sawit, hampas kelapa, garam dan gula merah, manakala bagi makanan ayam dan itik, ia memerlukan campuran dedak ikan yang siap dikisar.

''Sebagai usaha permulaan, kami berharap permintaan terhadap makanan tambahan ini bertambah kerana bahan ini mendapat pengiktirafan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kilangnya, di sini hari ini.

Kilang yang diusahakan oleh tiga sahabat itu adalah yang pertama dijalankan oleh usahawan Bumiputera di daerah ini dan mereka dibantu oleh tiga pekerja.

Menurut Abdul Latif, kebanyakan produk makanan tambahan itu dipasarkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain ada juga yang dijual terus kepada penternak.

Bagi makanan tambahan untuk lembu, ia dijual pada harga RM16 seguni dengan berat 25 kilogram, manakala bagi makanan tambahan kambing, harganya adalah RM18.

Untuk makanan tambahan ayam dan itik pula, ia dijual pada harga RM38 seguni iaitu 25 kilogram.

Abdul Latif memberitahu, pihaknya turut menerima tempahan daripada pembeli dari luar daerah ini termasuk di Segamat, Melaka, Seremban dan Mersing.

''Dua buah mesin yang bernilai RM4,000 digunakan untuk memproses makanan tambahan ini iaitu mesin pembancuh yang mampu memproses sejumlah 120 kilogram bahan makanan pada sesuatu masa.

''Selain itu, mesin pembentuk makanan dalam bentuk kapsul yang memproses satu kilogram bahan untuk tempoh sejam.

"Melalui usahasama ini, saya bertindak menguruskan pemasaran bahan, Yahya pula menjaga operasi kilang, manakala Roslinda menguruskan pentadbiran,'' jelasnya.

Bagaimanapun, Abdul Latif melahirkan kebimbangan berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini yang dijangka memberi kesan terhadap harga makanan tambahan itu dalam pasaran.

Katanya lagi, sejak memulakan perniagaan itu April lalu, pihaknya masih mengekalkan harga promosi yang ditawarkan.

Menurutnya, produk keluaran mereka mengandungi bahan-bahan terbaik untuk membantu menambahkan pembesaran haiwan ternakan kerana mengandungi tenaga, kalsium, zat besi, serat serta protein.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai makanan tambahan itu boleh menghubunginya di 012-3410222 atau 016-3418222.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


Dr. Ibrahim Che Embong mengetip telinga anak kambing Boer sebagai simbolik perasmian Bengkel Usahawan Kambing Mega-Utusan di Sepang baru-baru ini sambil diperhatikan oleh pegawai PASB, Mohd. Huzaimi Razhi, Pengarah Urusan PASB, Datuk Razhi Yahaya dan Pengarang Mega, Mohd. Ridzwan Md. Iman.

PESERTA bengkel usahawan kambing Mega-Utusan yakin mampu mengusahakan ladang ternakan dengan baik selepas mengikuti bengkel selama dua hari di Homestay Banghuris di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Mereka yang jelas tidak sabar untuk mengusahakan ternakan masing-masing berkata, bidang tersebut mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menjanjikan pulangan lumayan.

Azi Azlin, 23, berkata, beliau bercadang membuka ladang ternakan kambing di Tanah Felda Cahaya Baru di Johor selepas menguasai teknik-teknik menternak haiwan itu.

‘‘Saya sebelum ini menamatkan pengajian dalam bidang teknologi tumbuhan dan menaruh minat mendalam terhadap bidang pertanian.

‘‘Saya yakin bengkel ini dapat membantu saya menjadi usahawan pertanian yang berjaya khususnya dalam menternak kambing,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Bengkel usahawan Mega-Utusan dengan rakan strategiknya, Perfect Agro Sdn. Bhd. (PASB), Agro Bank dan Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu diadakan selama dua hari.

Seorang lagi peserta, Norhaniza Mohd. Noor, 24, berkata, semangat untuk membina kerjaya sendiri mendorongnya menyertai bengkel kambing Mega-Utusan yang julung-julung kali diadakan.

‘‘Sebelum ini saya telah membuat kajian mengenai peluang dalam ternakan kambing di UPM, bengkel ini akan mengukuhkan pengetahuan saya mengenai ternakan ini,” katanya.

R, Krishnan, 45, pula berkata, bengkel anjuran sisipan Utusan Malaysia, Mega tersebut menambahkan pengetahuannya mengenai kambing.

‘‘Saya bekerja dalam bidang industri farmasi veterinar, bengkel ini dapat membantu dalam kerjaya dan membolehkan saya mengusahakan ladang sendiri satu hari nanti,” katanya.

Siswazah dari Universiti Multimedia Melaka, Mohd. Hazmi Abdul Halim, 24, berkata, minat yang mendalam dalam pertanian mendorongnya menyertai bengkel usahawan kambing.

‘‘Saya berharap dapat menternak kambing secara komersial,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Ibrahim Che Embong, berkata, bengkel tersebut merupakan usaha murni yang mampu menjana ekonomi diri sendiri dan ekonomi negara juga.

Ini kerana, kerajaan berhasrat mengurangkan import dan meningkatkan pengeluaran bahan makanan berasaskan ternakan negara khususnya daging lembu dan kambing untuk kegunaan domestik.

Keperluan

Pada masa ini, Malaysia masih terpaksa bergantung kepada import dalam memenuhi keperluan daging negara.

‘‘Kita telah pun meletakkan sasaran pengeluaran daging lembu kepada 28 peratus dan kambing 21 menjelang menjelang 2010.

‘‘Hingga kini, kadar sara diri (SSL) daging lembu negara telah berjaya mencecah 23 peratus, manakala kambing sembilan peratus,’’ katanya.

Pusat Pembiakan Kambing Boer Nasional (NBBC)

* Kerajaan telah menubuhkan Pusat Pembiakan Boer Nasional (NBBC) bertujuan

* Menyediakan pelan rangkaian pengeluaran dan pemasaran yang bersistematik dalam kuantiti yang mega dalam negara.

* Kerajaan telah mengenalpasti kawasan dan projek ini di Pondok Tanjung, Perak untuk menjadi suatu pusat pengeluaran.

* Malaysia menyasarkan populasi asas ternakan kambing di Malaysia sehingga mencapai populasi lebih kurang 1.1 juta ekor induk kambing negara di bawah Dasar Kambing Negara.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


HASIM Rusdi (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta mengenai penternakan kambing di Ladang Ternak Al-Barakah, Kampung Kondok, Nilai, semalam.
Kerajaan negeri menyarankan supaya lebih ramai belia tampil melibatkan diri dalam industri penternakan dan menjadikan bidang itu sebagai salah satu kerjaya pilihan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menyediakan pelbagai insentif sebagai galakan kepada golongan belia yang berminat menceburi bidang penternakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu berkata, industri ternakan juga mampu menjana pulangan lumayan di samping menyeimbangkan krisis kenaikan harga bahan makanan di negara ini.

''Sehubungan itu, saya menyarankan agar lebih ramai belia di negeri ini yang menyahut seruan kerajaan untuk merealisasi hasrat menjadikan bidang pertanian itu satu perniagaan," ujarnya.

Hasim berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Kursus Usahawan Belia Ternak Peringkat Negeri Sembilan 2008 di Ladang Ternak Al-Barakah, Kampung Kondok di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Khaidir Jamal dan Pengerusi Al-Barakah Global Food Industry Sdn. Bhd., Idris Haron.

Kursus penternakan kambing baka Jamnapari yang berlangsung selama lima hari tersebut dihadiri oleh seramai 53 peserta yang mewakili persatuan-persatuan belia di negeri ini dan dari negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka, Selangor, Terengganu dan Perak.

Jelas beliau, pada masa ini kerajaan merancang untuk mengurangkan import daging yang nilainya mencecah hingga berbilion ringgit setiap tahun.

Justeru itu, tambahnya, perkembangan dalam bidang penternakan haiwan seperti kambing dan lembu boleh mengurangkan kebergantungan negara terhadap import daging dari luar negara.

Dalam pada itu, Hasim berharap belia yang menyertai kursus berkenaan sentiasa gigih dan bersemangat cekal untuk muncul sebagai usahawan ternak yang berjaya.

''Golongan belia perlu membuktikan mereka boleh berjaya dalam bidang ini dan kerajaan sentiasa bersedia membantu mereka dari segi khidmat nasihat serta bantuan kewangan bagi mencapai matlamat tersebut," ujarnya.

Selain itu, beliau juga mahu peserta-peserta memanfaatkan pengetahuan berkaitan penternakan kambing yang telah dipelajari dengan sebaik-baiknya serta memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada rakan-rakan belia lain di kawasan masing-masing.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


HASIM Rusdi (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta mengenai penternakan kambing di Ladang Ternak Al-Barakah, Kampung Kondok, Nilai, semalam.
Kerajaan negeri menyarankan supaya lebih ramai belia tampil melibatkan diri dalam industri penternakan dan menjadikan bidang itu sebagai salah satu kerjaya pilihan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan menyediakan pelbagai insentif sebagai galakan kepada golongan belia yang berminat menceburi bidang penternakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu berkata, industri ternakan juga mampu menjana pulangan lumayan di samping menyeimbangkan krisis kenaikan harga bahan makanan di negara ini.

''Sehubungan itu, saya menyarankan agar lebih ramai belia di negeri ini yang menyahut seruan kerajaan untuk merealisasi hasrat menjadikan bidang pertanian itu satu perniagaan," ujarnya.

Hasim berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Kursus Usahawan Belia Ternak Peringkat Negeri Sembilan 2008 di Ladang Ternak Al-Barakah, Kampung Kondok di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Khaidir Jamal dan Pengerusi Al-Barakah Global Food Industry Sdn. Bhd., Idris Haron.

Kursus penternakan kambing baka Jamnapari yang berlangsung selama lima hari tersebut dihadiri oleh seramai 53 peserta yang mewakili persatuan-persatuan belia di negeri ini dan dari negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka, Selangor, Terengganu dan Perak.

Jelas beliau, pada masa ini kerajaan merancang untuk mengurangkan import daging yang nilainya mencecah hingga berbilion ringgit setiap tahun.

Justeru itu, tambahnya, perkembangan dalam bidang penternakan haiwan seperti kambing dan lembu boleh mengurangkan kebergantungan negara terhadap import daging dari luar negara.

Dalam pada itu, Hasim berharap belia yang menyertai kursus berkenaan sentiasa gigih dan bersemangat cekal untuk muncul sebagai usahawan ternak yang berjaya.

''Golongan belia perlu membuktikan mereka boleh berjaya dalam bidang ini dan kerajaan sentiasa bersedia membantu mereka dari segi khidmat nasihat serta bantuan kewangan bagi mencapai matlamat tersebut," ujarnya.

Selain itu, beliau juga mahu peserta-peserta memanfaatkan pengetahuan berkaitan penternakan kambing yang telah dipelajari dengan sebaik-baiknya serta memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada rakan-rakan belia lain di kawasan masing-masing.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


SEBAHAGIAN daripada pemandangan rumput Napier Taiwan yang ditanam oleh Mustafa Ahmad di Kampong Senawar, Kuala Kangsar subur menghijau.

Keberanian seorang bekas ketua kampung, Mustafa Ahmad, 41, memajukan tanah terbiar seluas 4.5 hektar dengan tanaman rumput jenis Napier Taiwan kini mula berbaloi dan membuahkan hasil lumayan.

Walaupun tanah yang terletak di 'pulau jadian' di Sungai Perak di Kampung Senawar itu mengandungi 80 peratus pasir, tetapi ia tidak menghalang hasrat menebal usahawan ini untuk menjadikannya sebagai sebuah ladang yang subur.

Berbekalkan keyakinan tinggi terutama sekali selepas melupakan dunia kontraktor kelas F, beliau mengikuti pelbagai kursus pertanian dan haiwan termasuk tanaman rumput ini.

Menurut Mustafa, rumput Napier Taiwan yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu menunjukkan hasil memberangsangkan kerana tumbuhan itu cepat membesar dan boleh dituai dalam masa 30 hingga 40 hari sahaja.

Kata beliau, tanaman kontan berkenaan telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Kangsar bagi tujuan penghasilan makanan binatang ternakan.

''Dengan menggunakan teknologi Thailand serta baja berprotein tinggi, saya berjaya menghasilkan rumput Napier yang mempunyai daun selebar 2.5 sentimeter walaupun saiz biasa cuma 1.5 sentimeter.

''Melihat hasil tanaman yang begitu subur ini saya rasa cukup puas kerana pengorbanan menumpukan usaha ini sudah mula membawa pulangan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Mustafa memberitahu, tanaman berkenaan kini sudah mula dijual di pasaran yang semakin meluas dengan batangnya dijual pada harga RM1.60 sekilogram dan daun hijaunya berharga 10 sen sekilogram.

Menurutnya, dengan harga tersebut beliau kini boleh tersenyum lebar apabila sudah mampu memperoleh pendapatan sekitar RM12,000 sebulan.

Kata beliau, rumput Napier yang ditanamnya itu mempunyai protein antara 13 hingga 14 peratus berbanding dengan rumput tempatan yang cuma mengandungi antara 9 hingga 10 peratus protein.

Jelas beliau, ia menjadikannya sebagai tanaman yang cukup sesuai untuk makanan binatang ternakan seperti kerbau, lembu, kambing, rusa, ayam belanda dan burung unta.

Katanya, benih dan daun Napier yang ditanamnya bukan sahaja mendapat pasaran di sekitar negeri Perak malahan juga mendapat tempahan dari Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Kelantan.

''Pada peringkat awal memang agak sukar bagi saya mengusahakan tanaman ini kerana keadaan tanah berpasir dan penuh dengan tumbuhan liar.

''Saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan agak besar iaitu sekitar RM20,000 untuk modal keseluruhan termasuk membersihkan tanah ini tetapi berbaloi kerana sekarang ia sudah jadi ladang rumput yang begitu menghijau," katanya.

Mustafa berkata, oleh kerana projek tanamannya itu telah mula menunjukkan kejayaan maka beliau sedang berusaha memperkembangkan usaha penanaman rumput itu di satu lagi kawasan seluas 4.5 hektar di Kampong Jerlun tidak jauh dari projek pertamanya.

Katanya, ia bagi membolehkan beliau mencapai hasrat sebenarnya iaitu untuk menghasilkan palet makanan ternakan daripada rumput Napier.

''Saya guna bahan campuran terdiri daripada Napier Taiwan, sagu rumbia, hampas kacang soya, gula merah, garam galian, 20 jenis rumput tempatan, starbio, protein ikan dan beberapa campuran lain.

''Daripada kajian yang saya lakukan palet ini mampu mencegah penyakit kerana mempunyai daya tahan berprotein asli," ujarnya yang mendapat bantuan kewangan sebanyak RM131,000 daripada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana bagi membina kilang tersebut di Talang.

Katanya, dengan menggunakan mesin yang diimport dari China, kilangnya itu nanti mampu menghasilkan palet bermutu tinggi dengan harga 35 sen sekilogram berbanding dengan palet lain berharga 55 sen.

Jelasnya, palet tersebut lebih istimewa kerana boleh juga digunakan untuk makanan ternakan ikan dan sesiapa yang berminat bagi mendapatkan bekalan palet itu rumput Napier boleh menghubunginya di talian 012-5049000.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

Islamic Relief Worldwide, agensi pelaksana projek pengagihan daging korban yang dilantik oleh Bank Pembangunan Islam (IDB), memilih syarikat tempatan, Hadhari Cattle Industry Sdn. Bhd. (Hadhari Cattle) untuk melaksanakan kerja pengasingan daging dari tulang kambing.

Pada fasa pertama sebanyak 20,000 ekor kambing biri-biri yang disembelih di Arab Saudi akan dihantar ke Kompleks Penyembelihan Hadhari Cattle di Paya Pahlawan, dekat Jitra, untuk proses pengasingan daging dan tulang itu.

Pengerusi IDB Ahmed S. Hariri dijangka menyerahkan stok pertama itu yang dibawa masuk melalui pelabuhan Pulau Pinang kepada Presiden Hadhari Cattle, Brig. Jen. (B) Datuk Hasshim Abdul Karim di Paya Pahlawan, Ahad ini.

Menurut Timbalan Presiden Hadhari Cattle, Dr Abdul Rashid Tan Abdullah, daging yang diasingkan itu akan dihantar ke kilang Pertima, anak syarikat kerajaan Terengganu untuk ditinkan sebelum dieksport semula untuk diagihkan kepada negara-negara miskin di seluruh dunia oleh Islamic Relief Worldwide.

Sebelum ini, proses berkenaan dijalankan di Australia sejak 13 tahun lepas.

Islamic Relief Worldwide mengusulkan untuk membawa kambing korban dari Arab Saudi ke Malaysia bagi tujuan pengasingan tulang itu pada tahun lepas tetapi hanya dapat dilaksana pada tahun ini kerana masalah dokumentasi.

"Kerajaan memilih Hadhari Cattle kerana ia memiliki peralatan lengkap dan berkemampuan melaksanakan projek ini selain mempunyai permit dan menepati piawaian halal JAKIM," kata Dr Rashid di sini, hari ini.

Katanya, pengagihan daging korban setiap tahun adalah sebahagian program kemanusiaan Islamic Relief Worldwide.

Setiap tahun tidak kurang 80,000 ekor kambing biri-biri dan lembu dikorbankan oleh umat Islam yang mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi.

Antara negara yang menikmati manfaat program itu ialah Afghanistan, Albania, Bangladesh, Kenya, Kosovo, Malawi, Indonesia dan Palestin.

Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak akan menyaksi majlis penyerahan kambing korban dari Arab Saudi pada Ahad ini. Pengarah Operasi Islamic Relief Worldwide Dr Adel Sabir dijangka hadir.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


Ladang kambing milik syarikat Cosmopal Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Serating, Marang, Terengganu.
- Gambar ZUHAYATI YAZID


Siapa sangka kawasan seluas 60 hektar yang dahulunya terbiar kini bertukar menjadi sebuah ladang kambing. Ternakan baka-baka tempatan yang 90 peratus untuk pasaran negara itu sekali gus akan menjadikan pengusahanya bakal jutawan.

Sebelum dibangunkan, kawasan yang terletak 60 kilometer daripada bandar Kuala Terengganu ini dipenuhi semak-samun yang tidak memberi faedah kepada masyarakat setempat.

Namun, hasil usaha Zainudin Zakaria, 50-an, yang menganggap ternakan kambing baka adalah perusahaan yang menguntungkan serta mampu memberi pulangan hasil yang cepat, kawasan itu bertukar menjadi ladang kambing dalam tempoh lapan tahun sahaja.

Melalui syarikatnya, Cosmopal Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada November 2000, Zainudin kini merupakan satu-satu pengimport, pengedar dan juga penternak kambing baka terbesar di kawasan Pantai Timur.

Berbekalkan prinsip jangan kalah sebelum berjuang, beliau sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat antarabangsa demi mencurahkan bakti kepada bidang ternakan kambing baka.

''Sebelum saya berhenti kerja, saya membuat kajian tentang kebaikan dan kelebihan penternakan kambing.

Malah saya juga membuat lawatan ke luar negara untuk melihat sendiri kelebihan bidang ternakan ini," kata Zainudin ketika ditemui di ladang kambingnya yang terletak di Serating di sini, baru-baru ini.

Selepas dua tahun membuat kajian, beliau nekad membuka ladang kambing berbekalkan modal RM100,000 untuk membeli keperluan dan alatan.

Malah, beliau yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur sanggup pulang ke kampung hanya semata-mata untuk menternak kambing.

''Saya lihat prospek ternakan ini sangat luas dan ia mampu memberi pendapatan lumayan, hanya usaha dan kerajinan sahaja yang perlu ada," katanya.

Ditanya apakah pengalaman semasa mula-mula menceburi bidang ini, bapa kepada lima cahayamata ini memberitahu, pada awalnya perasaan takut timbul.

Malah kata-kata kurang enak daripada rakan-rakan juga menyebabkannya rasa serba-salah. Namun beliau nekad untuk meneruskan perjuangan.

''Biarlah apa orang hendak kata, yang pasti kita tahu siapa diri kita dan tahap kemampuan diri kita," ujarnya.

Katanya, dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang sering memberi dorongan dan semangat kepada dirinya.

Bermula dengan beberapa ekor kambing jenis Jamnapari yang dibeli dari Indonesia serta sebuah reban, kini Zainudin mempunyai enam buah reban untuk menempatkan semua kambingnya.

Beliau menyasarkan untuk membiak 10,000 ekor kambing dalam jangka masa yang terdekat ini.

''Pada tahun 2007, saya hanya mempunyai 3,000 ekor kambing tetapi setiap tahun haiwan ini semakin berkembang biak," ujarnya.

Menceritakan pengalaman menternak kambing baka, beliau memberitahu, ia bukan perkara yang sukar.

Malah kambing merupakan binatang yang manja, katanya.

Jelasnya, kambing juga seperti manusia yang perlu dilayan dengan baik dan biasanya haiwan ini dilepaskan selepas dua minggu dikurung di dalam reban dan apabila sampai tempohnya ia akan pulang sendiri ke reban.

Beliau mengupah lebih 10 pekerja untuk membantu memberi makanan kepada ternakan kambingnya.

''Kambing-kambing juga turut dimandikan dan syampu supaya kelihatan bersih dan segar," katanya.

Beliau bersyukur kerana ladangnya itu mendapat tunjuk ajar dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

''Setiap bulan, seorang pegawai dari jabatan ini akan membuat lawatan ke ladang saya untuk melihat tahap perkembangan dan kesihatan haiwan ternakan ini," katanya yang turut membuat lawatan ke luar negara untuk mendapat nasihat dan panduan.

Zainudin memberitahu, selain menjalankan penternakan kambing, beliau juga menjalankan pelbagai aktiviti sampingan bagi memaksimumkan pendapatan di samping membantu masyarakat setempat yang berpendapatan rendah.

''Selain menjalankan penternakan kambing, ladang ini juga menghasilkan baja organik daripada najis atau tinja kambing yang dicampurkan ramuan lain untuk dijadikan baja organik.

''Kerja-kerja membungkus baja saya serahkan kepada golongan orang kurang upaya yang menginap berhampiran ladang ini,'' jelasnya yang mengitar semula bulu kambing untuk dijadikan aksesori.

Beliau juga merancang membuka kilang memproses barangan daripada kulit kambing antaranya jaket, beg tangan dan pelbagai aksesori lain.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kerajaan bercadang membeli ladang-ladang pertanian di luar negara dalam usaha membangunkan sektor pertanian bukan tradisi yang mempunyai perbezaan cuaca dan juga tanahnya.

Pembelian itu antara lain akan melibatkan hasil pertanian yang sukar ditanam di Malaysia seperti gandum dan jagung bermutu tinggi dan beberapa jenis tanaman lain.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi menangani masalah ini kerana jumlah import barangan makanan tambahan terutamanya makanan ternakan meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, jumlah import bahan makanan terutamanya makanan ternakan masih tinggi sehingga mencecah berbilion ringgit.

Pada tahun lalu, jumlah import barangan makanan ternakan dicatatkan sebanyak RM17 bilion.

''Kalau kita buka ladang bijirin di Afrika, kita akan menjalankan sistem perniagaan tukar barang (barter trade) dengan kerajaan di negara itu. Sebagai ganti, kita boleh memberi mereka minyak kelapa sawit dan sebagainya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia Mifb 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Rohani berkata, bijirin merupakan makanan ternakan yang paling ideal untuk haiwan ternakan

di negara ini berbanding jenis makanan lain.

Sebelum ini, katanya, kerajaan sudah mengusahakan makanan ternakan daripada pelepah kelapa sawit, tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

Beliau menambah, kementerian juga menyasar untuk meningkatkan jumlah penternakan kambing di negara ini sebanyak 35 peratus menjelang tahun 2015.

Setakat ini, katanya, Malaysia hanya mempunyai sembilan peratus kambing yang diternak dan bilangan itu masih tidak mencukupi.

"Kita sudah mengenalpasti para penternak kambing yang berpengalaman dan tempat yang diperlukan di seluruh negara untuk menternak kambing-kambing berkenaan.

"Kita mahu kejayaan segera dan sebab itu kita perlu mencari petani dan penternak yang berpengalaman memandangkan golongan itu hanya memerlukan sedikit bimbingan,'' ujarnya.

Bagi mempercepatkan proses pengeksportan barangan makanan dan mengatasi kekurangan makanan di negara ini, kementerian menggesa para petani dan penternak dapat bekerja dalam satu kontrak ladang atau kelompok yang besar seperti koperasi dan estet.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

KUALA LUMPUR 10 Julai - Isu kambing jantan kacukan Australia yang boleh mengawan sehingga 80 ekor kambing betina tempatan menggamatkan semua Ahli Parlimen semasa sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kambing pembiak itu juga diberi makan tongkat ali, telur dan madu sepanjang proses itu dan akan direhatkan seminggu sebelum menyambung semula aktiviti berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang membuat tinjauan tentang kambing 'membiak' melibatkan broker yang perlu mengenal pasti jenis kambing yang boleh mengawan.

Ibrahim berkata, kebanyakan projek melibatkan industri kambing selalunya gagal termasuk di Kelantan dan berlainan pula keadaan dengan sebuah keluarga di Selangor yang berjaya menternak kambing tanpa menggunakan sebarang teknologi.

''Saya bertanya dia (keluarga itu) boleh berjaya? Dia kata, orang tua kata kalau ada dua pusar di kepala... dia boleh menternak kambing dan binatang. Kementerian ada buat kajian tak tentang semua ini?'' katanya.

Soalan itu dijawab oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim yang berkata, Dewan Rakyat kini mempunyai seorang pakar kambing dan perkara itu ada kebenaran.

Katanya, harga kambing hero atau dikenali 'pejantan' itu sangat mahal dan susah untuk mendapatkan genetik tetapi kementerian tetap akan melaksanakannya.

Menurutnya, ia adalah satu langkah dalam program Pembangunan Industri Kambing Malaysia dengan mengadakan satu program bersama dengan kerajaan Australia Barat bagi membangunkan industri kambing negara.

Menjawab soalan tambahan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) tentang objektif Pusat Pembiakan Kambing Boer Nasional (NBBC) dengan populasi 403,592 ekor pada 2005 yang disasarkan membiak menjadi 1.003 juta pada 2010, Rohani berkata, kerajaan sedang berusaha membuka ladang komersial untuk tujuan itu.

''Terdapat beberapa lagi program di NBBC dan ia adalah satu projek nukleus untuk kita memulakan ternakan kambing dengan mengadakan penternak penggandaan," ujarnya.

Terdahulu ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli, Rohani berkata, kementerian kini sedang giat membangunkan 20 hektar kawasan untuk membangunkan penanaman foder dan 180 hektar lagi dilakukan sepanjang tahun ini.

Katanya, 403,592 ekor kambing yang diternak dengan 141,257 ekor pembiak yang diusahakan oleh 3,710 penternak seluruh negara.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

KUALA TERENGGANU 10 Julai - Terengganu bakal menjadi pengeluar barangan daripada kulit kambing apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri membina sebuah kilang di Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Serating, Marang akhir tahun ini.

Pengarah jabatan itu, Dr. Azizol Mohd.Sharum berkata, kilang berharga RM1 juta itu akan mengeluarkan barangan seperti jaket, kasut, beg tangan wanita dan sarung telefon mudah alih.

Katanya, kilang itu, yang pertama seumpamanya di negara ini, dijangka mula beroperasi pada Februari atau Mac tahun depan.

Dr. Azizol berkata, seramai 15 hingga 20 pekerja kilang itu akan dilatih khusus dalam bidang jahitan kulit di Jawa Tengah, Indonesia.

Beliau berharap kilang itu akan menjadi satu tarikan pelancong dan juga sumber ekonomi negeri.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


HASIM Rusdi (kiri) bertanyakan sesuatu kepada peserta mengenai penternakan kambing di Kampung Kondok, baru-baru ini.

Sebut sahaja kambing, kita pasti mengaitkannya dengan bau hamis yang cukup kuat menusuk rongga hidung menyebabkan tidak ramai yang berminat mendekati apatah lagi berjinak-jinak dengan haiwan tersebut.

Namun sekumpulan 50 belia yang menyertai Kursus Usahawan Belia Ternak di Kampung Kondok di sini baru-baru ini sanggup meluangkan masa 'bermesra' dengan kambing semata-mata untuk mempelajari segala aspek tentang haiwan itu dengan lebih mendalam.

Ia adalah salah satu daripada program yang terkandung dalam kursus lima hari anjuran Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS) dan Al-Barakah Global Food Industry Sdn. Bhd. (Al-Barakah) yang bermula pada 27 Jun sehingga pada 1 Julai lalu.

Menurut Presiden MBNNS, Khaidir Jamal, kursus tersebut diadakan buat julung kalinya dengan matlamat memupuk minat serta mewujudkan lebih ramai usahawan ternak di kalangan belia.

Jelas beliau, pihaknya berharap program seperti itu akan menggerakkan belia untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor penternakan.

Di samping itu, katanya, MBNNS juga berhasrat untuk melihat lebih ramai belia yang muncul sebagai usahawan ternak yang berjaya agar mereka menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain.

''Sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan dan kami merancang untuk meneruskan lagi program-program seperti ini di masa akan datang," ujar Khaidir ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Hadir sama merasmikan majlis penutup kursus tersebut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu, Datuk Hasim Rusdi.

Khaidir juga memberitahu, program berkenaan adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih ramai belia menceburi bidang penternakan.

''Pada masa ini, MBNNS memberi tumpuan terhadap bidang penternakan kambing.

''Kami juga akan memperluas skop program kepada penternakan haiwan-haiwan lain seperti lembu atau ikan air tawar serta pertanian secara komersial," jelasnya.

Kata beliau, MBNNS sehingga kini menganjurkan banyak program bagi membantu golongan belia namun terpulang kepada mereka untuk memanfaatkannya.

Selain itu, jelasnya, Agro Bank juga menyediakan bantuan kewangan kepada belia yang layak dan MBNNS sedia menyokong permohonan mereka yang benar-benar berminat.

''Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan," ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Al-Barakah, Idris Haron berkata, peserta kursus diberi pendedahan tentang kaedah penternakan kambing baka Jamnapari yang berasal dari India secara sistematik dan betul.

Jelas beliau, pihaknya turut melatih peserta selok-belok pengurusan ladang ternakan kambing serta cara pemasaran yang berkesan.

''Sepanjang tempoh kursus, peserta diajar tentang aspek pengurusan ladang ternakan kambing seperti pemakanan dan kebersihan secara terperinci.

''Di samping itu, peserta juga berpeluang menimba banyak ilmu daripada pengusaha yang berpengalaman," ujarnya.

Idris memberitahu, bidang ini menjanjikan pulangan lumayan kerana kambing baka Jamnapari boleh dijual dengan harga ratusan ringgit seekor.

Malah, katanya, najis haiwan berkenaan juga boleh diproses bagi menghasilkan baja organik serta kulitnya boleh dijadikan jaket, beg tangan dan barangan aksesori lain.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerjasama di antara MBNNS dan pihaknya dapat diteruskan di masa akan datang bagi menarik penyertaan lebih ramai belia dalam bidang penternakan kambing.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

KOTA KINABALU 22 Julai - Sabah yakin program memperluaskan sektor ternakan yang dilakukan di negeri ini dapat membantu sasaran kerajaan untuk mencapai tahap sara diri bagi bekalan daging kambing menjelang tahun 2011.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin berkata, sasaran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan kepada peningkatan jumlah kambing yang diternak pada masa ini termasuk baka yang diimport atau dikacukkan.

"Kita terpaksa membelanjakan kira-kira RM40 juta setiap tahun untuk mengimport daging kambing, lembu dan kerbau dari negara seperti Australia, New Zealand dan sebagainya.

"Melalui hasil penternakan kambing di Sabah, kita mampu mencapai tahap sara diri selewat-lewatnya pada 2011," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Ladang Kambing Jambo, Kampung Keliangau di Menggatal dekat sini hari ini.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kambing-kambing yang sedang diternak di seluruh Sabah mempunyai kualiti yang lebih tinggi berbanding kambing yang diimport.

Katanya, kambing-kambing di sini kurang lemak, mempunyai lebih banyak daging dan bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

Berhubung kegiatan menyeludup benih ikan berkualiti tinggi dari negeri ini ke China, beliau berkata, kegiatan tersebut masih terkawal dan hanya dilakukan secara kecil-kecilan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tetap memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau dalang yang menjalankan aktiviti itu.

"Langkah itu bertujuan melindungi spesies ikan-ikan di sini kerana ia merupakan khazanah laut Sabah. Biasanya orang luar ini mendapatkan anak-anak ikan melalui nelayan tempatan," ujarnya.

Mengenai wujudnya peraih getah tidak berlesen yang membeli getah di kampung-kampung, Yahya berkata, kementeriannya akan memantau kegiatan tersebut.

Jelas beliau, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen memungut getah tetapi tetap berbuat demikian sehingga mengakibatkan peraih sebenar kerugian.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan


Muhammad Pehimi (kiri) diberi penerangan ketika melawat gerai Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Besut, Terengganu, semalam.

BESUT 23 Julai - Terengganu berhasrat untuk mengkomersialkan pengeluaran air mani beku kambing baka untuk memenuhi permintaan penternak bagi mendapatkan baka kambing bermutu di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, langkah itu juga bertujuan meningkatkan pengeluaran ternakan itu di negeri ini.

Katanya, pada masa ini pusat yang mengumpul air mani, memproses dan menghasilkan kambing baka untuk penternak tempatan dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di Kampung Jenang, Marang.

Menurutnya, penggunaan kaedah bioteknologi oleh jabatan itu lebih menjimatkan kerana sebelum ini air mani kambing untuk program permanian beradas di negeri ini terpaksa diimport.

"Ini merupakan kesinambungan program permanian beradas yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang kini mendapat keyakinan para penternak untuk memperolehi ternakan berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bertemu Pelanggan Field Day jabatan itu di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) di sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr. Ibrahim Che Embong dan Pengarah negeri, Dr. Azizol Mohd. Sharun.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

A worker tending to the Boer goats at the breeding centre in Kampung Kabang in Papar, Sabah.
A worker tending to the Boer goats at the breeding centre in Kampung Kabang in Papar, Sabah.

Boer goats are scoring high marks as income-earners among two groups of farmers here due to their fast growth and nutritional value.

The Rural Development Corporation is seeing the fruits of its labour in the 843 Boer goats at Kampung Kabang in Papar and 464 at Kampung Bukau in Beaufort.

General manager Datu Basrun Datu Mansor said the project, which started in early 2006, had shown positive results and the goats had shown that they could acclimatise to local weather.

"There is demand for Boer goats. There are even people from Brunei who want to purchase up to 300 goats a month, but we are unable to sell to them. Our main purpose is to continue breeding Boer goats so that we can supply them to local livestock farmers.

"We have managed to acclimatise the goats to local conditions and there is less risk for farmers who buy the ones we breed, compared with directly importing the species from overseas," he said at the Papar facility, about 50km south of Kota Kinabalu.
To date, the corporation has sold 340 Boer goats, mainly to local farmers at a total cost of RM240,994, and is proceeding with similar projects.

Datu Basrun said the corporation was filling a gap in the import of goat meat from Australia, an effort which will also help livestock breeders explore opportunities to produce high-value meat for the local market.

He said that based on an American study, goat meat is the lowest in terms of cholesterol and saturated fats, compared to lamb and other types of meat, including beef and pork.

"We need to create awareness that goat meat has better nutritional value compared with some other meats, but we are unable to promote this aggressively now as we are still in the process of breeding goats."

He said that apart from breeding Boer goats, the corporation is planting high quality grass as feed and is conducting training for those interested in goat farming.

Boer goats, which have white bodies and distinctive brown heads, are among the most popular breeds in the world.

Corporation project manager for livestock Dr Mohd Shahrom Salisi, said Boer goats had an average gestation period of five months (150 days) and could breed three months after weaning off the kids from milk.

Boer goats weigh in at an average of 3kg at birth, but their weight increases quickly and they reach breeding age at eight to 10 months. A mature Boer buck weighs between 110kg and 135kg and a mature doe at between 90kg and 100kg.

Dr Mohd Shahrom said a kid which weighed 5.2kg at birth almost doubled in weight to 9kg after a week.

"We calculate the daily weight gain at the facilities that we run. Usually weight increases at between 100gm and 200gm a day. Those below the average weight are culled as we have to follow a system when it comes to breeding Boer goats."

He said genetic upgrading of Boer goats was another objective that the corporation had set in its quest to become a centre for research and development in the state.

Sabah Agriculture and Food Industry Minister Datuk Yahya Hussin, who visited the Papar facility on Tuesday, said he was keen to see the corporation pursuing the project as it would benefit the livestock sector and help meet sufficiency in meat production.

From JutawanTernak.blogspot.com.

Kumpulan JutawanTernak 0 ulasan

Dia memenangi pelbagai anugerah baka kambing Boer terbaik lantaran kambingnya yang mempunyai ketahanan yang lebih tinggi dan mampu membiak dengan baik. Dia dianggap Raja Boer.

JIM BOER di ladangnya di New South Wales, Australia.


PADA tahun 1995, Jim Boer atau nama sebenarnya Jim Mayall Gilgandra hanyalah seorang penternak kambing biasa. Berbekalkan sekawan kecil kambing komersial serta tambahan dua ekor kambing Boer betina dan seekor kambing Boer jantan, dia memulakan usaha taninya yang tidak seberapa.

Namun, penternak kecil di New South Wales (NSW), Australia ini memiliki jiwa yang besar.

Merasakan tiga ekor kambing Boer yang dibelinya itu tidak memenuhi piawaian sama ada untuk tujuan komersial mahupun perusahaan, dia bertekad bahawa sesuatu perlu dilakukan.

Usaha demi usaha dilakukan Jim, 55, untuk menghasilkan mutu baka yang lebih baik. Tanpa latar belakangkan pengetahuan sains dan ilmu genetik, anak jati keluarga peladang ini memasang strategi mencatur pembiak bakaannya sendiri.


JIM BOER (kanan sekali) bersama pakar Boer Afrika Selatan, Izak Vorster (dua dari kanan).


Kini, kejayaan telah digapainya. Ladang Jimboer Boer Goat Stud yang diusahakan bersama isterinya, Lyn Mayall di kawasan barat NSW, menjadi saksi akan kegemilangannya. Ladangnya merupakan ladang kambing Boer pertama di Australia yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kambing Boer Afrika Selatan yang cukup berprestij seawal tahun 2004 lagi.

Afrika Selatan merupakan negara susur galur Boer, kambing bertubuh putih dan berkepala coklat itu bermula.

Bukan sekadar dinobatkan sebagai pembiak Boer nombor satu di Australia, bahkan dengan beberapa pihak di Afrika Selatan yang mahu membeli bakanya sudah cukup untuk menjawab sejauh mana Jim telah pergi dalam pencapaiannya.


BOER hasil bakaan Jim yang baru memenangi kejohanan Canberra Royal 2008.


Barang kali, dengan reputasi sedemikian, tidak hairan jika ada yang memberi gelaran kepadanya sebagai Raja Boer atau pembiak baka Boer terbaik dunia.

"Benar, saya telah menerima permintaan daripada Afrika Selatan yang mahu membeli embrio baka Boer saya. Saya menjangka akan mengeksportnya ke sana pada tahun depan," ujar Jim Boer ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Nada suaranya daripada corong telefon berbunyi tenang walaupun ketika menyampaikan sesuatu, yang pada hemat penulis, sewajarnya mengujakannya.

Siapa sangka, bermula daripada tiga ekor kambing Boer lebih 13 tahun lalu yang disifatkan beliau amat teruk kualitinya, kini 300 ekor kambing Boer yang berada pada tangannya ialah sekelompok kambing Boer dengan kualiti paling tinggi.


AHMAD TARMIZI bersama Jim Boer.


Tidak cukup dengan itu, baka-baka kambing Boernya telah diperakui sebagai baka yang sangat bagus dan amat dipandang tinggi oleh pakar-pakar penilai Boer dari Afrika Selatan sendiri seperti Jackie Jordaan, Koenie Kitze, Francois Maritz dan Izak Vorster.

Jordaan menyifatkan kunjungannya ke ladang Jim pada tahun 2005 sebagai satu pengalaman yang mengejutkan kerana ia menghasilkan kualiti baka Boer yang hebat.

Apa yang paling mengagumkannya ialah sifat feminin yang ketara kambing-kambing Boer betinanya dan kegagahan kambing-kambing Boer jantannya mencakupi segenap segi.




Vorster pula mengakui kambing-kambing Boer baka Jim adalah jenis kambing Boer paling cemerlang.

Menghadapi ujian getir seperti kemarau panjang bertahun-tahun, itu merupakan antara tribulasi besar yang dilaluinya. Memang Boer dikatakan boleh menyesuaikan diri dalam suasana kering tetapi hakikat kemarau selama tujuh tahun berturut-turut di NSW sehingga kini suatu yang amat menyukarkan.

"Memang kemarau menambahkan kesukaran. Air adalah keperluan asas semua makhluk hidup," ujarnya yang terpaksa mendapatkan sumber air dengan mengorek perigi bagi memastikan tanaman hay yang menjadi makanan Boernya sentiasa subur.

"Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini adalah berakar umbi daripada keyakinan, kerja keras, kejujuran dan integriti yang saya amalkan selama ini," kata bapa kepada empat orang anak ini. Anak-anaknya berusia antara 14 hingga 28 tahun.

Jim kini giat melakukan percubaan peribadi berasaskan kehandalannya dalam ilmu genetik Boer untuk perusahaan daging Boer. Ia turut dilakukan dengan sokongan pembiak baka Australia yang lain seperti Daryl dan Naree Greenaway. Setakat ini, Boer jantan terbesar yang dihasilkan ialah 140 kilogram dan Boer betina ialah 98 kilogram.




Usaha membiak baka tidak pernah terhenti dan dia selalu mengungguli pelbagai kategori dalam kejohanan Boer di Australia sejak tahun 2005 sehinggalah terbaru di Canberra Royal 2008.

"Apabila bercakap tentang membiak baka, ia bukanlah suatu yang boleh diterangkan dengan mudah begitu sahaja. Banyak perkara dan teknik yang perlu dipelajari. Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu membiak baka kambing Boer, mempelajarinya terlebih dahulu agar kesulitan dapat dielakkan," ujarnya sambil mengakui 'praktikal hidup' merupakan gurunya selama ini.

Jim jujur mengakui matlamat utamanya selepas ini ialah untuk menyebarkan ilmu mengenai Boer kepada sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu untuk mempelajarinya.

Pengurus ladang Agrotrus Sdn. Bhd. dari kumpulan BoerBest, di Ijok Selangor, Ahmad Tarmizi Mohamad merupakan antara insan yang pernah berhubung secara langsung dengan Jim. Dia telah berkelana ke bumi Australia dua tahun yang lalu untuk menemui Jim, individu asing yang belum pernah ditemuinya, demi menuntut ilmu Boer.

"Kepala saya asyik ligat berfikir bagaimanalah penerimaannya. Yalah, rasa rendah diri sangat sebab kita tidak tahu banyak mengenai Boer. Tetapi, perasaan itu hilang, apabila layanan mesra yang diberikan buat kita selesa.

"Apa yang boleh saya katakan, Jim seorang yang sanggup mengajar seseorang walau berada di tahap paling bawah pun. Kata-katanya banyak berdasarkan fakta dan dia bukanlah seorang yang suka mendabik dada memperkatakan kehebatannya. Dia seorang yang merendah diri," ujar Ahmad Tarmizi yang disifatkan sebagai orang Asia pertama menemui Jim di Australia.

"Saya menjadikan dia sebagai idola. Kita lihat bagaimana bermula dengan 'sifar', tanpa pelajaran tinggi dan pengetahuan yang terhad, dia boleh menjadi sebegitu sukses," ujarnya.

Jika anda masih sangsi tentang kehebatan Jim, mungkin kandungan sepucuk emel daripada seorang individu dari Afrika Selatan yang ditujukan kepada Jim mampu merungkainya. Ia lebih kurang berbunyi:

"Saya tidak akan berhenti membiak baka kambing Boer sehinggalah saya dapat menghasilkan kualiti Boer seperti anda."

Ogos ini, Jim Boer dijangka akan memberikan ceramah mengenai Boer di negara ini. Untuk maklumat lanjutan mengenai ceramah dan kursus berkenaan sila hubungi talian 016-317 5930 (Melissa), 012-941 5166 (Amat) dan 013-388 3635 (Shukor).